Staf MPI raikan persaraan Puan Maimunah

Sebagai menghargai perkhidmatan Puan Maimunah Rashid sebagai konsultan latihan Malaysian Press Institute (MPI) yang berakhir pada penghujung 2013, staf MPI telah meraikan beliau pada satu majlis makan tengah hari pada 27 Januari 2014.

Semua lapan orang kakitangan MPI hadir pada majlis yang diadakan di Restoran Rebung, Bangsar.

Mereka terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran, Nuzatul Shima Sulaiman, Pengurus Hal Ehwal Korporat, Norlida Jamian, eksekutif latihan, Norhafiza Kamaluddin, eksekutif pentadbiran dan akaun, Yusof Saharin, penyelaras anugerah dan teknologi maklumat, Salman Husni Abdollah dan pembantu latihan, Ambia Abdul Hamid.

Pada majlis itu, Chamil menyampaikan cenderahati kepada Maimunah bagi pihak MPI.

Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran MPI, Nuzatul Shima Sulaiman pula menyampaikan hadiah kenangan kepada Maimunah bagi pihak rakan-rakan setugas MPI.

Maimunah berkhidmat dengan MPI selama lima tahun setengah mulai pertengahan 2008 selepas bersara wajib daripada Kumpulan Utusan, di mana beliau bertugas sebagai pengurus jabatan pengarang.

Walaupun Maimunah tidak lagi berkhidmat dengan MPI secara sepenuh masa, tetapi khidmat beliau selaku moderator program-program latihan secara sambilan diteruskan.

Dalam ucapan ringkas pada majlis itu, Chamil, bagi pihak Lembaga Pemegang Amanah dan Majlis Pentadbir MPI menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Maimumah dalam membantu menjenamakan MPI sebagai sebuah pusat latihan terulung dalam bidang kewartawanan.

“Saya percaya kakitangan MPI, terutama dalam bidang latihan, banyak belajar daripada Puan Mai dalam hal-hal berkait penganjuran kursus,” kata Chamil.

Peranan Maimunah dalam bidang latihan di MPI kini diambil alih oleh Norhafiza Kamaluddin, eksekutif latihan yang diasuh secara langsung oleh Maimunah.

1. Chamil (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mai bagi pihak MPI.

2. Shima (kiri) menyampaikan cenderahati bagi pihak rakan-rakan setugas di MPI kepada Mai.

3. Bergambar kenangan di Restoran Rebung di Bangsar selepas makan tengah hari. Dari kiri: Shima, Chamil, Mai, Norhafizah, Salman, Norlida, Yusof dan Ambia.

4. Puan Mai tidak sabar untuk mengetahui apakah cederahati yang diberikan oleh staf MPI.

 

 

5. Wajah-wajah riang Mai tanda gembira menikmati persaraan selepas berkhidmat dengan MPI selama lima tahun setengah.