Pembaharuan undang-undang media – jaminan TPM

Ucapan yang disampaikan oleh Datuk Seri Zahid Hamidi pada Malam Wartawan Malaysia 2016 pada 20 Mei 2016 di Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

SALUTASI

YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak,

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Encik Md Arif Mahmood,

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran PETRONAS

YBhg Datuk Dr. Chamil Wariya

Pengerusi Malam Wartawan Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI

YBhg Datuk Yong Soo Heong,

Pengerusi Panel Hadiah Kewartawanan Malaysia  2015

Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Media

Para Pemimpin Media, Ketua-ketua Pengarang, Pengarang- pengarang kanan

Tokoh-Tokoh Wartawan Negara

Para Penyumbang dan Sahabat Korporat MPI

Tetamu-tetamu khas, Para wartawan yang diraikan

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

  1. Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita semua berada di sini hari ini untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2016. Terima kasih saya ucapkan kepada Malaysian Press Institute atau MPI atas undangan sebagai tetamu kehormat bagi majlis Malam Wartawan Malaysia ini.
  1. Syabas juga saya ucapkan kepada MPI kerana without fail, telah berjaya menganjurkan Malam Wartawan Malaysia ini setiap tahun sejak pertama kali ianya diadakan pada 1981, bagi memberi pengiktifaran kepada para wartawan menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia.
  1. Saya percaya ini juga telah menjadikan Hadiah Kewartawanan Malaysia sebagai anugerah tertua dan paling berprestij di negara ini, apatah lagi dengan penajaan berterusan PETRONAS mulai 1994. Bagi pihak kerajaan, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih kerajaan kepada PETRONAS atas tajaan tahunan sebanyak 300,000 Ringgit sejak tujuh tahun lalu untuk 18 kategori yang dipertandingkan.  Teruskanlah kerjasama ini – demi mengiktiraf karya-karya cemerlang yang telah dihasilkan oleh rakan wartawan kita.
  1. Ini adalah kali pertama saya hadir pada Malam Wartawan Malaysia selaku Timbalan Perdana Menteri, walaupun sebelum ini saya pernah berada pada majlis yang sama atas kapasiti saya sebagai Menteri Dalam Negeri, dengan Perdana Menteri sebagai tetamu kehormatnya.
  1. Saya menyanjung penghormatan tinggi yang diberi kepada saya oleh MPI kerana bagi saya, inilah kesempatan terbaik bersua muka, bertanya khabar dengan fraterniti kewartawanan Malaysia.
  1. Saya lihat yang hadir pada malam ini bukan sahaja para peneraju editorial dan pelbagai peringkat wartawan, daripada pemberita membawalah kepada ketua-ketua pengarang, para pengarang kanan tetapi juga para pemimpin media iaitu para pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif.
  1. Bagi saya inilah keistimewaan Malam Wartawan Malaysia di mana komuniti wartawan melupakan persaingan, sebaliknya bersatu memberi sokongan kepada usaha untuk memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan tanpa mengira organisasi berita yang mereka wakili.
  1. Kerajaan senantiasa menyanjung apa juga usaha pihak media yang bertujuan menghargai kecemerlangan modal insannya. Kehadiran saya dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak adalah testimoni jelas bahawa kerajaan bersama MPI dalam usaha murni yang ia lakukan sejak penubuhannya pada 28 September 1966, pada mulanya dengan nama South East Press Centre, kemudian ditukar menjadi Institut Akhbar Malaysia pada 1974 dan pada 2007 pula dijenamakan sebagai Malaysian Press Institute.
  2. Komitment kerajaan dibukti dengan penyaluran geran tahunan sebanyak 200,000 Ringgit kepada MPI menerusi Jabatan Penerangan Malaysia. Mungkin sudah tiba masanya untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia menimbang bagi menaikkan geran tahunan ini kepada setengah juta ringgit atau lebih bagi membiayai kos operasi MPI yang memang tidak bertujuan membuat untung.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Ledakan teknologi mutakhir ini menyaksikan perubahan terhadap platform untuk hasil kerja wartawan. Sekian lama, pelantar utama kita adalah cetak iaitu akhbar dan majalah serta elektronik iaitu radio dan televisyen.  Hari ini, dengan adanya internet dan high-speed broadband, kewartawanan alam maya mendominasi penyebaran maklumat.  Hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi pemberita.
  1. Dalam media sosial, kebanjiran wartawan warga atau wartawan segera ini sudah merupakan satu fenomena yang tidak dapat lagi dihalang. Secara peribadi, saya percaya kehadiran wartawan warga yang tidak terikat dengan sebarang etika kewartawanan ini, tidak akan menenggelamkan peranan wartawan profesional seperti Saudari dan Saudari.
  1. Malah, peranan Saudara dan Saudari menjadi lebih penting kerana akhirnya, maklumat yang diperlukan oleh khalayak adalah maklumat yang berwibawa, yang kesahihan dan kebenarannya tidak diragui serta tidak boleh diragui. Saya katakan demikian kerana, sebagai wartawan profesional, kita terikat dengan prinsip-prinsip tertentu dalam mengumpul dan menyebarkan berita.  Antara tunjung prinsip yang mesti dijunjung, tentulah melaporkan kebenaran dan berpegang kepada prinsip verifikasi terhadap sesuatu maklumat, selain memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profeysien kita.

Saudara saudari sekelian

  1. Tidak wujud istilah ‘mutlak’ di dalam dunia kewartawanan dan hak asasi manusia. TIdak ada sesiapa pun boleh menulis tanpa mematuhi batas perundangan yang ada. Tidak ada sesiapa pun boleh berbuat sesuatu di luar batas undang-undang.  Kebebasan mutlak bererti kita hidup di dalam dunia tanpa undang-undang, dan ini amatlah berbahaya. Keharmonian kaum dan kemajuan negara boleh terjejas manakala peperangan boleh meletus di antara negara.  Sama ada di sudut agama mahupun sosial, kita sentiasa perlu berpayungkan undang-undang yang ada demi menjaga kepentingan semua pihak dan menjauhkan apa jua sensitiviti yang boleh meruntuhkan nilai kemanusiaan.
  1. Sama ada saudara-saudari bertugas untuk media pro-kerajaan atau tidak, ingatlah bahawa kita sebenarnya bergandingan bahu ke arah satu matlamat – iaitu mewujudkan sebuah negara harmoni dan stabil agar rakyat hidup bersatu padu dan makmur. Jika ini pun kita gagal laksanakan, maka tidak ada gunanya kita diberi bakat penulisan.  Biarpun kita berlainan ideologi, janganlah sampai maruah dan keharmonian negara kita gadaikan hanya kerana politik. Ini bukan kewartanan dalam ertikata sebenarnya.
  1. Kerajaan tidak pernah menganggap media dan wartawan sebagai musuh. Tidak sama sekali.  Sebaliknya kerajaan senantiasa menganggap media sebagai sahabat untuk sama-sama membangunkan negara.  Kerajaan juga tidak pernah menekan media sekiranya ia menjalankan tugasnya secara bertanggungjawab dan menjunjung etos kewartawanan yang tinggi.
  1. Malah Kerajaan mengakui peranan wartawan dan media sebagai estet keempat negara iaitu penegur, pemantau dan pengawas perjalanan kerajaan dan institusi-institusi yang bernaung dibawahnya. Tetapi, kerja-kerja estet keempat ini hendaklah dilakukan secara berhemah, tidak melanggar undang-undang serta menghormati rule of law, iaitu pelbagai akta yang telah digubal oleh Parlimen.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Saya ingin tegaskan di sini sebagai sebuah kerajaan yang mempelopori transformasi, kita sedia untuk mendengar dan memberi pertimbangan terhadap apa-apa juga cadangan yang bertujuan membawa pembaharuan terhadap undang-undang berkaitan kawalan media di negara. Misalnya Kementerian Dalam Negeri, menerusi satu pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, telah memansuhkan syarat yang mewajibkan permit penerbitan akhbar dan majalah diperbaharui setiap tahun.
  1. Kerajaan juga telah menyatakan kesediaan untuk melaksanakan mekanisme kawalan kendiri atau self-regulatory industri media melalui penubuhan Majlis Media Malaysia. Sayangnya, dalam hal ini, kerajaan hanya bertepuk sebelah tangan kerana para bos media mengambil sikap acuh tidak acuh.
  1. Saya berkata demikian kerana saya difahamkan, penggubalan rang undang-undang ke arah itu telah dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara, tetapi proses selanjutnya untuk menjadikan Majlis Media Malaysia suatu kenyataan tertangguh kerana para peneraju editorial organisasi berita menyatakan bantahan mereka. Mereka melihat penubuhan Majlis Media Malaysia ini sebagai satu rejim yang diwujudkan oleh kerajaan untuk mengongkong kebebasan bersuara dalam kalangan wartawan.
  2. Saudara/ Saudari sekalian, tanggapan ini tidak tepat. Kerajaan mahu sebuah majlis media dibentuk untuk memberi peluang kepada wartawan dan pengamal media menentukan sendiri hala tuju dan masa depan profesyen mereka.  Bukan mewujudkan satu rejim yang mengongkong kebebasan media.  Setelah adanya majlis media ini, menjadi tanggungjawab majlis itu, yang dikendalikan sepenuhnya oleh industri media, untuk tampil dengan cadangan-cadangan konkrit mengenai mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan media yang perlu diperbaharui atau dimansuhkan sama sekali.
  1. Kepada anda, terutamanya peneraju dan bos editorial, janganlah takutkan bayang-bayang. Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya ingin memberi komitmen ini: Jika terdapat kebenaran dalam dakwaan bahawa ada undang-undang berkaitan media sedia ada didapati mengongkong kebebasan media, dan tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa dalam penyebaran maklumat, saya bersedia untuk mempertimbangkan pindaan atau pemansuhan akta-akta itu.
  1. Justeru, kemukakanlah cadangan bukan sekadar kritikan, bagaimana kerajaan dan wartawan boleh bergerak ke hadapan untuk mewujudkan undang-undang yang memudahkan, bukan menyusahkan golongan pengamal media dalam tugas-tugas mereka mencari, menggali, mengorek maklumat untuk dilaporkan sebagai berita. Kita sedia mendengar dan mempertimbangkan cadangan-cadangan itu demi kebaikan bersama kerajaan dan industri media.
  1. Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali baru-baru ini memaklumkan bahawa Working Draft Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia sebenarnya telah digubal namun masih belum dimuktamadkan kerana tertakluk kepada perbincangan dengan semua pihak, khususnya stakeholder utamanya iaitu industri media.
  1. Saya percaya, apa yang akan dinamakan sebagai Akta Majlis Media itu, boleh direalisasikan jika mendapat sokongan industri media sendiri, cuma kaedah pelaksanaan dan kesesuaiannya untuk diamalkan di Malaysia perlu mencerminkan acuan budaya dan tradisi media di negara ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Media perlu menyebarkan maklumat yang dapat memupuk toleransi dan membantu mencari penyelesaian yang membina. Titik keseimbangan perlu dicari. Kerajaan bersikap terbuka terhadap kritikan yang konstruktif, tetapi kita tidak dapat menerima tohmahan serta perbuatan mengembangkan kebencian dan penghinaan.
  1. Memang ada ruang yang luas untuk memperjuangkan kebenaran melalui media di Malaysia, tetapi ia datang bersama tanggungjawab, terutamanya tanggungjawab memastikan negara ini kekal sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan agama yang harmoni, aman damai dan maju.
  1. Kewujudan undang-undang berkaitan dengan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menunjukkan ada had-had kebebasan di negara ini.
  1. Kebebasan mutlak tidak wujud di mana. Hatta di negara-negara Barat sekalipun, kebebasan sedemikian rupa tidak wujud. Oleh itu, dalam berkarya para pengamal media perlu bijak mencari jalan tengah di antara garisan undang-undang itu tadi.
  1. Walaupun fakta sesuatu kejadian yang dilaporkan mungkin betul tetapi jika disampaikan oleh media dengan cara yang menggemparkan serta mengundang kontroversi dan pertelingkahan, ia boleh mengundang lawatan oleh pihak berkuasa ke pejabat Tuan-tuan dan Puan-puan. Kerajaan, misalnya, bertindak menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyekat penyalahgunaan media sosial, laman web dan blog, termasuk dengan mengheret pemilik-pemiliknya ke mahkamah.
  1. Langkah itu diambil antaranya untuk memastikan rakyat negara ini terlindung daripada politik kebencian dan penggugat keharmonian negara yang mahu menanam kebencian melampau menerusi internet. Ia juga bagi mengelakkan rakyat terdedah kepada elemen-elemen keganasan yang sejak akhir-akhir ini banyak mencari mangsa menerusi laman-laman internet.
  1. Bagaimanapun, polemik mengenai kebebasan dan tanggungjawab media hanyalah sebahagian daripada isu-isu dalam industri media. Dalam landskap bisnes media, soal untung rugi, perolehan pendapatan, modal insan dan persaingan perniagaan juga merupakan perkara pokok.
  1. Kerajaan ingin melihat wujudnya sebuah industri media yang berdaya maju di Malaysia. Mengikut standard kemakmuran sekarang, sesebuah negara dianggap kaya jika organisasi media di negara itu memiliki bisnes yang menguntungkan. Organisasi media jadi ukuran kemakmuran.

 

  1. Di negara-negara maju, 60 peratus perolehan organisasi medianya datang daripada iklan, dan 30 peratus daripada jualan produk. Organisasi media paling merasai kesannya apabila kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan mengamalkan dasar berjimat cermat, dan mengecilkan perbelanjaan iklannya.
  1. Kita ingin mewujudkan industri media yang dapat menawarkan banyak peluang pekerjaan dan menyerlahkan potensi untuk anak-anak muda yang kreatif. Sekiranya kita gagal mempertahankan industri media ini, ramai orang yang akan kehilangan pekerjaan.  Kebebasan sudah tiada ertinya apabila syarikat media ditutup, kerugian dan ramai orang terpaksa beralih kepada karier dalam bidang lain.  Nilai kebebasan kita juga akan dipersoalkan sekiranya bisnes media secara keseluruhannya merudum.
  1. Tentulah apabila harga minyak jatuh, syarikat berkaitan kerajaan seperti PETRONAS terpaksa menyemak semula perbelanjaan operasinya. Saya gembira kerana PETRONAS tidak mengurangkan penajaan tahunannya untuk Malam Wartawan Malaysia ini.  Terima kasih kepada PETRONAS.  Mengenai perbelanjaan iklan untuk organisasi media, tentunya apabila situasi kembali pulih nanti, PETRONAS dan juga syarikat-syarikat kerajaan yang lain akan melihat semula perbelanjaan iklan yang sepatutnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Dalam era globalisasi di mana terjahan dan serangan maklumat berlaku dengan begitu meluas dan pantas, kita perlu memperkukuhkan media di Malaysia bukan sahaja daripada segi teknologi, peralatan, pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga jati diri pengamal-pengamalnya. Jika kita lihat bagaimana media antarabangsa beroperasi, kita dapati begitu senangnya mereka mencampuri urusan dalaman sesebuah Negara.  The International media are making armchair comments which are full of provocation especiallu from New York, London and anywhere in the world for that matter.

 

  1. Kita juga menyaksikan bagaimana media yang tidak terkawal di negara-negara sedang membangun mengundang reaksi yang berlebih-lebihan sehingga mencetuskan pergolakan berdarah di sesetengah wilayah. Jati diri pengamal-pengamal media Malaysialah bakal menentukan cara kita menangani cabaran global ini.
  2. Kita harus menyediakan diri untuk melahirkan pengamal media yang berjiwa Malaysia. Kira-kira 70 tahun lalu selepas Perang Dunia Kedua, wartawan-wartawan nasionalis mencorakkan pemikiran rakyat dan menjadi benteng melawan kuasa penjajah.  Setelah kita merdeka, peranan pengamal media diberi pentakrifan baharu sebagai rakan kongsi pembinaan negara.
  1. Kini, dengan dunia sudah menjadi sebuah global village, jika pengamal media di tanah air tidak memiliki jati diri dan kefahaman mengenai peranan mereka, khususnya dalam pertembungan pemikiran, kita tidak akan dapat mempertahankan nilai-nilai yang selama ini menjadikan Malaysia sebuah negara hebat. Kita akan direnjat dan diserap dengan pemikiran asing. Kita akan diasak oleh orang luar yang tidak pernah jemu menyemai benih kebencian di kalangan rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Kita menerima hakikat bahawa populariti sesuatu produk, perkhidmatan, individu hatta penjenamaan parti politik dan kerajaan sendiri, banyak bergantung kepada organisasi media. Sesuatu perkhidmatan yang disediakan oleh sebuah jabatan dan kementerian kerajaan akan lebih baik penerimaannya oleh rakyat jika mendapat publisiti yang positif dalam media.
  1. Saya juga percaya jatuh bangun sesebuah organisasi media ditentukan oleh isi kandungan dan paparan beritanya. Media di Malaysia, khususnya media cetak, ada yang telah berusia ratusan dan puluhan tahun.  Ada akhbar-akhbar di Malaysia diterbitkan lama sebelum negara kita merdeka dan mereka masih bertahan.  Saya yakin daya tahan organisasi media ini adalah isi kandungannya dan kebijaksanaan penerajunya menentukan segmen audiens.  Pembaca dan penonton akan kekal dan semakin bertambah jika bahan-bahan disajikan dengan cara bertanggungjawab, kontemporari, kreatif dan digemari ramai.
  1. Kita dahulu bermula dengan dua saluran televisyen iaitu RTM1 dan RTM2. Menjelang tengah malam, semua stesen menamatkan siaran and our parents and grand parents would go to bed early.  There was no broadcasting during the day except on special days such as on Merdeka Day or Hari Raya and everything was in black and white.  The Otai or Old Timers in the hall would surely remember those days when life was so much easier and simple straight forward.
  1. Hari ini, kita dihidangkan dengan beratus-ratus saluran televisyen digital. Ia semakin mencabar dengan kemunculan beribu-ribu laman blog dalam internet yang melaporkan dan memberi komen mengenai apa sahaja yang berlaku setiap hari, setiap jam, setiap saat dan ada juga yang melaporkan secara real time.
  1. Laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp dipenuhi dengan maklumat pada setiap masa, tidak kira sama ada informasinya adalah fakta, lelucon atau suatu fitnah. Ini menunjukkan sedang berlakunya suatu peralihan dalam bisnes media di mana di kebanyakan negara, orang ramai lebih gemar mencari maklumat menggunakan telefon bimbit, tablet dan komputer.
  1. Satu hakikat yang pasti ialah, kesemua mereka dahagakan berita dan hiburan. Jadi, siapakah yang dapat memberikan mereka berita dan hiburan – yang tepat dan diyakini?  Media arus perdana di Malaysia telah memberikan jawapan yang responsif kepada cabaran ini.
  1. Setiap organisasi media di Malaysia kini mempunyai versi online masing-masing yang dikemaskini selang beberapa minit. Mereka mempunyai pasukan khas yang bekerja menyalurkan berita-berita untuk orang ramai yang tidak sabar menunggu akhbar esok atau berita di televisyen.
  1. Implikasinya, banyak blog yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sejak beberapa tahun lalu, kini telah berkubur. Tentulah blog peribadi yang dimiliki oleh seorang dua individu tidak dapat bersaing dengan laman-laman web berita yang dimiliki oleh organisasi besar media yang mempunyai beratus-ratus pekerja profesional.
  1. It is a good news to the journalists! Fenomena ini memperlihatkan wartawan dan penulis akan sentiasa diperlukan, cuma platformnya yang berubah.  Mengenai persaingan dengan media sosial, saya yakin jika media arus perdana lebih pantas, lebih menarik ceritanya dan lebih berkualiti, anda akan dapat bertahan sebagaimana yang telah anda tunjukkan daripada segi usia organisasi media masing-masing yang telah berusia puluhan malahan ratusan tahun.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Perkembangan media di sebuah negara jiran kita juga amat menarik untuk dijadikan tauladan. Apabila berlaku perubahan dasar penerbitan media di negara itu, ramai berlumba-lumba untuk menjadi wartawan dan penerbit media.  Namun setelah beberapa tahun dasar penerbitan dilonggarkan, media di negara itu beralih daripada kongkongan kerajaan kepada pemilikan individu tetapi akhirnya, ia jatuh dalam cengkaman pemodal-pemodal besar.
  1. Kini, tidak banyak lagi wartawan dan penerbit kecil di negara itu mengusahakan penerbitan. Penguasaan bisnes media yang berdaya tahan semuanya jatuh ke tangan pemodal-pemodal besar.
  1. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah di Malaysia, kerajaan boleh bersikap terbuka daripada segi dasar penerbitan misalnya menambah bilangan akhbar dan stesen TV, tetapi yang akan menerima kesan buruk daripada keterbukaan ini ialah organisasi-organisasi media sendiri, yang terpaksa berdepan dengan persaingan yang lebih sengit.
  1. Saudara dan Saudari, saya percaya peranan wartawan amat mustahak dalam menentukan kejayaan sesebuah negara demokrasi. Saya tidak dapat membayangkan kita mentadbir Malaysia tanpa Saudara/Saudari yang menjadi mata dan telinga untuk rakyat, yang menulis untuk menyokong, berkecuali atau menentang sesuatu dasar. Ada ketikanya kritikan membina daripada media membuatkan kerajaan mengubah pendirian.  Ini pernah berlaku dan amat dialu-alukan.  Demokrasi di Malaysia akan lebih lancar dan matang dengan adanya wartawan yang memainkan peranan secara demikian.

Tuan-tuan dan Puan-puan.

  1. Saya bukan meminta wartawan menyokong kerajaan membuta-tuli, tetapi dasar-dasar yang baik, bagi mereka yang lokek memuji, sekurang-kurangnya hargailah. Dari masa ke masa memang terdapat kelemahan dalam sistem pentadbiran, dan wartawan yang ikhlas akan mengkritik untuk membaiki mutu pemerintahan.  Penyampaian sesuatu kritikan itulah yang membezakan antara wartawan profesional dan ahli politik pembangkang.  Wartawan menyampaikannya secara membina, manakala ahli politik pembangkang cuba meruntuhkan.  Namun, jika wartawan tidak berhati-hati, mereka mungkin terpedaya dan membesarkan sudut pandangan yang tidak sepatutnya mereka lakukan.
  1. Saudara dan Saudari sekalian, media tidak syak lagi adalah rakan strategik kerajaan dalam membina ekonomi, memajukan kerjasama sejagat, mempromosikan dasar luar dan mengetengahkan kepentingan nasional. Marilah kita bersama-sama berganding tenaga dan kepakaran untuk menjadi rakan kongsi pembangunan negara yang sebenar-benarnya.
  1. Saya juga menyeru wartawan supaya mengukuhkan solidarity. Hanya dengan solidariti, anda semua dapat menjadikan bidang kewartawanan ini lebih dihormati. Solidariti akan menjadikan anda semua lebih rapat dan akrab.
  1. Harapan saya solidariti itu tidak berkembang membentuk satu persepsi golongan wartawan terhadap kerajaan. Tidak semestinya pandangan sesetengah wartawan yang kritikal terhadap kerajaan juga merupakan sesuatu yang menjadi pandangan dan pendirian semua wartawan.  Hindarilah kecenderungan untuk “jump on the bandwagon”.
  1. Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada MPI atas penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2016 ini. Kata pujangga, mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang, di Malaysia, Alhamdulillah kita menggunakan mata pena yang tajam itu untuk matlamat yang bermanfaat.

Sekian.  Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu’alaikum wbt.