CYBERJAYA, 6 Mei 2026 — Malaysian Press Institute (MPI) hari ini mengadakan kunjungan rasmi ke Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan kemahiran kewartawanan dan latihan media di Malaysia, selari dengan keperluan industri yang semakin dipacu teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata kunjungan itu bukan sekadar hubungan institusi, sebaliknya merupakan usaha awal untuk meletakkan kewartawanan sebagai bidang kemahiran strategik dalam ekosistem pembangunan bakat negara.
Menurut beliau, industri media kini berada dalam fasa transformasi pantas yang menuntut kemahiran baharu termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), analisis data, verifikasi maklumat serta pematuhan etika digital.
“Wartawan hari ini bukan sahaja perlu berkemahiran dalam penulisan, tetapi juga perlu dilengkapi dengan kemahiran teknologi, pemikiran kritikal dan kefahaman terhadap landskap digital yang kompleks. Justeru, latihan kewartawanan perlu distrukturkan secara lebih sistematik dan berasaskan standard industri,” katanya.
Kerjasama itu juga dijangka membuka laluan kepada pengiktirafan rasmi kemahiran wartawan melalui sistem pensijilan nasional, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme dan kebolehpasaran pengamal media tempatan.
Sementara itu, pihak JPK menyambut baik inisiatif tersebut dan melihatnya sebagai peluang untuk memperluas skop pembangunan kemahiran ke dalam sektor media, yang kini semakin penting dalam pembentukan maklumat, persepsi awam dan pembangunan negara.
Kerjasama antara MPI dan JPK juga selari dengan agenda nasional dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja dalam menghadapi cabaran ekonomi digital.
Mengulas lanjut, Dr Ainol berkata usaha ini penting bagi memastikan wartawan Malaysia bukan sahaja kompeten dari segi kandungan, tetapi juga diiktiraf sebagai tenaga mahir yang mempunyai standard profesional yang jelas.
“Kita mahu melihat kewartawanan diangkat sebagai satu bidang kemahiran yang tersusun, mempunyai laluan pembangunan kerjaya yang jelas, serta diiktiraf dalam sistem pembangunan bakat negara,” katanya.
Beliau menambah, dalam era Media 5.0, wartawan perlu diperkasakan bukan sahaja dari sudut kebebasan bersuara, tetapi juga dari segi keupayaan teknikal dan integriti profesional.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pengarah BHIKS, Puan Rosnoizam Abd Majid dan diwakili oleh Encik Mohamad Faisal Abdullah, Ketua Unit Pengurusan ILB, Puan Norisniwati Ab Rahim dan Pegawai Kanan JPK yang lain. Turut hadir, Puan Norlida Jamaain Pengurus Besar MPI.
Kunjungan tersebut dijangka menjadi titik permulaan kepada kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak dalam membangunkan ekosistem latihan media yang lebih mampan, berstruktur dan relevan dengan keperluan masa depan industri.







