Lebih Daripada Sebuah Anugerah

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kejayaan sebenar Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS bukan sekadar melahirkan pemenang setiap tahun, sebaliknya membentuk budaya kewartawanan yang sentiasa mengejar kecemerlangan, mengangkat standard profesionalisme serta memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap institusi media.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail, berkata anugerah itu merupakan platform yang mengiktiraf karya terbaik, namun nilai sebenar sesebuah laporan kewartawanan diukur melalui impaknya terhadap masyarakat, tadbir urus dan pembangunan negara.


Beliau berkata demikian ketika diwawancara menerusi panggilan telefon oleh Bernama Radio dalam program Reaksi sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025.


Mengulas mengenai rekod penyertaan tertinggi yang diterima bagi HKM 2025, Dr. Ainol berkata pencapaian itu membuktikan industri media negara terus komited menghasilkan karya berkualiti walaupun berdepan perubahan landskap media serta cabaran teknologi yang semakin kompleks.


Menurut beliau, cabaran terbesar panel hakim bukanlah mencari karya yang baik, sebaliknya membezakan karya yang benar-benar luar biasa daripada penyertaan lain yang turut berada pada tahap profesional yang tinggi.
“Dalam banyak kategori, jurang markah antara karya adalah sangat kecil. Setiap penyertaan dinilai secara menyeluruh berdasarkan nilai berita, ketepatan fakta, kedalaman penyelidikan, impak kepada masyarakat, kreativiti penyampaian, etika kewartawanan serta keberkesanan penceritaan,” katanya.


Beliau berkata proses penilaian dilaksanakan secara bebas dan profesional oleh panel hakim yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing dengan meneliti bukan sahaja kandungan karya, malah konteks pelaporan, sumber, kaedah penyediaan serta kesan yang dihasilkan kepada masyarakat.
Katanya, setiap karya yang berjaya disenaraikan dalam kelompok lima terbaik sebenarnya telah berada dalam kalangan hasil kewartawanan terbaik negara, sekali gus menjadikan status finalis HKM sebagai satu pengiktirafan terhadap tahap profesionalisme yang tinggi.


Dr. Ainol turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS yang terus menjadi penaja utama HKM sejak 1994, sambil menyifatkan kerjasama lebih tiga dekad itu sebagai pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan kewartawanan negara.


Menurut beliau, HKM bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, tetapi sebahagian daripada ekosistem pembangunan profesional wartawan yang menggabungkan pengiktirafan dengan pembangunan kompetensi.
Katanya, tiga inisiatif strategik baharu MPI bagi memperkukuh pembangunan ilmu, latihan dan pembelajaran berterusan dalam bidang kewartawanan serta media akan diumumkan pada Malam Wartawan Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan modal insan industri media negara.


Dr. Ainol berharap pemenang HKM MPI-PETRONAS 2025 akan terus menghasilkan karya yang bukan sahaja cemerlang dari sudut kewartawanan, malah mampu mencetuskan perbincangan awam, meningkatkan ketelusan, memperkukuh akauntabiliti institusi serta membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Dalam dunia yang dipenuhi maklumat tanpa sempadan, masyarakat semakin memerlukan kewartawanan yang boleh dipercayai. Saya berharap para pemenang bukan sekadar dikenang kerana memenangi anugerah, tetapi kerana keberanian mereka mempertahankan kebenaran, integriti dan kepentingan awam,” katanya.

#mpicommit

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter