Diari Media Januari – Jun 2014
5 Januari
Perubahan pasukan editorial Utusan
Kumpulan Utusan mengumumkan kenaikan pangkat dan perubahan jawatan pasukan editorialnya. Mendahului senarai adalah kenaikan pangkat Azman Anuar, Pengarang Rencana Kanan sebagai Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, menggantikan Ku Seman Ku Hussain yang dilantik sebagai pengarang akhbar yang sama. Tempat Azman diambil alih oleh Marhaini Kamaruddin, sebelum itu Penolong Pengarang Rencana Mingguan Malaysia. Pasukan editorial Utusan Malaysia juga diperkuatkan dengan pelantikan tiga pengarang berita yang baharu iaitu Ramli Abdul Karim, Mohd Ridzman Md. Iman dan Muhammad Nizam Abdul Hamid. Meja Am Utusan turut menyaksikan pelantikan dua orang penolong pengarang berita baharu – Borhan Abu Samah dan Suffian Abu Bakar. Perubahan pasukan editorial juga membabitkan pertukaran sebilangan ketua-ketua biro baharu bagi akhbar Utusan Malaysia dan juga Kosmo! Perubahan pasukan editorial itu tidak membabitkan pelantikan baharu pada peringkat tertinggi Jabatan Pengarang.
6 Januari
Effendi Norwawi tubuh Bloomberg TV Malaysia
Bloomberg TV Malaysia, sebuah saluran TV berbayar khusus untuk berita-berita bisnes dalam bahasa Inggeris, akan menemui khalayak mulai tahun ini. Selain bisnes, Bloomberg TV Malaysia juga akan menyediakan berita-berita dan perkembangan berkait kesihatan, sukan, gaya hidup, kewangan peribadi. Stesen TV tersebut didayausahakan penubuhannya oleh bekas menteri Persekutuan yang juga seorang usahawan, Tan Sri Effendi Norwawi. Ia merupakan kerjasama dengan Bloomberg TV yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Effendi adalah pengasas stesen TV swasta kedua Malaysia – ntv7 pada tahun 1988. Bagaimanapun ntv7 kemudiannya dijual kepada Media Prima Berhad berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh stesen itu.
10 Januari
Puncak Semangat dapat kontrak bina kemudahan infrastruktur penyiaran digital
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan bahawa Puncak Semangat Sdn Bhd telah memenangi tender untuk membangunkan kemudahan infrastruktur penyiaran digital bagi membolehkan Malaysia berhijrah sepenuhnya ke sistem penyiaran digital mulai 2015 untuk menggantikan sistem analog yang diguna pakai pada waktu ini. Syarikat itu akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi tujuan itu. Dengan sistem penyiaran digital, stesen-stesen TV dan radio yang dipancarkan secara percuma oleh pihak kerajaan menerusi Jabatan Penyiaran ketika ini akan dapat ditambah. Selain itu, stesen-stesen TV swasta yang masih menggunakan sistem analog juga akan mendapat faedah. Ini termasuklah TV3, ntv7, TV9, 8TV, TV Alhijrah dan juga Bernama TV. Pendigitalan sistem penyiaran ke seluruh negara ini akan dilakukan melalui empat fasa. Fasa pertama meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang; fasa kedua Sabah dan Sarawak; fasa ketiga Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka dan fasa keempat meliputi Kuala Lumpur dan Lembah Kelang. 48 peratus isi rumah yang menikmati sistem TV percuma akan menikmati penyiaran digital TV dan radio apabila ia dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir 2016.
16 Januari
Draf rang undang-undang penubuhan Majlis Media sedang dirangka
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan bahawa draf rang undang-undang untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia, seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Rakyat pada 16 April 2012, sedang dirangka oleh pihaknya. Beliau dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai menyatakan bahawa dalam memperincikan draf rang undang-undang itu, pelbagai aspek mengenai media akan disentuh. Ini termasuklah keahlian majlis, fungsi, pihak yang ditakrifkan sebagai wartawan, sekatan-sekatan dan sumber-sumber kewangan. Dalam merangka draf itu, beliau berkata, pihaknya juga melakukan kajian berkait kewujudan majlis yang sama di beberapa buah negara termasuk United Kingdom, Australia, India, Hong Kong dan Singapura. Pihaknya juga telah mengadakan sesi perundingan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam industri media di Malaysia. Menurut beliau “setakat ini lapan mesyuarat diadakan dengan turut melibatkan blogger. Kita juga menggalakkan penyertaan orang awam untuk memberikan input berhubung dengan cadangan penubuhan majlis itu. Berhubung soal keahlian, kita mencadangkan Majlis Media terdiri daripada wakil semua komponen dalam industri media terdiri daripada para wartawan, pemilik media, ahli akademik dan orang awam.” Mengenai fungsi Majlis Media, Abdul Ghani berkata tujuannya adalah untuk menggalakkan kebebasan bersuara menerusi media yang bebas dan bertanggungjawab. Berhubung komponen pentakrifan wartawan, beliau berpendapat siapa yang boleh ditakrifkan sebagai wartawan tertakluk kepada akta yang akan diwujudkan nanti. “Apa yang kami sedari, industri media semakin berkembang dan pentakrifan itu termasuk pemberita sambilan, blogger, kartunis dan warga Internet yang menyiarkan apa sahaja bentuk penulisan,” ujarnya.
25 peserta akhiri Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia anjuran MPI
Dua puluh lima orang pengamal media yang menyertai Zamalah Wartawan Muda 1 Malaysia anjuran Malaysian Press Institute (MPI) menamatkan program dua minggu yang bermula pada awal Januari 2014. Majlis penutupan dan penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin. Selama dua minggu mengikuti program itu, para peserta yang terdiri daripada kalangan wartawan yang berusia 30 tahun ke bawah dan masih mentah dengan selok belok penulisan dan pelaporan, telah didedahkan dengan ceramah dan latihan yang bertujuan untuk menajamkan mata pena mereka. Selain itu, mereka juga didedahkan dengan ilmu kenegaraan yang membantu mereka untuk memahami bagaimana tiga cabang kuasa negara iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari berinteraksi dan berfungsi. Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2014 adalah program keempat anjuran MPI. Ia dibiayai oleh satu geran khas yang disediakan oleh pejabat Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
6 Februari
The Star kekal akhbar bahasa Inggeris nombor satu
Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star dan edisi mingguannya, Sunday Star kekal berada pada kedudukan nombor satu dari segi edaran sepanjang 2013. Memetik angka-angka yang dikeluarkan oleh Audit Bureau of Circulation (ABC), The Star melaporkan bagi tempoh enam bulan antara Januari hingga Jun 2013, jualan akhbarnya ialah 338,368 naskah sehari manakala Sunday Star pula 339,002 naskah. Angka-angka itu meliputi langganan akhbar elektronik, selain jualan di pasaran terbuka. Dibandingkan dengan akhbar-akhbar berbahasa Inggeris yang lain, edaran akhbar The Star dan Sunday Star adalah seperti berikut:
Akhbar | Januari – Jun 2013 | Julai – Disember 2012 | Januari – Jun 2013 |
The Star | 338,368 | 331,120 | 298,288 |
New Straits Times | 118,012 | 94,720 | 100,380 |
Sunday Star | 339,002 | 334,149 | 300,431 |
New Sunday Times | 134,646 | 102,406 | 108,595 |
Edge | 20,720 | 22,444 | 21,976 |
23 Februari
Fitnah Nizar: TV3 diperintah bayar ganti rugi
Mahkamah Rayuan Putrajaya mendapati bahawa Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) atau lebih dikenali sebagai TV3 didapati bersalah memfitnah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung laporan mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim bin Sultan Iskandar. Panel hakim tiga orang yang diketuai oleh Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof, atas kesalahan itu, memerintahkan TV3 membayar ganti rugi RM30,000.00 kepada Nizar. Dalam penghakimannya, Mohamad Ariff menyatakan TV3 telah gagal dari segi justifikasi dan gagal menunjukkan bahawa laporan berita itu benar atau separuh benar. Selain itu, hakim berpendapat, dalam menyiarkan berita, terdapat niat jahat pada pihak TV3. Kes saman fitnah Nizar itu dibawa ke Mahkamah Rayuan oleh Nizar selepas beliau kalah pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 April 2013. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati tuntutan saman fitnah Nizar sebanyak RM50 juta terhadap TV3 adalah tidak berasas. Mahkamah mendapati bahawa TV3 selaku defenden berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dalam ulasan saksama dalam perkara yang membabitkan kepentingan awam. Bagaimanapun apabila kes yang sama di bawah ke Mahkamah Rayuan, tiga orang hakim itu mendapati sebaliknya bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah salah.
31 Mac
Pelanggan Astro kini 3.9 juta
Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memaklumkan bahawa pelanggan stesen TV berbayarnya sehingga tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari 2014 adalah sebanyak 3.9 juta. Bilangan ini adalah pertambahan sebanyak 400,000 berbanding pada 31 Januari 2013. Dengan pertambahan terbaru itu, Astro menguasai 56 peratus daripada kediaman yang memiliki televisyen di negara ini. Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata bilangan pelanggan yang bertambah itu telah membolehkan syarikat media itu meningkatkan peningkatan hasil sebanyak 12 peratus kepada RM4.8 bilion pada 31 Disember 2014, berbanding tahun sebelumnya. Pada waktu yang sama, Astro turut mencatatkan pertumbuhan perbelanjaan pengiklanan sebanyak 15 peratus kepada RM582 juta daripada RM504 juta pada awal 2013. Rohana juga berkata “kami melihat permintaan kukuh yang berterusan terhadap rancangan yang ditawarkan oleh Astro dengan 15 rancangan mencatatkan lebih satu juta tontonan.”
18 April
TPM mahu pengamal media suburkan kewartawan patriotisme
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2014 yang berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya, pada jam 8 malam. Majlis tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu diadakan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM300,000.00. Hadiah utama HKM, Anugerah Kajai, telah disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin. Hadiah kepada para pemenang lain telah disampaikan sendiri para ketua pengarang. Kira-kira 800 orang, sebahagian besarnya wartawan, dan selebihnya rakan-rakan korporat MPI, hadir pada majlis itu. Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri meminta pengamal media supaya jangan malu menyuburkan kewartawanan bertanggungjawab dan patriotisme demi membangunkan negara. Beliau mengamati berdasarkan tragedi MH370, wartawan setiap negara di muka bumi melaporkan tragedi itu mengikut kepentingan nasional masing-masing. Justeru, tidak menjadi satu keaiban sekiranya pengamal media Malaysia juga menegakkan prinsip patriotisme dalam liputan masing-masing.
Para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013
Pada Malam Wartawan 2014, Tan Sri Muhyiddin telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013. Hadiah utama iaitu Anugerah Kajai dimenangi oleh Wan Norhayati Wan Alias dari akhbar BH atau Berita Harian. Laporan pemenang Anugerah Kajai HKM 2013 merupakan satu pendedahan berani perbuatan curang segelintir pegawai imigresen di KLIA dan LCCT telah menerima sogokan sehingga RM20,000.00 untuk melepaskan warga asing masuk ke negara ini secara haram. Pendedahan itu telah membawa kepada pendakwaan dan juga hukuman terhadap empat orang pegawai imigresen dan warga asing yang terlibat. Atas kejayaannya, Wan Norhayati menerima hadiah RM30,000.00, sekeping siling emas 100 gram dan Mini Ipad sumbangan Suria KLCC Sendirian Berhad. Pemenang-pemenang lain HKM 2013 adalah seperti berikut:
Kewartawanan Foto Cemerlang
Pemenang: Mohamad Nasarudin bin Mohamamed Adib, Bernama
Hadiah: RM15,000.00
Foto memukau para peserta Jelajah Malaysia 2013, melintasi stesen keretapi Gemas, ketika bersaing dalam peringkat kedua perlumbaan itu dari Rembau, Negeri Sembilan ke Batu Pahat, Johor. Foto itu dianggap menarik kerana para peserta kelihatan dekat antara satu sama lain seolah-olah mereka melupakan persaingan buat seketika sewaktu melintas stesen keretapi berkenaan.
Esei Foto Cemerlang
Pemenang: Mohd Aizuddin Akmal bin Saad, Harian Metro
Hadiah: RM12,500.00
Rakaman gambar-gambar yang memaparkan luahan perasaan demonstrasi pro bekas Presiden Mohamad Mursi di Dataran Rabiatul Adawiyah, Nasr City di Mesir setelah digulingkan oleh pihak tentera. Rakaman foto-foto itu diiktiraf oleh panel hakim berpiawai antarabangsa. Perasaan marah yang teramat, sedih, kecewa dalam kalangan pro Mursi berjaya dirakam oleh jurufoto dengan berkesan – bukti bahawa bakat tempatan juga tidak kalah dengan jurufoto luar negara.
Berita Video Terbaik
Pemenang: Tan Su Lin dan Hairul Wildan bin Haroun Al Rashid, Astro Awani
Hadiah: RM15,000.00
Laporan empat siri mengenai kerakusan dalam kalangan nelayan yang tidak bertanggungjawab menggunakan bom sebagai cara mudah untuk menangkap ikan di perairan Sabah. Laporan dinilai menarik dari segi penceritaan dan penggunaan visual yang sesuai untuk menyokong wartawan menyampaikan naratifnya. Paparan jelas kemusnahan yang berlaku terhadap hidupan di dasar laut dapat disaksikan dalam laporan ini.
Dokumentari Video Terbaik
Pemenang: Irin Putri Azmi dan Jebat M. Roseli, Majalah 3, TV3
Hadiah: RM15,000.00
Dokumentari mengenai khazanah hidupan liar di Sabah. Sarat dengan maklumat. Visual yang dirakam memukau. Persembahan, suara latar dan standupper wartawan amat baik. Penceritaannya juga menarik. Diakui dokumentari ini adalah hasil kerja seorang wartawan yang tekun, teliti dan rapi dalam melakukan penyelidikan. Sanggup berada di lapangan, sekali pun di dalam hutan.
Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail
Pemenang: Sakini binti Mohd Said, Bernama dan Pauline Wong May Wan, The Heat
Hadiah: RM7,500.00 bagi setiap pemenang
Para penilai berpendapat empat karya bagi setiap pemenang yang dikemukakan untuk kategori ini memperlihatkan potensi mereka untuk muncul sebagai wartawan berkaliber pada masa-masa datang, seandainya mengekalkan dan meningkatkan ketajaman dan kemahiran mereka menulis.
Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang
Pemenang: Yip Yoke Teng, The Star.
Hadiah: RM15,000.00
Karya yang mendedahkan penggondolan Bukit Enggang di Hulu Langat yang merupakan sebuah projek perumahan yang terbengkalai. Ia kemudian dijadikan tempat buangan sampah dengan kesan yang memudaratkan terhadap penduduk dan alam sekitar berhampiran kawasan itu.
Laporan Berita Cemerlang
Pemenang: Pearl Siok Li dan Haresh Singh, The Malay Mail
Hadiah: RM15,000.00
Tiga laporan mereka sepanjang 2013 telah dihantar untuk kategori ini. Masing-masing berjudul Foreign Student Uproar, Sickening mess dan Ministries toscrutinize EMGS, dihakimi mempunyai nilai berita yang tinggi dan berimpak besar. Secara berani, mereka telah membongkar kepincangan berkait dengan pengambilan pelajar asing di negara ini.
Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang
Pemenang: Trio dari New Straits Times – Yushaimi Yahaya, Sharanjit Singh dan Badrol Hisham Bidin yang berkongsi hadiah RM15,000.00.
Tiga laporan mereka masing-masing berjudul Danok Gunrunners, Gunrunners give more bang for your back dan take out from us, firing gun is difficult dinilai mengandungi nilai berita yang tinggi; hasil ketekunan mereka melakukan penyiasatan berupaya membongkar satu kegiatan haram penjenayah yang seolah-olah ditutup sebelah mata oleh pegawai-pegawai penguatkuasa.
Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang
Pemenang: Syed Azwan Syed Ali, BH
Hadiah: RM15,000.00
Tiga laporan yang beliau tampilkan untuk kategori ini berjudul Biarlah Kami hidup di sini; terpaksa sorok perkataan muslim dan pelarian Rohingya cecah 30,463. Ia dihasilkan setelah Syed Azwan pergi ke Rohingya, Myanmar untuk melihat sendiri penderitaan dan kesengsaraan hidup orang Rohingya di bumi mereka sendiri sehingga memaksa sebilangan mereka untuk meninggalkan tanah air sendiri dan lari ke negara ini. Laporan beliau yang dihasilkan berdasarkan pengamatan yang tajam, keupayaan menghidu nilai berita serta bercerita secara bersahaja, cukup menyentuh perasaan siapa juga yang membacanya.
Penulisan Rencana Cemerlang
Pemenang: Joseph Wong Fook Ming, Focus Malaysia
Hadiah: RM15,000.00
Tiga rencana yang dihasilkan masing-masing berjudul Million Ringgit School Education, Sarawak’s elusive Timber Tycoons dan Ananda on the Prowl. Panel hakim berpendapat karya itu bukan sahaja ditulis dengan baik, tetapi melahirkan hasil kerja-kerja penyelidikan yang teliti dan rapi, menggunakan bahasa yang kaya dengan khazanah perbendaharaannya.
Penulis Kolum/Ruangan Cemerlang
Pemenang: Fauziah binti Md Arof, Utusan Malaysia
Hadiah RM15,000.00
Tiga bahan yang beliau kemukakan untuk dinilai berjudul Perihal marah bukan kepalang apabila harga minyak naik; bertindak tegas dengan undang-undang sedia ada dan kenapa harga ayam kerap naik musim-musim perayaan. Panel hakim berpendapat sebagai penulis ruangan mingguan, Fauziah mempunyai keunikan tersendiri; cara beliau menulis adalah bersahaja ada kalanya dengan sindiran dan gurauan yang halus. Karya-karya Fauziah juga diakui mempunyai gaya dan kekuatan sendiri dalam menginsankan isu-isu yang dianggap serius. Isu-isu kepenggunaan nampaknya dekat dengan hati beliau.
Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas
Pemenang: Isabelle Lai Lin Hui, The Star
Hadiah: RM15,000.00
Sekali lagi laporan tentang kemusnahan alam sekitar secara berleluasa dan tanpa dikawal di kawasan Cameron Highland terpilih bagi kategori ini. Tiga laporan eksklusif yang dihasilkan berjudul the raving goes on, saving the highland dan pos terisu areas raided. Pendedahan Isabelle mengenai kawasan alam terbaharu yang menjadi kerakusan pembangunan di Cameron Highland dipilih kerana kerapian penyelidikan dan keistimewaan penceritaannya. Pemilihan ini menggambarkan perjuangan berterusan golongan wartawan untuk memastikan kemusnahan di tempat peranginan yang terkenal sejuk satu waktu dulu, terus mendapat perhatian.
Anugerah Khas
Penerima: Khalidah Abidah binti Amin (bekas wartawan the New Straits Times) dan Lailah Elok (RTM Sabah)
Hadiah: RM7,500.00 bagi setiap penerima
Hadiah ini diberi kepada kalangan wartawan – cetak atau elektronik yang telah berkhidmat secara berterusan selama tidak kurang daripada 20 tahun. Dan sepanjang perkhidmatannya menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kerja-kerjanya. Selain cemerlang dalam tugas hakikinya, calon juga ada masa untuk mengembangkan bakat dan minatnya dalam bidang-bidang berkaitan penulisan, selain menyumbang bakti kepada badan-badan bukan kerajaan dan kemasyarakatan.
Adibah, menyertai bidang kewartawanan pada usia 35 tahun dengan akhbar the New Straits Times pada 1971. Beliau diakui sebagai penulis kolum yang tajam pengamatannya menerusi kolum As I Was Passing dengan nama pena Sri Delima. Pada waktu yang sama berkhidmat dengan NST, beliau menghasilkan skrip drama radio, cerpen dan novel serta esei kesusasteraan, selain menterjemah karya-karya fiksyen dan bukan fiksyen ke Bahasa Inggeris. Beliau juga turut berlakon dalam filem dan drama. Sepanjang kerjayanya dalam bidang kewartawanan, beliau telah memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Antaranya Asian Journalist of the Year pada 1979 daripada Press Foundation of Asia. Adibah Amin pernah menjadi pengarang pertama majalah Jelita dan jawatan terakhir sebelum bersara ialah Penolong Khas kepada Pengarang Kumpulan News Straits Times.
Lailah, 50, telah berkhidmat selama 28 tahun di Jabatan Penyiaran Sabah, atas pelbagai kapasiti: pelapor, penyampai dan pengulas sukan, antaranya sukan Komanwel 1998; Sukan SEA 2001; Sukan Sukma. Juga pernah menjadi penyampai berita TV1 bagi segmen Sabah antara 2001 hingga 2004. Beliau juga pernah menjadi pengacara pelbagai program ehwal semasa yang disiarkan secara langsung di RTM. Beliau juga pernah berlakon dalam drama TV terbitan RTM, selain menghasilkan Antologi Skrip Drama Radio yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada 2005, Lailah dinobatkan sebagai penerima Personaliti Radio Paling Versatile, Anugerah Seri Angkasa. Semasa mengikut suaminya belajar di Aberdeen antara 1988 hingga 2011, beliau menjadi kolumnis ruangan mingguan dalam akhbar Utusan Borneo. Lailah juga terbabit dalam kerja-kerja amal di bawah program Projek Perkongsian Komuniti anjuran Parlimen Scotland.
6 Mei
Perubahan kepimpinan editorial Kumpuan Media The Star
The Star Media Group mengumumkan pelantikan Ketua Pengarang Kumpulannya, June HL Wong sebagai Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Kandungan berkuatkuasa serta merta. Leanne Goh, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan pula dilantik sebagai pemangku jawatan yang dikosongkan oleh June, yang tidak sampai setahun memegang jawatan itu. Sebagai supremo pembangunan kandungan, June akan membantu Pengarah Urusan Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai untuk membangunkan produk digital dan TV kumpulan itu selain menyelaraskan rancangan konvergennya. Serentak dengan pelantikan-pelantikan itu, The Star juga mengumumkan pelantikan Calvin Tan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan.
19 Mei
Sebar berita bisnes: The Star dan Bloomberg TV Malaysia jalin kerjasama
Kumpulan Media The Star dan Bloomberg TV Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyediakan berita bisnes meliputi media cetak, digital, radio dan televisyen untuk menembusi selebar mungkin khalayak. The Star diwakili oleh Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Wong Choon Wai manakala Bloomberg TV Malaysia diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Effendi Norwawi. Bloomberg TV Malaysia dijangka memulakan operasinya pada Julai 2014 di pusat penyiarannya di Encorp Strand, Kota Damansara. Di bawah persefahaman itu, berita-berita bisnes Bloomberg TV Malaysia akan diberi tempat dalam pelbagai platform media The Star – cetak, digital dan radio manakala berita-berita binses The Star pula akan disiarkan oleh Bloomberg TV Malaysia. Selain itu, para wartawan bisnes The Star akan juga ditampilkan sebagai pelapor dan pengulas dalam program-program bisnes Bloomberg TV Malaysia secara lintas langsung dari studio di menara The Star. The Star juga akan mempunyai akses untuk menyebarkan berita dalam rangkaian Bloomberg TV di negara-negara ini di mana Bloomberg beroperasi.
21 Mei
Memfitnah Mahfuz Omar: Mahkamah Rayuan arah NSTP bayar ganti rugi
Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM150,000.00 yang dikenakan terhadap The New Straits Times Press (NSTP) kepada seorang pemimpin PAS, Datuk Mahfuz Omar. Perintah itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes itu pada 19 Ogos 2009. Ahli Parlimen Pokok Sena itu telah menyaman NSTP kerana mendakwa berita yang bertajuk Mahfuz ajak wakil rakyat bertumbuk, yang disiarkan oleh Berita Harin bertarikh 9 November 2000 adalah tidak benar. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati BH bersalah dan mengarahkan NSTP membayar ganti rugi RM150,000.00, di samping kos sebanyak RM40,000.00. NSTP tidak berpuas hati dan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Bagaimanapun panel hakim tiga orang yang diketuai oleh Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
23 Mei
China Daily Asia sertai kolaborasi ePaper CIMB-Asean
China Daily Asia Weekly menjadi anggota terbaru kolaborasi ePaper CIMB-Asean pada satu majlis yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Mohd Nazir Razak. Kolaborasi atas inisiatif CIMB itu telah dilancarkan pada April 2014 yang membabitkan empat surat khabar Asia Tenggara iaitu The Star (Malaysia), Jakarta Post (Indonesia), The Nation (Thailand) dan Daily Inquirer (Filipina). Sejak dilancarkan 80,000 telah melanggani kolaborasi ePaper itu.
22 Mei
Zulkefli Salleh terajui ISWAMI
Ketua Pengarang agensi berita nasional, Bernama, Datuk Zulkefli Salleh terpilih sebagai pengerusi baharu Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) pada pemilihan yang diadakan sempena mesyuarat agung tahunan persatuan itu. Beliau akan memegang jawatan itu untuk tempoh tiga tahun. Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah pula kekal sebagai timbalan pengerusi, juga untuk tempoh tiga tahun. Turut menang tanpa bertanding ialah Naib Presiden 1, Datuk Jalil Ali (Kumpulan Karangkraf), Naib Pengerusi 2, Datuk Mustapa Omar (Harian Metro), Setiausaha ISWAMI, Padilah Ali (Dewan Bahasa dan Pustaka) dan Penolong Setiausaha, Aninah Janang (Dewan Masyarakat). Datuk Ibrahim Abdul Rahman (Jabatan Penerangan Malaysia) diamanahkan sebagai bendahari manakala Penolong Bendahari pula ialah Datuk Baharom Mahusin (Kosmo!). Melengkapkan barisan kepimpinan ISWAMI ialah 10 orang ahli Majlis Pentadbir yang terdiri daripada Datuk Abdul Aziz Ishak (Kumpulan Utusan), Datuk Seri Wong Chun Wai (The Star), Datuk Ahmad A. Talib (Media Prima), Datuk Chamil Wariya (MPI), Datuk Dr. Awang Sariyan (DBP), Datuk Mohd Ashraf Abdullah (Media Prima), Datuk Ibrahim Yahaya (BernamaTV), Mahfar Ali (Berita Harian), Ch’ng Boon Heng (New Sabah Times) dan William Chan (Utusan Sarawak).
24 Mei
ADEX suku pertama 2014 meningkat 13.5 peratus
Starbizweek melaporkan perbelanjaan pengiklanan atau advertising expenditure (ADEX) bagi suku pertama 2014, iaitu antara Januari hingga April meningkat sebanyak 13.5 peratus kepada RM4.2 bilion berbanding RM3.67 bilion untuk tempoh yang sama pada 2013. Iklan di sinema menyaksikan peningkatan paling tinggi iaitu sebanyak 51.7 peratus; diikuti oleh stesen televisyen berbayar sebanyak 30 peratus. ADEX surat khabar meningkat 8.1 peratus manakala stesen TV percuma membolot 8.3 peratus tambahan bagi 2014 berbanding 2013. ADEX radio bagaimanapun mengalami penurunan -2.2 peratus. Perbelanjan pengiklanan mengikut media bagi suku pertama 2014 adalah seperti berikut:
Media | Jan-April 2013 (%) | Jan-April 2014 (%) | Pertumbuhan (%) |
Surat khabar | 36.7 | 34.6 | 8.1 |
TV Berbayar | 32.3 | 36.6 | 30.0 |
TV Percuma | 24.8 | 23.4 | 8.3 |
Radio | 3.7 | 3.2 | -2.2 |
In-Store Media | 1.3 | 1.1 | 12 |
Majalah | 1.0 | 0.9 | 2.2 |
Sinema | 0.2 | 0.3 | 51.7 |
Jumlah | 100.0RM3.67 bilion | 100.0RM4.21 bilion | 14.8 |
26 Mei
Peringatan PM kepada wartawan: kritiklah, tapi jangan memfitnah
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengingatkan para wartawan terdapat perbezaan yang ketara antara membuat kritikan yang membina dengan memfitnah. “Saya mengalu-alukan kritikan yang bermakna dan konstruktif. Tetapi terdapat perbezaan yang ketara antara kritikan dan memfitnah. Fitnah boleh berbentuk primer – apabila seseorang menyatakan ulasan yang memfitnah atau sekunder apabila ulasan itu diterbitkan semula. Kedua-dua fitnah itu adalah sama di bawah undang-undang,” tegas Najib sewaktu berucap pada Malam Anugerah Kelab Akhbar Kebangsaan di Kuala Lumpur. Perdana Menteri membuat penegasan itu sebagai reaksi terhadap kalangan yang tidak senang dengan tindakannya memfailkan saman fitnah terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini yang menurut Najib telah menyiarkan dua komen pembaca yang memfitnah beliau. Beliau mempertahankan tindakannya itu atas alasan “tokoh publik berhak untuk melindungi reputasinya daripada dicemar oleh yang telah melebihi sempadan kritikan.” Pada waktu yang sama beliau menjelaskan bahawa tindakannya tidak membayangkan agenda yang lebih besar dalam erti kata ia bukanlah bertujuan untuk menindas suara-suara yang kritkal. Tindakan itu juga bukanlah satu tindakan menyekat kebebasan. “Tindakan untuk mengenakan tindakan terhadap portal berita itu diambil berasaskan pandangan pasukan perundangan saya bahawa tuduhan-tuduhan yang diterbitkan oleh portal berita telah melampaui sempadan kritikan iaitu telah memfitnah,” tegas Najib. Bagi beliau tindakan menyaman media bukan sesuatu yang luar biasa di negara ini kerana kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang telah berbuat demikian terhadap media yang mereka percaya telah melanggar undang-undang. Perdana Menteri melihat tindakan memfailkan saman itu sebagai satu tindakan keseimbangan: keseimbangan antara terbukaan terhadap kiritikan awam yang membina sewaktu memegang jawatan awam, dan hak asasi untuk melindungi nama baik anda daripada diserang secara tidak beradab kerana kepercayaan-kepercayaan politik.”
28 Mei
ABC terbitkan edaran akhbar Julai-Disember 2013
Akhbar Mingguan Malaysia, terbitan Kumpulan Utusan, muncul sebagai akhbar yang mempunyai edaran tertinggi bagi enam bulan kedua 2013. Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini memetik angka-angka yang dikeluarkan oleh Biro Audit Pengedaran yang mengesahkan bahawa antara Julai hingga Disember 2013, penjualan bersih akhbar mingguan itu ialah 372,046 bagi setiap kali penerbitannya. Dalam kalangan akhbar mingguan, Metro Ahad berada pada kedudukan kedua dengan edaran sebanyak 361,645 naskah. Kosmo! Ahad menduduki tempat ketiga dengan 214,837 naskah manakala BH Ahad ditempat keempat dengan edaran sebanyak 159,176. Bagi akhbar harian berbahasa Melayu, Harian Metro mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak 342,689 naskah sehari; diikuti oleh Utusan Malaysia, 179,098 naskah dan Berita Harian 119,163 naskah. Sebuah lagi akhbar, Sinar Harian tidak diaudit oleh ABC. Dalam kalangan akhbar berbahasa Inggeris, akhbar The Star mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak 291,675 naskah, jauh meninggalkan the New Straits Times yang dijual sekadar 77,685 naskah. Akhbar berbahasa Cina yang tertinggi ialah Harian Sin Chew yang edarannya adalah sebanyak 366,390 naskah. Statistik jualan akhbar-akhbar utama Malaysia antara Julai hingga 20 Disember 2013 adalah seperti berikut:
Bahasa Melayu
Nama akhbar | Edaran |
Mingguan Malaysia | 372,046 |
Metro Ahad | 361,645 |
Harian Metro | 342,689 |
Kosmo! Ahad | 214,837 |
Kosmo! | 205,999 |
Utusan Malaysia | 179,098 |
BH Ahad | 159,176 |
BH | 119,163 |
Bahasa Inggeris
Nama akhbar | Edaran |
Sunday Star | 292,226 |
The Star | 289,611 |
New Sunday Times | 98,776 |
New Straits Times | 77,685 |
The Edge | 24,284 |
Bahasa Cina (edisi pagi)
Nama akhbar | Edaran |
Sin Chew | 366,390 |
China Press | 175,749 |
Oriental Daily | 86,440 |
Guang Ming | 84,858 |
Sumber: Mingguan Malaysia/Utusan Malaysia yang memetik angka-angka ABC.
29 Mei
Ulang tahun ke 75 Utusan diraikan sederhana
Warga kerja Kumpulan Utusan meraikan ulang tahun ke 75 organisasi itu secara sederhana. Tidak ada perayaan besar-besaran, barangkali kedudukan kewangan syarikat itu yang terus mengalami kerugian, tidak mengizinkannya berbuat demikian. Satu majlis ringkas diadakan di komplek baharu ibu pejabat Utusan yang terletak di Jalan Utusan, off Jalan Chan Sow Lin. Beberapa hari sebelum perayaan itu, Kumpulan Utusan memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa untuk suku pertama 2014, perolehan syarikat itu berkurangan RM10 juta kepada RM60 juta berbanding perolehan suku yang sama pada 2013. Syarikat juga terus mengalami kerugian yang meningkat. Kekurangan pendapatan pengiklanan dan hasil jualan akhbar dinyatakan sebagai punca kemerosotan perolehan dan kerugian berterusan yang dialami oleh syarikat. Tarikh 29 Mei setiap tahun ini dipilih sempena penerbitan akhbar pertama syarikat itu di Singapura iaitu Utusan Melayu yang menemui khalayaknya pada tarikh yang sama pada 1929. Sebagai sebuah syarikat, Utusan Melayu telah didaftarkan sebagai sebuah entiti perniagaan lebih awal. Bagaimanapun akhbar harian dalam tulisan Jawi itu telah diberhentikan penerbitannya pada 31 Disember 2002 kerana permintaan untuk akhbar yang banyak berjasa itu tidak lagi boleh membiayai kos penerbitannya. Dengan bantuan kerajaan, Utusan Melayu ditransformasikan menjadi sebuah akhbar mingguan dengan nama Utusan Melayu Mingguan yang diedarkan sebagai sisipan akhbar Utusan Malaysia pada setiap Isnin. Sisipan itu juga telah ditamatkan riwayatnya. Perjuangan Utusan Melayu kini diteruskan oleh Utusan Malaysia, sebuah akhbar rumi yang diterbitkan September 1967 dan produk terbarunya, Kosmo! yang diterbitkan pada 30 Ogos 2006.
1 Jun
Pembaharuan Buletin Utama – set baharu, penyampai lama
Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) yang lebih dikenali dengan TV3 merayakan ulang tahun ke 30 tahun hari ini – dengan melakukan pembaharuan program berita utamanya, Buletin Utama (BU). Tetapi yang ketara baharu dalam pembaharuan program berita sejam, yang disiarkan pada waktu perdana jam lapan malam adalah setnya yang moden, berpaksikan kemudahan maya dan penggunaan aplikasi teknologi maklumat yang canggih sedangkan penyampai-penyampai lama dikekalkan. Perbezaan cuma dari bilangan penyampai. Sekiranya sebelum itu, penyampai utamanya berpasangan – seorang lelaki dan seorang wanita, di bawah perubahan, BU pada hari bekerja, menampilkan seorang penyampai utama, dengan tiga penyampai segmen. Segmen-segmen itu ialah berita bisnes, berita luar negara dan berita sukan. Bagi BU hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, penyampaian dan kandungannya adalah lebih santai. BU Sabtu dan BU Ahad disampaikan oleh seorang penyampai utama, dan seorang penyampai bagi segmen Hujung Minggu @ BU. Antara bahan-bahan ringan yang dimuatkan dalam Hujung Minggu @BU ialah aduan rakyat, gaya sihat, hiburan. Antara penyampai lama yang bertindak sebagai penyampai utama pada minggu pertama ialah: Pang Chin Pei, Izwan Azir Saleh, Azwaliza Azman, Suhaimi Ahmad, Kamaruddin Mape. TV3, sebuah saluran yang bernaung di bawah Media Prima Berhad adalah stesen TV swasta pertama Malaysia. Ia memulakan siaran pada 1 Jun 1984. Sekalipun terdapat stesen-stesen TV swasta yang lain dalam tempoh tiga dekad itu, TV3 berjaya mengekalkan kedudukan sebagai penyiaran nombor satu negara. Ia menguasai sekitar 30 peratus jumlah penonton.
Mingguan Malaysia tidak akan dijadikan akhbar murahan untuk pertahankan kedudukan nombor 1
Setelah disahkan oleh Audited Bureau of Circulation (ABC) sebagai akhbar tertinggi jualannya, Mingguan Malaysia tampil dengan slogan AKHBAR NOMBOR 1 di atas mastheadnya mulai 1 Jun 2014. Bangga dengan status baharu itu, pengarangnya, Ku Seman Ku Hussain menegaskan pasukan editorial yang beliau pimpin tidak akan merendahkan kualiti kandungan semata-mata mahu mengejar atau mempertahankan kedudukannya itu. Sebaliknya beliau menegaskan angka terbaharu ABC itu adalah bukti bahawa penerbitan yang memuatkan bahan-bahan serius serta bersifat politik yang bagi sesetengah pihak dianggap bahan yang bukan mahu dibaca, juga boleh mendapat tempat di hati pembaca. Menurut Ku Seman, “pasukan editorial Mingguan Malaysia percaya, dengan tahap pendidikan yang jauh lebih baik dalam kelas menengah dan elit bertambah, golongan ini memerlukan akhbar yang memenuhi selera status sosial mereka. Golongan ini kehausan bahan bacaan yang mencabar pemikiran. Pasukan editorial Mingguan Malaysia yakin bahawa faktor yang menarik pembaca memilih sesebuah akhbar adalah tahap wibawanya yang dipancarkan menerusi bahan yang disiarkan.” Justeru bagi Ku Seman penyiaran bahan bacaan ringan, sensasi serta bercorak hiburan iaitu formula lazim untuk melariskan jualan akhbar, tidak akan menjadi pilihan Mingguan Malaysia. Beliau tidak pula menyatakan sisipan Pancaindera yang memuatkan bacaan ringan dunia hiburan yang ada kalanya agak sensasi dan penuh gosip akan ditransformasikan dengan bahan-bahan bacaan berintelektual tinggi yang terdapat dalam akhbar utamanya.
30 Mei
UMNO saman Malaysiakini kerana memfitnah presidennya
Bertindak bagi pihak Presiden UMNO dan Setiausaha Kerja UMNO, firma guaman Hafarizan Wan & Aishah menyerahkan writ saman terhadap portal berita Malaysiakini di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur. Writ itu menamakan tiga defenden iaitu Mkini Dotcom Sdn. Bhd., (penerbit portal berkenaan), Steven Gan (Ketua Pengarang Kumpulan) dan Fathi Aris Omar (Ketua Pengarang). Penganalisis undang-undang Prof Salleh Buang dalam satu tulisannya berjudul Saman yang bukan luar biasa menyatakan penyampaian writ saman serta pernyataan tuntutan adalah langkah pertama kes tuntutan fitnah oleh keda-dua plaintif terhadap ketiga-tiga defenden. Menurut beliau, asas tuntutan UMNO ini adalah fitnah yang disiarkan portal Malaysiakini pada 14 Mei 2014, terkandung dalam dua artikel (kompilasi komen pembaca portal dalam bahasa Inggeris dakam ruangan Yoursay bertajuk A Case of the PM reaping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu? Penyerahan writ pada 3 Jun 2014 itu adalah lanjutan kepada notis tuntutan yang dihantar kepada Malaysiakini pada 15 Mei 2014 yang meminta portal itu memohon maaf tanpa bersyarat dalam tempoh 48 jam kepada Presiden UMNO berhubung penyataan fitnah itu. Peguam plantif mengatakan artikel yang telah disiarkan pada 14 Mei 2014 itu “adalah tidak berasas sama sekali, tanpa sebarang bukti yang kukuh” serta didorong oleh “mala fide untuk memburukkan dan merosakkan reputasi anak guamnya. Artikel itu juga didakwa oleh peguam plaintif menjejaskan kredibiliti Presiden UMNO dan Setiausaha Kerja UMNO selaku tulang belakang kerajaan BN yang mentadbir Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik. Malaysiakini enggan memohon maaf, sebaliknya bersedia untuk menawarkan ruang untuk plaintif menjawab artikel-artikel itu. UMNO menolak tawaran itu dan memilih cara perundangan untuk mendapatkan keadilan pada pihak mahkamah.
4 Jun
Kudsia kekal Presiden CRM
Orang kuat Star Radio, Kudsia Kahar kekal sebagai Presiden Radio Commercial Malaysia (CRM) pada mesyuarat agung tahunan persatuan itu yang diadakan pada 21 Mei 2014. Selain Kudsia, Seelan Paul, yang mewakili rangkaian radio Media Prima Berhad, kekal sebagai Naib Presiden. Yusry Abu Samah dan Malek Ali masing-masing mengekalkan kedudukan sebagai Setiausaha dan Bendahari. Mereka akan memegang jawatan untuk tempoh dua tahun. CRM adalah sebuah organisasi yang mewakili 21 stesen radio komersial di Malaysia yang berganding bahu untuk menyelaraskan isu-isu peraturan, aktiviti perhubungan pendengar, program capaian bagi graduan dan perkongsian sumber untuk penarafan penyelidikan. Kudsia dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai mengatakan, antara matlamat utama CRM bagi 2014 adalah untuk memastikan penggubal dasar berusaha bersama-sama bagi mencetuskan momentum positif dalam penciptaan kandungan dan capaian radio. Menurut beliau: “Kami bercadang untuk bertemu dengan pihak berkuasa kawal selia bagi membincangkan tahap kaitan garis panduan yang diperkenalkan menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mencadangkan pindaan yang mencerminkan persekitaran semasa dari segi penciptaan dan pengedaran kandungan serta had pengiklanan.”
5 Jun
Falsafah Utusan perjuangkan bangsa, agama dan negara kekal
Walaupun sering dikritik kerana dasar-dasar editorialnya yang dianggap rasis oleh sesetengah kalangan, Kumpulan Utusan, penerbit akhbar Utusan Malaysia, tidak akan berganjak dari falsafah perjuangannya terhadap agama, bangsa dan negara. Ini ditegaskan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan yang baharu dilantik, Mohd Noordin Abbas pada mesyuarat agung tahunan kumpulan hari ini. Beliau menggantikan Datuk Mohd Nasir Ali yang tidak lagi disambung kontrak perkhidmatan selepas 12 tahun berkhidmat dengan kumpulan itu. Di bawah kepimpinan Nasir dan juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Kumpulan Utusan mencatatkan kerugian yang berterusan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. Punca utama kerugian itu adalah kemerosotan jualan akhbar dan pendapatan pengiklanan. Pada mesyuarat agung tahunan 2013 itu, Hashim melaporkan syarikat mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM16.2 juta. Kerugian syarikat yang dicatatkan bagi 2012 ialah RM15.8 juta. Bagi suku pertama 2014, Kumpulan Utusan mencatatkan kerugian sebanyak RM6 juta. Perolehan syarikat sepanjang tempoh itu juga merosot. Dalam usaha untuk mengembalikan keuntungan syarikat yang sudah berusia 75 tahun itu, Hashim mengumumkan pihaknya sedang mencari atau meneroka peluang-peluang perniagaan baharu yang boleh membantu menjana perolehan syarikat pada masa-masa akan datang. Kata Hashim: “syarikat tidak lagi boleh hanya bergantung kepada penerbitan akhbar sebagai teras, sebaliknya perlu mempelbagaikan perniagaan bagi memastikan Utusan terus berdaya maju.” Menurut beliau, antara prospek perniagaan telah dan akan diberi tumpuan pada masa-masa hadapan ialah sektor pembangunan hartanah yang sememangnya mempunyai potensi besar untuk memberi pulangan kepada syarikat. Penghijrahran ke sektor hartanah ini dimulakan dengan membangunkan bekas tapak Pusat Latihan Utusan yang terletak berhampiran dengan ibu pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Utusan, off Jalan Chan Sow Lin di Sungai Besi. Selain itu, bangunan lama Utusan yang telah dikosongkan, bertentangan dengan komplek baharu Utusan, juga akan dimajukan. Syarikat juga, menurut beliau, akan lebih agresif untuk menarik lebih banyak iklan dalam kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) supaya meningkatkan iklan mereka di dalam akhbar terbitan Kumpulan Utusan. Bidang lain yang boleh diberi tumpuan dan dilihat boleh membantu menjana pendapatan ialah sektor pengambilan dan latihan pekerja. Walaupun ada desakan dalam kalangan pegawai-pegawai kanan Kumpulan Utusan supaya Hashim melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Eksekutif, beliau sendiri tidak melihat tindakan itu sebagai satu pilihan yang boleh membantu memulihkan syarikat yang diterajui sejak lapan tahun lalu.
Penyiaran digital TV hadir pada 2015
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memaklumkan bahawa para penonton TV percuma akan menikmati penyiaran TV digital mulai 2015. Menurut beliau, Puncak Semangat, sebuah syarikat milik taikun Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, yang diberi konsesi 15 tahun untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan penyiaran TV digital akan membelanjakan RM2bilion untuk tujuan itu. Projek Digital Terrestrial TV (DTT) yang akan menjadikan Malaysia hab penyiaran termaju di rantau ini akan dilaksanakan dalam empat fasa. Akhbar the Star memetik Ahmad Shabery sebagai berkata fasa pertama akan menyaksikan khidmat itu dinikmati oleh para penonton TV di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 2015. Pada fasa kedua, khidmat DTT akan berkembang ke Sabah dan Sarawak; diikuti oleh fasa ketiga untuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Kuala Lumpur dan Lembah Kelang akan menikmati khidmat DTT pada fasa empat iaitu fasa terakhir. Menurut Shabery, dengan adanya khidmat DTT, lebih banyak saluran TV percuma akan diperkenalkan oleh RTM. Menggunakan khidmat penyiaran analog sekarang mengehadkan saluran TV. Perkembangan terbaharu DTT ini dinyatakan oleh Ahmad Shabery sewaktu melancarkan projek MYTV DTT TRANSFORMATION anjuran Puncak Semangat. Teknologi DTT menawarkan khidmat radio dan TV berkualiti tinggi yang disalurkan melalui aplikasi jalur lebar. Pengenalannya dilakukan sebagai menyelesaikan rungutan tentang bilangan saluran TV percuma yang terhad yang ditawarkan stesen-stesen TV awam dan swasta. Projek DTT yang dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun, akan memberi manfaat kepada enam juta isi rumah di negara ini. Mereka akan menikmati siaran TV percuma lebih banyak berbanding sekarang.
6 Jun
Saluran berita TV RTM beroperasi pada 2015
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan bahawa sebuah saluran berita TV milik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan mula beroperasi pada 2015. Saluran berita itu adalah salah satu daripada tujuh saluran RTM berikutan projek pendigitalan penyiaran RTM yang akan menjadi kenyataan pada tahun itu. Berita Nasional TV1 memetik Ahmad Shabery sebagai berkata, saluran berita yang bakal diwujudkan itu akan setanding dengan saluran berita CNN dan BBC. “Apa yang ada dalam CNN, apa yang ada dalam BBC, juga akan ada dalam saluran berita RTM,” kata beliau ketika berucap pada majlis mesra dengan warga kerja bahagian Berita dan Ehwal Semasa RTM. Ahmad Shabery percaya kemudahan infrastruktur penyiaran dan teknologi yang dimiliki oleh stesen TV kerajaan itu akan membolehkannya mengatasi pesaing-pesaing lain dalam bidang pemberitaan televisyen. Apabila saluran berita RTM menjadi kenyataan kelak, maka ini bermakna, Malaysia akan mempunyai sekurang-kurang tiga saluran berita – satu dikendalikan oleh Bernama iaitu Bernama TV dan satu lagi milik Astro – Astro Awani.
7 Jun
Tokoh media antara Tan Sri baharu
Dua orang tokoh media adalah antara penerima Darjah Kebesaran Persekutuan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini. Mereka ialah Pengerusi Media Prima Berhad, Johan Jaaffar dan bekas Penasihat Media Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Razak, Jalaludian Bahaudin. Tan Sri Johan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, sebelum dilantik menyandang jawatan sekarang pada 2009. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai bahasa di DBP selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaysia. Di Media Prima Berjad, pada mulanya beliau dilantik sebagai pengerusi eksekutif, tetapi gelaran eksekutif itu digugurkan sebulan kemudian. Tan Sri Jalaludin pula pernah menjadi wartawan dengan Bernama pada 1960an, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Ghazali Shafie. Beliau juga pernah berkhidmat dengan jawatan yang sama dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.
8 Jun
Persoal kuasa Sultan Johor dalam enekmen perumahan: Utusan tidak akan mohon maaf atau menghadap
Kumpulan Utusan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan memohon maaf kepada Sultan Johor atas kelantangannya mempertikaikan kuasa raja yang diberikan dalam enakmen penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ). Pihak Utusan juga tidak akan datang menghadap Sultan Johor jika dipanggil berbuat demikian. Pendirian tegas ini dinyatakan oleh kolumnis Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia keluaran hari ini. Awang Selamat mengatakan keputusan akhbarnya, Utusan Malaysia yang asalnya melaporkan enakmen itu memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk melantik ahli-ahli lembaga dan beberapa hal lain dalam LPHJ adalah untuk kepentingan awam. Tindakan kerajaan Johor itu ditentang oleh pelbagai pihak yang berpendapat memberi kuasa Raja adalah bercanggah dengan prinsip Demokrkasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan. Pemberian kuasa kepada Raja juga dilihat bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dasar Malaysia. Utusan Malaysia telah memberi ruang kepada pihak-pihak yang menentang enakmen tersebut. Utusan, menurut Awang Selamat, “tiada sebarang niat serong. Jika laporan mengenainya dimurkai, Awang pasrah. Biarlah dimurkai Raja asalkan dapat membawa suara rakyat kerana antara rakyat dan Raja berpisah tiada. Seharusnya pembesar istana berlapang dada dan responsif terhadap apa sahaja maklum balas. Itulah juga resepi menjadikan institusi Raja lebih disanjung dan disayangi rakyat. Daulat Tuanku.” Menjawab pertanyaan kemungkinan Utusan dipanggil menghadap Sultan Johor, Awang Selamat mengatakan tidak akan berbuat demikian. Tegas Awang, “Sebenarnya tiada sebab dalam era moden terutama landskap media yang baharu, pembesar istana boleh sesuka hati memanggil editor atau wartawan, apatah lagi untuk dimarahi. Itu bukan cara wajar… Jika ada sebarang teguran atau mahukan penjelasan mereka, cukup sekadar Sultan atau pihak istana mengutuskan wakil untuk bertemu dengan orang media. Adalah tidak sesuai bagi Sultan mencemar duli berurusan secara langsung dengan mana-mana editor jika timbul situasi yang tidak menyenangkan.”
9 Jun
The Star Online portal berita nombor 1
The Star Online muncul sebagai portal berita nombor 1 di Malaysia, menurut Malaysian Digital Association (MDA) dan comScore.com. Laporan April 2014 kedua-dua entiti mengatakan, halaman web akhbar itu dilawati oleh 971,000 pengunjung unik. Dalam kalangan seluruh halaman web, portal berita berada pada kedudukan kelima selepas halaman web Maybank2u.com.my, Mudah.my, Cimbclicks.com.my dan Airasia.com. Dalam kalangan portal berita lain, Malaysiakini berada pada kedudukan ke-7 dengan 897,000 pengunjung; Hmetro.com di tempat ke-8 (824,000 pengunjung); Themalaysianinsider di tempat kesembilan (789,000); Utusan.com.my ditempat ke 11 dengan 681,000 pengunjung unik. Bharian.com.my dan Sinarharian.com.my masing-masing berada pada kedudukan ke-13 dan ke-16. Senarai 20 halaman web tempatan teratas bagi April 2014 adalah seperti berikut:
Kedudukan | Halaman Web | Pelawat unik (‘000) |
1 | Maybank2u.com.my | 2,139 |
2 | Mudah.my | 2,089 |
3 | Cimbclicks.com.my | 1,108 |
4 | Airasia.com | 1,062 |
5 | Thestar.com..my | 971 |
6 | Cari.com.my | 923 |
7 | Malaysiakini.com | 897 |
8 | Hmetro.com.my | 824 |
9 | Themalaysianinsider.com.my | 789 |
10 | Paultan.org | 745 |
11 | Utusan.com.my | 681 |
12 | Jobstreet.com | 649 |
13 | Bharian.com | 633 |
14 | Carlist.my | 577 |
15 | Pbebank.com | 575 |
16 | Sinarharian.com.my | 574 |
17 | Lowyat.net | 560 |
18 | Tonton.com.my | 559 |
19 | Mylaunchpad.com.my | 545 |
20 | Maxis.com.my | 543 |
Rangkaian radio Astro kuasai 55 peratus pendengar
Astro Radio mengambil iklan satu halaman dalam akhbar The Star untuk menghebahkan bahawa rangkaian radionya menguasai 55 peratus atau 12.645 juta pendengar radio di negara ini. Menurut iklan itu, era tampil sebagai stesen radio nombor satu; myFm pula adalah stesen berbahasa Cina nombor satu; hitzfm radio nombor satu bagi kategori bahasa Inggeris; Thrgegar muncul sebagai stesen nombor satu di pantai timur Semenanjung manakala Thrraaga merupakan radio nombor satu dalam kalangan pendengar Tamil.
Status rangkaian radio Astro 2014
Nama Radio | Kedudukan |
Era | Radio Nombor 1 |
myFm | Radio Nombor 1 Bahasa Cina |
Hitzfm | Radio Nombor 1 Bahasa Inggeris |
Thgegar | Radio Nombor 1 Pantai Timur |
Thraaga | Radio Nombor 1 Bahasa Tamil |
12 Jun
Gurauan kurang ajar: Hot FM mohon maaf
Stesen radio Media Prima Berhad, Hot FM mohon maaf kerana membuat “panggilan hangit” yang dianggap kurang ajar yang dibuat oleh stesen radio itu terhadap Nik Suhaida Megat Deraman, isteri seorang pemain bola sepak Terengganu, Nor Farhan Muhamamad. Panggilan Hangit adalah salah satu segmen Hot FM yang bertujuan untuk mengenakan seseorang. Dalam kes Nik Suhaida, panggilan hangit itu dibuat pada 3 Jun 2014, kononnya atas permintaan Nor Farhan untuk mengenakan isterinya. Menerusi panggilan itu, kakitangan Hot FM yang memperkenalkan dirinya sebagai Lina mengadu bahawa dia telah terlanjur dengan Nor Farhan dan sedang mengandungkan anak luar nikah. Selepas insiden itu, Hot FM dikecam teruk oleh ramai pendengarnya yang beranggapan stesen radio berkenaan melakukan lawak melampau, kurang ajar, ketandusan idea dan seperti tiada modal dalam programnya. Menyedari kesilapan yang dilakukan, Hot FM mengeluarkan kenyataan memohon maaf. Kata kenyataan itu: “Pihak pengurusan Hot FM ingin meminta maaf kepada pendengar Hot FM khususnya kepada Hot FM Terengganu atas siaran panggilan hangit baru-baru ini yang dibuat kepada isteri Farhan, Nik Suhaida. Untuk makluman, pengisian panggilan hangit tersebut telah dicadangkan sendiri oleh pemain bola sepak itu dengan niat asal untuk mengenakan isterinya yang menyambut ulang tahun kelahirannya.” Tetapi ada pendengar yang berpendapat Hot FM cadangan itu mungkin diajukan oleh Nor Farhan, tetapi sebagai stesen radio yang bertanggungjawab sepatutnya meneliti terlebih dahulu mesej yang ingin disampaikan sesuai atau tidak kepada orang yang dikenakan. Di sinilah, mereka melihat kakitangan Hot FM gagal dalam tugas mereka tanpa memikirkan kesan buruk terhadap orang yang dipanggil. Ada yang bertanya: sekiranya ada pendengar yang menyuruh Hot FM terjun lubuk, apakah kakitangannya akan berbuat demikian. Apa yang berlaku pada 3 Jun 2014 itu menepati peribahasa lama “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”
18 Jun
Saman fitnah: Malaysiakini, dua editor kanan diarah fail pernyataan pembelaan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pengendali portal Malaysiakini dan dua editor kanannya memfailkan pernyataan pembelaan pada 1 Julai ini berhubung kes saman fitnah terhadap mereka yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh. Timbalan Pendaftar, Norfauzani Mohd Nordin turut memerintahkan Najib dan UMNO memfailkan pernyataan balas pada 15 Julai ini. Beliau turut menetapkan 24 Julai ini untuk pengurusan kes. Hadir pada pengurusan kes hari ini ialah peguam Wan Azmi Wan Najib bagi pihak plaintif, manakala kesemua defendan diwakili peguam Ashok Kandiah. Pada 30 Mei lalu, Najib dan Ab. Rauf memfailkan saman tersebut dengan menamakan syarikat pemilik dan penerbit laman portal tersebut, Mkini Dotcom Sdn Bhd; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga. Najib selaku plaintif kedua memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi manakala Ab. Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO. Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk A case of the PM reaping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu? Di bawah ruangan Yoursay di laman portal berkenaan, www.malaysiakini.com pada 14 Mei lalu. Dalam ruangan itu, pihak defendan sendiri atau ejen atau pembantu mereka telah mengumpul komen-komen daripada pelanggan atau pengguna laman portal itu dan kemudian menggabungkan komen-komen yang terpilih sebagai satu artikel, yang secara jelas telah memfitnah pihak plaintif dan diterbitkan semula di laman portal tersebut. Pihak plaintif mendakwa, artikel-artikel tersebut adalah komen-komen yang diberikan tanpa sebarang asas dan tanpa mempedulikan kebenarannya, hanya tuduhan melulu yang berniat jahat (mala fide) yang sangat serius kerana menyebabkan ketegangan antara rakyat dengan mereka berdua. Pihak defendan juga dengan sengaja didakwa membenarkan penerbitan artikel-artikel itu bertujuan menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap plaintif pertama selaku sebuah parti politik dan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) serta plaintif kedua selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, bagi meneruskan dan mementingkan agenda tersendiri pihak defendan tanpa menghiraukan sensitiviti isu-isu yang dibangkitkan. Akibat daripada penerbitan tersebut, pihak plaintif mendakwa, reputasi mereka telah terjejas dengan teruk apabila dikecam terutama di media sosial dan media massa. Penerbitan artikel itu, kata mereka, turut menyebabkan kredibiliti pihak plaintif dipersoalkan oleh banyak pihak sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa kerana isu skandal rasuah dan perkauman secara amnya mendapat perhatian umum. Najib dan UMNO kemudian telah menghantar surat tuntutan pada 15 Mei lalu supaya pihak defendan antara lain membuat permohonan maaf tidak bersyarat dan menarik balik artikel-artikel itu serta menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan kenyataan serupa. Bagaimanapun pihak defendan melalui surat balasannya pada keesokan harinya menjawab dengan menggunakan pembelaan komen yang wajar untuk kepentingan awam selain menawarkan peluang kepada pihak plaintif menjawab artikel-artikel itu tanpa memenuhi tuntutan asal pihak plaintif. Sehubungan itu, pihak plaintif melalui surat bertarikh 28 Mei lalu telah menolak tawaran tersebut atas alasan pihak defendan tidak menyangkal sama sekali tuduhan-tuduhan tidak berasas dan kata-kata fitnah tersebut. Pihak defendan sebaliknya telah menerbitkan satu lagi artikel bertajuk Najib threatens to sue Mkini over readers comments bertarikh 16 Mei lalu yang turut memuatkan komen daripada defendan kedua dan pada 17 Mei pula, mereka sekali lagi mengumpulkan komen-komen pengguna atau pelanggan mereka dan dijadikan artikel bertajuk Najib’s legal action aims to silence Malaysiakini. Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang pihak defendan, pembantu atau ejen mereka daripada berbicara lanjut atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel-artikel itu atau seakan-akan dengannya. Di samping itu, pihak plaintif menuntut defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di surat khabar atau majalah yang akan ditentukan oleh plaintif, dalam bentuk serta istilah yang akan ditetapkan oleh pihak plaintif. Sementara itu, Ashok ketika ditemui memberitahu, beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam sama ada akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atau memohon sekuriti kos.