MPI Perincikan Tuntutan Industri kepada Pelajar Antarabangsa UKM

BANGI, 11 Disember 2025 – Professional Development Programme anjuran pelajar Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menampilkan sesi perkongsian eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bertajuk “Peranan MPI dalam Melatih Generasi Baharu Wartawan dan Memenuhi Keperluan Industri.” Seramai 60 pelajar antarabangsa UKM (UKMi) menyertai program tersebut secara dalam talian (online).

Sesi perkongsian bersama Dr. Ainol yang berlangsung selama sejam, dari 11 pagi hingga 12 tengah hari, memberi pendedahan padat dan bernas mengenai hala tuju industri media serta kompetensi profesional yang perlu dikuasai wartawan muda sebelum memasuki dunia kewartawanan sebenar.

Dalam perbincangan tersebut, Dr. Ainol menjelaskan masih wujud jurang kemahiran antara latihan universiti dan tuntutan sebenar bilik berita.

“Graduan hari ini ada asas teori, tetapi realiti bilik berita bergerak jauh lebih pantas. Mereka perlu ada pertimbangan berita yang tajam, kemahiran verifikasi dan keupayaan menghasilkan kandungan merentas pelbagai platform,” katanya.

Beliau turut menyentuh cabaran kecerdasan buatan (AI) dalam dunia media, menjelaskan bahawa MPI kini memperkukuh modul literasi AI bagi memastikan wartawan dapat menyesuaikan diri dengan teknologi terkini tanpa mengabaikan etika.

“AI bukan ancaman, tetapi alat profesional yang mesti dikuasai. Wartawan perlu memahami risikonya, menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti dan tetap mengekalkan integriti editorial,” jelasnya.

Dr. Ainol turut memberi gambaran mengenai landskap media Malaysia yang semakin didorong oleh platform digital, kewartawanan video pendek, data journalism dan penceritaan yang berfokus dan mendalam. Media tradisional pula berdepan cabaran besar jika tidak melakukan transformasi digital secara agresif.

Dalam konteks akademik, beliau menyeru universiti agar memperkukuh latihan praktikal, memperbanyakkan simulasi bilik berita dan mengukuhkan kerjasama bersama industri.

“Universiti perlu menambah baik simulasi bilik berita, memperkukuh bimbingan industri dan memastikan pelajar menguasai kemahiran multimedia. Pelajar harus benar-benar siap industri apabila mereka bergraduasi,” tegasnya.

Sebagai rumusan sesi, Dr. Ainol menekankan keperluan meningkatkan kewartawanan solusi (solutions journalism) dalam latihan dan amalan media negara.

“Kewartawanan hari ini bukan sekadar melaporkan masalah. Wartawan perlu meneroka penyelesaian, memberi konteks yang tepat dan menunjukkan apa yang berkesan. Pendekatan ini membina masyarakat dan meningkatkan kepercayaan terhadap media,” katanya.

Sesi satu jam ini mendapat maklum balas sangat positif daripada pelajar antarabangsa UKM, sekali gus mengukuhkan peranan MPI sebagai peneraju latihan profesional dalam melahirkan wartawan yang kompeten, berdaya saing dan berpandangan jauh dalam menghadapi era digital.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter