Pertemuan MPI Perkukuh Wacana Pelaporan Hak Asasi Manusia

Cyberjaya, 20 April 2026 — Malaysian Press Institute (MPI) hari ini mengadakan satu pertemuan strategik bersama tokoh akademik dan pengamal hak asasi manusia bagi memperkukuh peranan media dalam melaporkan isu-isu berkaitan hak asasi secara lebih mendalam dan berimbang.

Pertemuan yang berlangsung di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya itu melibatkan Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Profesor Sejarah Intelektual dan Sosial di ISTAC-IIUM, serta wakil daripada Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA), iaitu Dato’ Badlisyah Abdul Ghani dan Encik Romil Shamsudin.

Pihak MPI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bersama Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain dan Puan Norfatin Syahira Jusoh, Sekretariat.

Antara perkara yang diketengahkan termasuk keperluan kepada pelaporan yang lebih mendalam, berasaskan konteks sejarah dan kerangka perundangan antarabangsa, khususnya berkaitan isu seperti genosid di bawah undang-undang antarabangsa.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh dimensi peradaban dan kesan kolonialisme dalam membentuk naratif serta pemahaman masyarakat terhadap isu hak asasi manusia.

Satu inisiatif kolaboratif dicadangkan melalui penganjuran bengkel bersama antara MPI, ISTAC dan CENTHRA yang bersifat berterusan. Bengkel ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkasa pengamal media dengan pengetahuan serta perspektif yang lebih komprehensif dalam pelaporan isu hak asasi manusia.

Usaha ini diharap dapat menyumbang kepada pembangunan ekosistem media yang lebih bertanggungjawab, kritis dan berwibawa dalam mengangkat isu-isu sejagat yang memberi impak kepada masyarakat global.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest