Kuala Lumpur, 27 Mei – Google hari ini mengumumkan satu kolaborasi strategik bersama Malaysian Press Institute (MPI) menerusi pelaksanaan projek “AI Literacy for Journalists”, satu inisiatif yang bertujuan memperkasa pengamal media dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI).
Pengumuman tersebut disampaikan oleh wakil Google News Partnerships Malaysia, Encik Adeel Farhan, semasa majlis penutupan Projek Sigma yang berlangsung di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur. Majlis berprestij itu turut disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil.
Kerjasama ini merupakan titik permulaan kepada usaha bersama antara MPI dan Google selepas beberapa perbincangan sebelum ini dan kini dimeterai secara rasmi melalui pelancaran inisiatif yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan kapasiti dalam kalangan wartawan Malaysia.
Antara komponen utama dalam kolaborasi ini termasuk siri latihan intensif untuk wartawan dan editor mengenai penggunaan pelbagai alatan AI yang ditawarkan oleh Google, di samping program komuniti yang bakal melibatkan pengamal media dari pelbagai negeri di seluruh negara. Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada evolusi amalan kewartawanan tempatan dalam menghadapi cabaran era digital.
Ini adalah sejarah buat MPI dalam usaha perkasakan latihan khususnya AI bersama Google.






