Pelajar USIM ‘selami’ Dunia Wartawan Sebenar di MPI

Nor Hidayah binti Sayuti,
Pelajar Komunikasi Tahun 3, Jurusan Kewartawanan,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Cyberjaya bersinar dengan semangat kewartawanan pada 28 dan 29 April 2025, apabila Pusat Latihan
Malaysian Press Institute (MPI) menjadi lokasi bagi Kursus Istilah Kewartawanan. Tidak seperti
bengkel biasa, program ini membawa elemen unik dan bermanfaat, menawarkan pandangan baharu
tentang bagaimana istilah yang tepat boleh mengubah laporan media menjadi lebih bermakna dan
berintegriti. Dengan pelbagai sesi yang padat ilmu, dua hari ini bukan hanya peluang belajar malah, ia
adalah pengalaman yang sukar dilupakan.

Hibrid dan Penuh Kepelbagaian
Kursus ini berjaya mengumpulkan 32 peserta daripada pelbagai latar belakang, 18 daripadanya hadir
secara fizikal. Mereka termasuk wartawan penyiaran, pegawai penerangan, pensyarah, dan pelajar
komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Yang menarik, kehadiran 14 peserta secara
dalam talian turut memeriahkan suasana dengan wakil dari JAPEN Sabah dan UKM.

Apa yang istimewa? Segalanya. Topik yang dibawa? Pelbagai. Dari istilah mahkamah, politik,
kesihatan, sukan, sehinggalah ke peristilahan umum—semua dibentangkan oleh panel-panel
berkaliber yang bukan calang-calang orangnya.

Menurut Eksekutif Kanan Latihan MPI, Puan Nur Ramizah Abdul Aziz, kursus ini bertujuan meningkatkan kecekapan penggunaan istilah dalam laporan. “Kita ingin memastikan wartawan,
pegawai media, ahli akademik, dan pelajar komunikasi lebih mahir dan cekap menggunakan istilah
yang betul,” katanya.

Pemilihan panel bagi kursus ini dibuat berdasarkan kelayakan dan pengalaman panelis. “Untuk kali
ini, pemilihan panel dibuat berdasarkan kelayakan dan pengalaman mereka seperti Dr. G. Manimaran
yang memang pakar dalam media dan kewartawanan, Tan Su Lin untuk bidang kesihatan, dan Dr.
Johnson Fernandez untuk sukan,” tambah beliau.


Sesi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka
Ceramah pertama dikendalikan oleh Encik Fadzli Tajuid dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang
mendedahkan proses pembentukan istilah. Dari istilah biasa hingga perkataan unik dari bahasa
serumpun, Encik Fadzli menerangkan dengan gaya santai tetapi penuh informatif. Rasa ingin tahu
peserta semakin mendalam apabila mereka mengetahui bagaimana istilah baru diterbitkan dan
diadaptasi.


Encik Fadzli juga menerangkan proses penubuhan jawatankuasa khas, penglibatan pakar dalam
sesuatu bidang, dan akhirnya penerbitan istilah baharu. Antara langkah pembentukan istilah yang
diketengahkan adalah penggunaan bahasa Melayu lazim, bahasa Melayu tidak lazim, dan bahasa
serumpun seperti Jawa dan Bugis.

Berita Mahkamah: Jangan Silap Tafsir
Tiba giliran Encik Sharanjit Singh dari New Straits Times, suasana bertukar serius tetapi
mengasyikkan. Beliau berkongsi kepentingan menjaga ketepatan dalam laporan berita mahkamah
dengan menekankan bahawa laporan berita mahkamah perlu melengkapkan elemen 5W (Who, What,
When, Where, Why) dan 1H (How). “Fakta perlu tepat seperti disebut di mahkamah. Tiada parafrasa,
tiada kompromi,” tegas beliau sambil menyelitkan istilah-istilah penting seperti “Orang Kena Tuduh
(OKT)” untuk accused, dibebaskan untuk acquitted, dan affidavit yang merujuk kepada kenyataan
bertulis yang disahkan oleh sumpah.

