Forum Mini Kewartawanan di UiTM Rembau Dedah Realiti Industri Berita kepada Pelajar

REMBAU, 9 Disember 2025 – Program Forum Mini Kewartawanan 2025 yang berlangsung di UiTM Rembau, Negeri Sembilan hari ini membuka ruang pembelajaran penting kepada lebih 400 pelajar dan pensyarah apabila mereka diberi pendedahan langsung tentang realiti industri berita, etika visual dan cabaran penyiaran dalam ekosistem digital yang serba pantas. Forum ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dari segi ilmu teknikal dan pemahaman profesional, tetapi turut memperkukuh kesedaran mereka terhadap tanggungjawab etika, peranan infografik dan keperluan menguasai pelbagai platform media sebagai persediaan memasuki dunia pekerjaan.

Program yang dianjurkan bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan UiTM Rembau ini membawa tiga figura penyiaran negara — Razali Awang, Azwaliza Azman dan Mas Zharif Zhafri Aziz Desa, bagi berkongsi pengalaman industri dan pandangan mengenai perubahan besar dunia kewartawanan. Sesi forum dikendalikan oleh Dr. Shafezah Abdul Wahab dari UiTM Lendu, Melaka.

Forum dimulakan dengan pembentangan utama oleh Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, bertajuk “Infografik & Etika Kewartawanan Era Digital”. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa infografik kini menjadi elemen utama dalam penyampaian berita dan memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat. Menurutnya, setiap infografik mesti dibina dengan ketepatan data, konteks yang jelas dan tanggungjawab editorial kerana maklumat visual yang salah boleh mencetuskan kekeliruan serta menjejaskan kredibiliti organisasi berita. “Infografik bukan sekadar grafik. Ia adalah maklumat dan maklumat mesti tepat, jujur dan beretika,” tegasnya.

Perbincangan diteruskan bersama panel penyiaran. Razali Awang berkongsi pengalaman luasnya dalam penyampaian berita dan liputan kemanusiaan, menekankan kepentingan etika, ketahanan mental dan disiplin lapangan ketika berdepan situasi genting. Azwaliza Azman pula menyentuh tentang tekanan industri penyiaran masa kini yang menuntut wartawan menguasai pelbagai platform, daripada televisyen ke portal digital dan media sosial, sambil memastikan laporan kekal tepat dan berwibawa. Sementara itu, Mas Zharif Zhafri Aziz Desa berkongsi perspektif wartawan multimedia tentang keperluan mengimbangi kepantasan penyampaian dengan pengesahan fakta, terutama dalam persaingan dengan penyebaran maklumat di media sosial, selain Mobile Journalism.

Pada sesi berasingan, kesemua pelajar diberi peluang untuk berinteraksi secara dekat dengan panel apabila dibahagikan kepada lina kumpulan dan bergerak ke lima “check poin”, merasai sendiri pembelajaran dan perkongsian bersama panel secara giliran.

Program ini turut diserikan dengan demonstrasi Studio Mini oleh Editorial Channel 10 yang memberikan peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman sebenar mengendalikan peralatan penyiaran dan memahami proses teknikal di balik tabir produksi visual. Pendedahan praktikal ini membantu pelajar melihat hubungan antara teori pembelajaran dan amalan sebenar di lapangan.

Penganjuran forum ini membuktikan komitmen UiTM Rembau dan MPI dalam memperkasa pendidikan kewartawanan serta menyediakan pelajar dengan kemahiran, nilai profesional dan kesedaran etika yang diperlukan untuk menghadapi cabaran industri media masa kini.

Program ini dihadiri oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong; Penolong Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau Profesor Madya Dr Masitah Ahmad dan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, Puan Maizura Haji Manshor.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter