KOTA KINABALU, 3 Februari — Sabah Journalists Association (SJA) berpandangan bahawa wartawan di Sabah wajar memanfaatkan peluang menyertai program latihan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan, khususnya dalam mendepani cabaran era digital yang semakin kompleks.
Pandangan itu dikongsi oleh Presiden SJA, Puan Mariah Doksil, dalam satu pertemuan rasmi bersama Sekretariat MPI yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Timbalan Presiden MPI, Cik Farrah Naz Karim, Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain serta Eksekutif Kandungan Kreatif, Encik Muhammad Asyraf Rosmidi di pejabat SJA, di Kota Kinabalu, pada malam ini.
Wakil SJA yang bersama dalam pertemuan ini ialah Naib Presiden, Ricardo Unto; Setiausaha, Siti Aisyah Narudin; Bendahari, Angela Tan Giok Seh dan barisan ahli jawatankuasa SJA.
Menurut Mariah yang juga Ahli Majlis Pentadbir MPI, landskap media yang kian berubah pantas menuntut wartawan agar sentiasa memperbaharui pengetahuan dan kemahiran, termasuk dalam aspek kewartawanan digital, penggunaan teknologi baharu serta penghasilan kandungan pelbagai platform yang lebih kreatif dan berimpak.
Dalam pertemuan itu, Dr. Ainol turut menegaskan bahawa wartawan di Sabah perlu terus didedahkan dengan kaedah pelaporan gaya baharu yang selari dengan perkembangan teknologi semasa, termasuk penggunaan kandungan digital, multimedia, data serta kecerdasan buatan (AI) dalam proses penghasilan berita.
Menurut beliau, keupayaan wartawan hari ini tidak lagi terhad kepada kemahiran menulis semata-mata, sebaliknya menuntut penguasaan pelbagai platform serta kefahaman mendalam terhadap aliran kerja penerbitan kandungan digital yang pantas, tepat dan beretika.
MPI, katanya, amat mengalu-alukan kerjasama strategik dengan SJA bagi menganjurkan siri bengkel kewartawanan yang dirancang sebagai sebahagian daripada pengisian aktiviti Kinabalu Press Award (KPA) tahun ini, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan profesional wartawan tempatan.
Sementara itu, SJA menyatakan komitmen untuk menyokong inisiatif latihan tersebut dan melihatnya sebagai satu platform penting untuk memperkasa kapasiti wartawan Sabah agar lebih kompeten, berdaya saing serta relevan dengan keperluan industri media masa kini.
Kerjasama antara MPI dan SJA ini dijangka dapat mewujudkan ekosistem latihan yang lebih tersusun dan mampan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti kewartawanan serta tahap profesionalisme pengamal media di Sabah secara keseluruhan.



