Kuala Lumpur, 17 September – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini memenuhi undangan Grab Malaysia dalam majlis makan tengah hari “Leaders Lunch Reception” sempena Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 17 hingga 19 September.
Kehadiran MPI mengukuhkan lagi hubungan strategik bersama Grab Malaysia yang juga merupakan antara penaja Malam Wartawan Malaysia anjuran MPI saban tahun. MPI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail dalam majlis tersebut yang turut dihadiri pimpinan korporat dan penggiat industri digital. Majlis turut diserikan dengan ucapan pembukaan oleh Timbalan Menteri Digital, YB Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Sementara itu, MPI turut mengambil peluang meninjau pameran di SCEKL25 yang menampilkan pelbagai syarikat teknologi dan penyedia solusi bandar pintar. Expo yang bertemakan “AI Cities: Shaping Our Digital Future” ini menghimpunkan lebih 100 penceramah antarabangsa, 200 pempamer serta dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Lebih daripada sekadar pameran teknologi, SCEKL25 berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu dan kerjasama global dalam bidang kecerdasan buatan (AI), mobiliti pintar, infrastruktur lestari, serta pendigitalan perkhidmatan awam. Penggunaan AI berupaya membantu bandar besar menguruskan isu kompleks seperti kesesakan trafik, kecekapan tenaga, pengurusan sisa, keselamatan awam, serta respons bencana dengan lebih pantas dan berkesan.
Melalui aplikasi teknologi pintar ini, pembangunan bandar bukan sahaja menjadi lebih cekap dan inklusif, malah dapat menyokong agenda kelestarian negara ke arah mewujudkan persekitaran hidup yang lebih hijau, selamat, dan sejahtera untuk masyarakat.