Istilah Sukan: Inspirasi dan Nostalgia
Sesi terakhir dikendalikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Johnson Fernandez, bekas wartawan sukan yang kini
menjadi Pengarah Editor Ravon Media Sdn. Bhd. Beliau menyampaikan sesi santai tetapi penuh
dengan isi tentang istilah dalam dunia sukan. Dalam bola sepak, istilah seperti “offside”, “penalty”,
dan “hat-trick” dijelaskan. Untuk badminton, istilah seperti “smash”, “rally”, dan “deuce” diberi
penerangan, manakala untuk trek dan padang, istilah seperti “baton”, “photo finish”, dan “false start”
diperincikan. Apa yang mencuri perhatian? Beliau menghadiahkan buku bertajuk Sports Flame
kepada peserta, mencipta kenangan manis dengan sesi tandatangan eksklusif.

Fokus Kesihatan pada Hari Kedua
Hari kedua bermula dengan aura segar apabila Ms. Tan Su Lin, pengasas bersama Science Media
Centre Malaysia, berkongsi pengalaman unik sebagai wartawan penyiaran. Beliau berkongsi
perjalanan kerjayanya, termasuk pengalaman sebagai wartawan penyiaran di BERNAMA Radio dan
Astro Awani. Menariknya, beliau pernah menjadi penerbit dan hos program televisyen bertema alam
sekitar yang pertama di Malaysia, iaitu Eko Santai Bersama Su Lin. Beliau turut menekankan peranan
wartawan sebagai pengantara maklumat kesihatan kepada masyarakat. “Kita perlu fokus pada gaya
hidup sihat, bukan hanya penyakit,” ujarnya penuh semangat.

Pandemik COVID-19 menjadi detik penting dalam perjalanan Ms. Tan Su Lin apabila beliau
mendapati keperluan mendesak untuk menyaring setiap maklumat dengan pakar. Ketika dunia
bergelut dengan maklumat salah dan salah tanggapan mengenai COVID-19 serta vaksinasi,
pengalaman ini membakar semangat beliau untuk bertindak. Dari krisis ini lahirlah Science Media
Centre (SMC) Malaysia – sebuah pusat maklumat bebas yang menjadi perisai melawan penyebaran
maklumat palsu. Dengan pendekatan inovatif, SMC menyediakan data yang kredibel dan mesra
pengguna untuk dimanfaatkan media dan masyarakat.

Ketelitian dalam Istilah Politik
Sesi terakhir pada hari kedua menjadi penutup yang penuh impak apabila Dr. G. Manimaran, seorang
perunding media dan komunikasi, membawa peserta meneroka istilah dalam pelaporan berkaitan
sistem kerajaan, pentadbiran, dan politik. Beliau menekankan pentingnya menggunakan istilah yang
jelas, tepat, dan tidak bias, terutamanya dalam bidang yang melibatkan sensitiviti awam. Sepanjang
sesi ini, peserta didedahkan kepada pelbagai istilah politik yang lazim digunakan dalam laporan
media. Antara istilah yang menarik perhatian ialah:

  • Governans : tadbir urus
  • Ketimbang : perbezaan
  • Tatanan : akhir/penutup
  • Mahsul : hasil
  • Kesenjangan : kelainan

Dr. G. Manimaran turut menekankan bahawa pemahaman terhadap istilah-istilah ini penting untuk
melaporkan berita yang lebih kredibel dan mudah difahami oleh khalayak. Sesi ini menjadi peringatan
bahawa ketelitian bahasa adalah asas kepada kewartawanan yang bertanggungjawab.

Harapan dan Langkah Masa Depan
Puan Nur Ramizah menutup kursus dengan penuh harapan. “Istilah baharu akan terus muncul, dan
penting bagi wartawan untuk sentiasa peka,” katanya. MPI juga bercadang untuk memperluaskan lagi
penganjuran kursus ini supaya lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.

Kesimpulannya, Kursus Istilah Kewartawanan bukan hanya tentang istilah tetapi tentang
tanggungjawab sosial kewartawanan. Dengan ilmu baru yang dikumpul, para peserta kini bersedia
untuk menyumbang kepada dunia media yang lebih kredibiliti dan berkualiti

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter