SUBANG JAYA, 20 November — Malaysian Press Institute (MPI) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke pejabat operasi Channel10, sebuah syarikat media di bawah Rindu Ilmu Media Sdn. Bhd. yang telah menyertai keahlian MPI bermula tahun ini.
Kunjungan itu diketuai oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, serta barisan Pengurus Kanan Pengurusan Projek, Dr. Nuzatul Shima Sulaiman dan Norhafiza Kamaludin. Turut serta ialah wakil sekretariat, Norfatin Syahira Jusoh.
Delegasi MPI disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Adlin M. Zabri bersama Pengarah Urusan Editorial, Dato’ Manja Ismail serta barisan editorial dan operasi Channel10.
Dalam pertemuan tersebut, MPI menjemput Channel10 untuk menyertai Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang dianjurkan setiap tahun serta anugerah-anugerah media lain yang dianjurkan oleh pelbagai agensi. Kedua-dua pihak turut berbincang mengenai potensi kerjasama dalam penganjuran kursus, latihan dan program pembangunan kapasiti berkaitan media dan komunikasi.
Channel10 turut menyatakan kesediaan untuk berkongsi ilmu dengan pelajar UiTM Rembau dalam program anjuran bersama MPI dan institusi pengajian berkenaan pada 9 Disember, termasuk melalui segmen pengalaman di studio mini yang memberi pendedahan praktikal kepada pelajar.
Delegasi MPI turut dibawa meninjau operasi studio Channel10 yang menjadi pusat penerbitan program berbentuk talkshow, podcast dan kandungan digital. Lawatan ini memberi gambaran tentang keupayaan teknikal serta arah tuju kandungan Channel10 sebagai platform media baharu.
Channel10 mengambil kesempatan untuk menemubual Datuk Yong Soo Heong dalam segmen “Ngopi” yang memfokuskan pandangan beliau mengenai perkembangan industri kewartawanan dan keahlian media dalam era digital.
Kunjungan hormat ini menjadi langkah awal kepada hubungan strategik antara MPI dan Channel10 dalam memperkukuh ekosistem media negara melalui kolaborasi, latihan dan pengiktirafan profesional.















