
Kunjungan Hormat MPI Kepada TYT Pulau Pinang
24 Januari 2025, Pulau Pinang – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak meminta Malaysian Press Institute (MPI) menguruskan Anugerah Media untuk pengamal media di Pulau Pinang pada hujung tahun 2025.
Perkara itu dikongsikan Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong selepas menghadap TYT Tun di Kediaman Rasmi TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang semalam. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail dan Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain.
Datuk Yong menjelaskan, TYT Tun mahu MPI menganjurkan satu lagi program iaitu seminar berkaitan media dan kewartawanan bertaraf ASEAN, dengan kerjasama pelbagai pihak di negeri ini.
Jelas beliau, MPI sedang membuat perancangan untuk menjemput TYT Tun dan YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Tuan Chow Kon Yow untuk memberi ucaptama dan menyampaikan hadiah di kedua-dua majlis tersebut.
Bagaimanapun, Datuk Yong berkata segala usaha berkaitan dengan kedua-dua majlis itu akan hanya akan dilakukan selepas perbincangan terperinci dengan pihak tertentu di Pulau Pinang termasuk kerajaan negeri dan pihak media.
“TYT Tun percaya dengan kredibiliti MPI, yang menganjurkan anugerah peringkat kebangsaan, adalah perlu supaya anugerah sama dibawa ke negeri Pulau Pinang bagi tujuan mengiktiraf segala usaha dan kerjaya kewartawanan yang banyak mempromosi dan memperkenalkan Pulau Pinang secara positif,” tambah beliau.
Datuk Yong menjelaskan, TYT Tun memberikan pandangan bahawa peluang wajar diberikan kepada pengamal media untuk menulis laporan itu mengenai negeri Pulau Pinang, seperti pembangunan, bisnes, pelancongan dan banyak lagi sebelum penyertaan dihantar untuk diadili.
Majlis itu boleh diadakan pada hujung tahun dan Datuk Yong berkata, TYT Tun telah menyatakan kesediaan untuk hadir dalam majlis ini.
“Beliau mahu seminar diadakan dengan menjemput tokoh-tokoh media membentangkan kertas kerja. Ia boleh juga menjemput tokoh luar berkongsi pandangan. TYT Tun mahu memperkenalkan Pulau Pinang ini sebahagian permulaan sejarah berkaitan surat khabar, media dan kewartawanan,” kata Datuk Yong.
Dalam pertemuan lebih sejam itu, beberapa topik diperbualkan dan dikongsikan TYT Tun kepada delegasi MPI.
Sementara itu, selepas pertemuan tersebut, MPI telah mengadakan pertemuan dengan sidang redaksi Buletin Mutiara untuk menyampaikan hasrat TYT Tun, selain memulakan kerangka kerjasama dalam menjayakan agenda itu dan bertukar pandangan terhadap cadangan yang dikemukakan TYT Tun.
Pada sebelah malam, delegasi MPI telah mengadakan pertemuan dengan persatuan dan kelab media untuk menyampaikan hasrat yang sama. Menurut Haji Ainol, perkara itu akan diperhalusi dan kertas kerja komprehensif mengenai dua program penting itu akan dibincangkan bersama Ahli Majlis Pentadbir MPI, sebelum dibawa semula kepada rakan strategik di Pulau Pinang dalam bulan Februari ini.

