KUALA LUMPUR, 17 November 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini telah mengadakan Kursus Pengurusan Media untuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Menara MITI @ KL Metropolis, melibatkan seramai 27 peserta dari Unit Komunikasi Strategik (UKS) dan pelbagai agensi di bawah MITI.
Sesi pertama dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Hafidah Samat dengan modul bertajuk “Harnessing Generative AI for Strategic Government Communications”. Sesi ini memberi pendedahan kepada penggunaan ChatGPT, Copilot dan platform AI dalam penyediaan kenyataan media, ucapan serta Q&A. Peserta turut mempelajari prompt engineering, risiko ketidaktepatan fakta, bias dan maklumat palsu yang terhasil daripada AI.
Modul kedua Hafidah mengenai “Media Relations 2.0: Beyond Press Releases” memberi fokus kepada trend media semasa, keperluan editor dan wartawan serta kaedah membina hubungan strategik dengan media. Peserta turut didedahkan kepada penyediaan media pitch, pemilihan sudut berita dan pendekatan media engagement yang berkesan.
Kursus diteruskan dengan sesi sebelah petang disampaikan oleh Datuk Badrul Hisam Othman, Mantan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian dengan modul “Crisis Communication in the Age of Virality”. Ia memberi fokus kepada pengurusan isu tular, perlindungan reputasi organisasi serta penanganan naratif negatif dan disinformasi. Peserta turut menjalani simulasi krisis media dan mempelajari penyediaan holding statement serta key messages dalam menghadapi isu berkaitan perdagangan, pelaburan dan geopolitik.
Dengan adanya respon yang baik di kalangan para peserta, kursus sehari ini diharap dapat memperkukuhkan lagi keupayaan para pegawai komunikasi MITI dan agensi berkaitan dalam mengurus komunikasi strategik, hubungan media serta krisis secara lebih berkesan dan profesional.


























