10 wartawan hiburkan tetamu Malam Wartawan Malaysia 2016

Rutin harian mereka sebagai wartawan ialah mengejar, menulis dan menyampaikan berita. Tetapi pada Malam Wartawan Malaysia 2016 yang akan berlangsung pada 20 Mei 2016 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, mereka menghiburkan 800 orang tetamu yang dijangka memeriahkan majlis tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI).

Seramai sepuluh wartawan dari TV3, Harian Metro, RTM, Kumpulan Media Karangkraf dan Kumpulan Utusan yang akan membuat persembahan pada malam itu sebenarnya adalah insan seni yang berbakat besar dalam bidang nyanyian.

Hal ini dibuktikan oleh mereka sewaktu sesi raptai persembahan yang diadakan di premis Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.

Umpama harimau menunjukkan belang, mereka menunjukkan sisi terbaik bakat mereka dan memukau ahli-ahli jawatankuasa penganjuran MWM yang hadir, antaranya Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI dan beberapa orang kuat Kumpulan Utusan seperti Pengarang Utusan Malaysia, Encik Zulkefli Hamzah dan En. Ainol Amriz Ismail, Pengurus Jabatan Pengarang.

Siapa sangka, dalam kesibukan rutin harian mengejar, menulis dan menyampaikan berita, mereka juga punya bakat cemerlang dalam bidang nyanyian dan muzik.

Kumpulan penghibur wartawan ini bertugas di pelbagai bidang. Selain wartawan, ada juga di antara mereka yang bertugas sebagai pereka grafik, jurugambar dan penyampai berita. Lima daripada mereka adalah anggota Utusan Band yang akan bermain muzik mengiringi persembahan nyanyian pada majlis itu nanti.

“Band ini telah lama wujud tapi aktif sejak dua tahun kebelakangan ini kerana kami berpeluang ‘jamming’ tiap hari selepas waktu bekerja, biasanya selepas enam petang”, ujar Amran Mulup, ketua band. Amran sendiri pernah bertugas sebagai ketua biro Kumpulan Utusan di Melaka selama enam tahun dan kini kembali bertugas di ibu negara.

Membuat persembahan pada Malam Wartawan adalah suatu peluang yang amat mereka nantikan dan tidak akan lepaskan. Menurut Fathil Hidayat dari RTM, yang akan mendendangkan lagu popular penyanyi Jamal Abdillah, Ghazal Untuk Rabiah, penglibatannya dalam acara yang berprestij ini merupakan suatu penghormatan kepadanya bagi meraikan rakan-rakan wartawan lain yang akan menerima anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia.

Bagi penyampai berita TV3, Mior Abdul Malek Raiyani, kesempatan yang diberikan oleh pihak penganjur kepadanya untuk menghiburkan para tetamu Malam Wartawan Malaysia 2016 adalah satu penghargaan untuk golongan wartawan.

“Seingat saya ini adalah pertama kali wartawan diberi peluang untuk membuat persembahan pada Malam Wartawan Malaysia. Insya-Allah saya dan rakan-rakan akan menampilkan persembahan yang tidak akan menghampakan,” ujar beliau yang akan menyampaikan lagu Zapin Budi.

Amran pula menambah, Malam Wartawan Malaysia 2016 adalah platform terbaik bagi golongan wartawan mengetengahkan bakat mereka dalam bidang seni hiburan selain dapat bersantai dan berkumpul dengan rakan-rakan media lain setelah berpenat-lelah dalam setahun menghasilkan karya-karya terbaik.

Selain hiburan nyanyian oleh para wartawan, Malam Wartawan Malaysia 2016 juga akan diserikan oleh persembahan zapin oleh Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor atau Pe-zapin, tajaan PETRONAS. Persatuan yang ditubuhkan pada 2010 merupakan penerima geran daripada PETRONAS dalam upaya syarikat minyak negara itu untuk melestarikan khazanah budaya Malaysia.

Kumpulan zapin di bawah bimbingan Puan Dianna Sulaiman itu akan menampilkan 8 orang penari – empat lelaki dan empat peremuan. Mereka akan menyampaikan dua lagu iaitu Zapin Nakhoda dan Zapin Terang Bulan dan Joget.


GALERI FOTO SEKITAR SESI RAPTAI PERSEMBAHAN HIBURAN MWM 2016

Panggung Utusan (2)Barisan wartawan jadi ‘artis’ yang akan membuat persembahan pada Malam Wartawan bergambar kenangan dengan Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI (berdiri, tiga dari kanan), En. Ainol Amriz Ismail, Pengurus Jabatan Pengarang (berdiri, dua dari kiri) dan En. Zulkefli Hamzah, Pengarang Utusan Malaysia (berdiri, empat dari kanan).

Panggung Utusan (6)Encik Amran Mulup (kanan), ketua UTUSAN Band memeriksa susunan lagu yang akan disampaikan oleh Syafil Syazwan Jefri (kiri).

Panggung Utusan (27)Puan Norlida Jamain, Sekretariat MWM dari MPI menyampaikan taklimat ringkas sebelum raptai bermula.

Panggung Utusan (5)Santai – Datuk Dr. Chamil, En. Zulkefli Hamzah, Encik Jefri Iran, jurugambar Utusan dan En. Ainol Amriz bersembang mengenai sesuatu sebelum raptai.

Panggung Utusan (1)

UTUSAN Band, membuat ‘warm up’ sebelum raptai. Dari kiri, Amran (keyboard), Sani Misnan (bass), Aizul (vokalis), Adly (dram) dan Hailhesfa (lead guitar).

Panggung Utusan (11)Fazlie dan Natasha Amira dari Kumpulan Media Karangkraf akan berduet pada malam itu nanti.

Panggung Utusan (12)Syafil Syazwan Jefri dari Harian Metro dengan penuh perasaan mendendangkan lagu Inggeris.

Panggung Utusan (13)Fathil Hidayat menyampaikan lagu Ghazal untuk Rabiah dengan penuh perasaan.

Panggung Utusan (17)Mior Abdul Malek Raiyani penyampai berita Buletin Utama TV3 pula tampil dengan lagu Zapin Budi.

Panggung Utusan (21)Antara Sekretariat MWM dari MPI dan Kumpulan Utusan yang menyaksikan persembahan raptai.

Panggung Utusan (22)Rakan-rakan media yang hadir turut memberi sokongan kepada wartawan yang membuat persembahan