ETIKA KEWARTAWANAN MALAYSIA
PRINSIP-PRINSIP UTAMA
Bahawasanya wartawan Malaysia adalah mendukung prinsip-prinsip Rukun Negara dan cita-cita nasional yang terkandung didalamnya;
Menyedari peranannya untuk memberi sumbangan kepada proses membina negara;
Menyedari kewajipannya untuk memberi sepenuh sumbangan pada memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional;
Menyedari peri bahaya komunisme, perkauman dan ketaksuban agama kepada kestabilan dan keselamatan negara;
Menyedari pentingnya masyarakat liberal, toleran, demokratis dan peranan tradisi kewartawanan bebas dan tanggungjawab yang berkhidmat untuk rakyat dengan melaporkan fakta-fakta yang benar tanpa rasa takut dan berat sebelah;
Menyedari bahawa kewartawanan yang amanah adalah suatu aset kepada negara;
Menyedari bahawa tiada sebarang sekatan boleh diadakan bagi penyertaan seseorang dalam profesion wartawan;
Menyedari kewajipan kaum wartawan untuk memberi sumbangan kepada penggubalan sesuatu dasar negara;
Maka dengan ini berpandukan kepada Etika Kewartawanan Malaysia yang berikut:
1. Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapat maklumat yang benar;
2. Dalam melaksanakan tugas ini dia menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritik yang saksama;
3. Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar/filem dan dokumen;
4. Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar hendaklah diperbetulkan;
5. Wartawan hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita;
6. Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun;
7. Wartawan hendaklah menghindari siaran berita rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia;
8. Wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.
LATAR BELAKANG
Kaum wartawan merupakan golongan profesional yang peranannya, antara lain, dapat mempengaruhi pandangan atau sikap masyarakat, melalui laporan dan tulisan. Oleh yang demikian wartawan dianggap agen perubahan masyarakat.
Sebagai golongan yang berpengaruh wajarlah mereka mempunyai etika profesionnya untuk dijadikan peraturan dan panduan dalam menjalankan tugas harian dengan rasa disiplin dan penuh tanggungjawab.
Untuk memenuhi keperluan inilah Institut Akhbar Malaysia, yang dianggotai 35 pertubuhan media massa di Malaysia, mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu etika yang sesuai bagi kaum wartawan Malaysia.
Ketika menyusun kandungan etika tersebut Jawatankuasa Penggubal Etika Kewartawanan Malaysia, yang dianggotai oleh ketua-ketua pengarang media Malaysia, cetak dan elektronik, telah mengkaji beberapa jenis etika kewartawanan yang digunakan di Amerika Syarikat, Jepun, Republik Korea, Filipina dan di Indonesia.
Jawatankuasa tersebut telah juga menimbangkan syor dan pandangan dalam beberapa kertas kerja, antaranya, dari Jabatan Perpaduan Negara (“Usaha-Usaha ke Arah Mewujudkan Perpaduan Yang Lebih Kukuh di Kalangan Rakyat Berbilang Kaum- Peranan Media” – Dis 1987).
Pada 20hb. Mei, 1989 di Kuala Lumpur dalam perhimpunan wakil-wakil media cetak dan elektronik, Tokoh Wartawan Negara Haji (kemudian Tan Sri) Abdul Samad Ismail diberi kehormatan untuk mengisytiharkan Etika Kewartawanan Malaysia.
Wakil-wakil pertubuhan media massa yang hadir telah berucap dan menyokong pengumuman dan kandungan Etika Kewartawanan Malaysia. Antara yang hadir ialah wakil-wakil Persatuan Pengarang-Pengarang Akhbar (ONE), Kelab Kebangsaan Akhbar Malaysia (NCP), kumpulan akhbar New Straits Times (NST), kumpulan akhbar Berita
Harian, kumpulan akhbar Utusan Melayu, RTM, TV3, wakil akhbar Cina dan Tamil, wakil akhbar tabloid, Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA), dan wakil Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).
PENJELASAN DAN HURAIAN
Etika Kewartawanan Malaysia mengandungi dua bahagian: Mukadimah dan Perkara.
Mukadimah, pada umumnya, menerangkan hubungan wartawan dengan masyarakat persekitarannya, peranannya mengekalkan keamanan kestabilan negara dan imej wartawan yang berwibawa, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap negara dan masyarakat.
Prinsip Rukun Negara, teras dan garis panduan hidup masyarakat Malaysia, diutamakan dalam Etika Kewartawanan Malaysia kerana masalah perkauman, ketaksuban agama, kestabilan dan keselamatan negara. Usaha mempertahankan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia juga dihuraikan secara terperinci dalam prinsip Rukun Negara.
Kaum wartawan Malaysia yang menerima Etika Kewartawanan Malaysia bererti bersetuju menghormati prinsip-prinsip terkandung dalam Rukun Negara: i) Kepercayaan kepada Tuhan, ii) Kesetiaan kepada Raja dan Negara, iii) Keluhuran Perlembagaan, iv) Kedaulatan Undang-Undang, dan v) Kesopanan dan Kesusilaan.
Kecuaian untuk menghormati prinsip-prinsip tersebut menampakkan sikap tidak atau kurang bertanggungjawab ketika menjalankan profesionnya dan keadaan ini boleh menjejaskannilai moral dan akhlak seseorang wartawan.
Dalam menghayati Etika Kewartawanan Malaysia, wartawan perlu menyedari peranannya untuk memberi sumbangan kepada proses pembinaan negara dengan cara menyedarkan pembacanya supaya menyokong segala projek pembangunan yang menguntungkan rakyat.
Kaum wartawan juga bertanggungjawab memberi sumbangan dalam usaha memupuk keharmonian antara kaum, perpaduan nasional dan penggubalan sesuatu dasar negara. Wartawan perlu sedar bahawa dalam negara demokratik mereka dikehendaki menggunakan kemahiran untuk mewujudkan suasana saling menghormati, saling mempercayai dan saling memahami di kalangan masyarakat dan mencegah timbulnya perasaan curiga dan prasangka.
Bahaya komunisme, perkauman dan ketaksuban agama kepada kestabilan dan keselamatan negara dapat dikesani dari keadaan 12 tahun Darurat, insiden 13hb. Mei 1969 dan peristiwa-peristiwa berkaitan dengan etnik dan agama yang pernah berlaku di negara-negara lain.
Kewujudan masyarakat yang liberal, toleran dan demokratik perlu dipupuk dalam negara yang berbilang kaum, agama dan budaya. Begitu juga dengan peranan dan tradisi kewartawanan bebas dan bertanggungjawab untuk melaporkan kebenaran tanpa rasa takut atau berat sebelah. Sesungguhnya, wartawan yang cekap, jujur dan amanah menjadi aset kepada negara dan masyarakat.
Mereka yang dapat memenuhi kriteria dan keperluan tersebut layak memasuki profesion kewartawanan. Dalam menjalankan tugasnya wartawan perlu menghormati panduan dan peraturan berikut:
(1) Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar.
Sebelum menjalankan tugas wartawan perlu mengetahui hak kebebasannya. Hak bagi wartawan menghadiri perbicaraan di mahkamah, mesyuarat dan persidangan sama sahaja dengan hak yang ada pada orang ramai. Jika meja dan kerusi disediakan khas untuk wartawan di sesuatu majlis ialah kerana penganjur atau pihak berkuasa menghargai peranan wartawan.
Kadangkala wartawan mendapat keistimewaan yang tidak diberikan kepada orang ramai. Misalnya, menghadiri mahkamah juvana. Ada wartawan mendesak supaya ia dibenarkan mengikuti perbicaraan juvana itu walaupun ia diberitahu tidak ada perkara penting yang hendak dilaporkan. Bagaimanapun, tuntutan itu dikemukakan sekadar mengingatkan pihak berkuasa tentang adanya hak wartawan.
Kadangkala wartawan dilarang menghadiri sesuatu majlis atau mesyuarat. Hal ini berlaku apabila majlis itu dikhaskan kepada ahli-ahli pertubuhan berkenaan.
Wartawan perlu mengetahui perbezaan antara mesyuarat terbuka kepada orang ramai dan mesyuarat terhad kepada ahli-ahli persatuan. Mesyuarat agung merupakan mesyuarat terhad dan pengerusi mesyuarat boleh membatasi kehadiran wartawan. Bagaimanapun, tindakan menghalang wartawan daripada menghadiri sesuatu perhimpunan terbuka kepada orang ramai adalah perbuatan menghalang wartawan daripada menjalankan tugasnya untuk kepentingan orang ramai.
Sesungguhnya, tidak ada pihak yang mahu menghalang wartawan menghadiri mesyuarat atau perhimpunannya kecuali ada sesuatu yang hendak dirahsiakan kepada orang ramai.
(2) Dalam melaksanakan tugasnya dia menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.
Kebebasan memungut dan menyiarkan berita sering dikaitkan dengan kebebasan akhbar. Definisi kebebasan adalah berbeza dari suatu Negara dengan negara yang lain mengikut keadaan setempat. Sebenarnya tidak ada kebebasan akhbar secara mutlak. Kebebasan akhbar di Malaysia ialah kebebasan yang disertai dengan tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat, sesuai dengan prinsip dan semangat Rukun Negara.
Kebebasan akhbar secara mutlak tanpa rasa tanggungjawab boleh mengancam kestabilan negara terutama apabila media menyalahgunakan kebebasannya dan setelah pemikiran dan pandangan masyarakat menjadi tidak menentu akibat daripada kebebasan akhbar yang ekstrim dan melampau.
Media di Barat, terutama sekali, giat memperjuangkan prinsip kebebasan akhbar sedangkan mereka belum pasti dapat mengamalkan apa yang diperjuangkan kerana mereka pasti akan mempertahankan dasar dan kepentingan pemilik medianya atau untuk kepentingan golongan yang diwakilinya.
Dalam menghayati kebebasan akhbar wartawan hendaklah membuat ulasan dan kritikan membina dan saksama supaya kritikan itu tidak melulu dan dianggap bermuslihat.
Dalam keghairahan wartawan melaporkan berita perlu diingat adanya beberapa akta seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Akta Fitnah dan lain-lain yang ada kaitan secara langsung dengan profesion kewartawanan.
(3) Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar, filem dan dokumen.
Pelbagai cara boleh digunakan untuk mendapatkan berita selagi cara yang dijalankan itu wajar dan untuk kepentingan orang ramai. Wartawan yang menyamar ketika mencari berita hendaklah menghormati batas kesopanan dan kuasa undang-undang. Menyamar sebagai pegawai polis atau tentera atau doktor dan sebagainya bukanlah cara yang wajar kerana profesion yang disamari mempunyai bidang kuasa dan peraturan tertentu bagi penyandangnya.
Ketika bertugas wartawan hendaklah mengenalkan diri dan nama akhbar yang diwakili sama ada ia diminta berbuat demikian atau tidak. Tujuannya untuk memberi keyakinan kepada orang yang ditemui supaya sedar bahawa ia berhadapan dengan wartawan ketika membuat keterangan.
Perbuatan menyamar diri kadangkala dilakukan wartawan apabila bertugas membuat laporan penyiasatan (investigative reporting) dan menghadapi kesulitan untuk mendapat fakta-fakta yang perlu dan penting bagi melengkapkan kandungan laporannya. Banyak berita yang menggemparkan dihasilkan oleh wartawan bertugas secara menyamar.
Bagaimanapun, sedapat mungkin elakkanlah perbuatan menyamar ketika bertugas kecuali dalam keadaan tertentu atau terdesak.
Dalam mencari berita wartawan mempunyai hak yang sama pada orang ramai. Kesalahan melanggar kawasan (trespassing), misalnya, meliputi semua orang termasuk wartawan, kecuali mereka yang diberi kebenaran.
Dalam suatu kemalangan jalan raya misalnya, wartawan bergerak bebas menjalankan tugasnya di kawasan kemalangan sedangkan orang ramai biasanya dilarang berbuat demikian. Tetapi wartawan sayugia faham bahawa ia, seperti jua orang ramai, tanpa kebenaran khas dan bergerak bebas di kawasan kemalangan itu mungkin kerana pihak
berkuasa menghargai peranan media untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada orang ramai. Pihak berkuasa boleh menghalang wartawan memasuki kawasan larangan jika dirasakan perlu.
Di kawasan terbuka kepada orang ramai wartawan boleh bergerak bebas menjalankan tugas tanpa perlu mendapat kebenaran. Wartawan foto juga berhak untuk merekodkan peristiwa yang berlaku di kawasan umum (public area) tanpa diganggu atau dihalang.
Objek yang menjadi fokusnya hanya boleh melindungkan diri tetapi tidak boleh bertindak menghalang wartawan daripada menjalankan tugasnya, misalnya, dengan menutup lens foto atau merampas atau memusnahkan kamera wartawan. Jika mereka berbuat demikian wartawan terlibat boleh membuat aduan polis. Begitu juga dengan wartawan yang dikasari hingga cedera untuk menghalang mereka daripada membuat liputan.
(4) Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar dan tepat hendaklah diperbetulkan.
Adalah menjadi tanggungjawab wartawan dan media untuk membetulkan sesuatu kesilapan dalam laporannya dengan segera lebih-lebih lagi kesilapan yang serius sama ada setelah mengetahui kesilapannya itu atau setelah ada permintaan pihak yang terlibat.
Keikhlasan dan kejujuran wartawan dan medianya menyiarkan sesuatu berita pembetulan dapat diukur dari kesediaannya mengakui kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja (in good faith).
(5) Wartawan hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita.
Antara masalah yang biasa dihadapi oleh kaum wartawan dalam usaha mereka mendapatkan berita ialah adanya keterangan sulit (confidential information) yang tidak boleh disiarkan begitu sahaja. Keterangan seperti itu diberi kepada wartawan biasanya dengan tujuan hanya untuk keterangan latar belakang mengenai kejadian yang diperkatakan.
Adakalanya seseorang wartawan mendapat banyak keterangan penting untuk makluman orang ramai atau keterangan yang boleh melengkapi kandungan sesuatu laporan atau berita tetapi keterangan tersebut dianggap “off the record”. Keadaan seperti ini biasa berlaku apabila sumber yang memberi berita “off the record” itu disiarkan atau ia enggan namanya dikaitkan dengan keterangan yang diberi mungkin kerana keterangan itu sulit atau rahsia.
Dalam menghadapi hal seperti ini, wartawan sewajarnya menghormati permintaan sumber beritanya. Jika keterangan “off the record” itu terpaksa juga disiarkan maka nama dan jawatan atau apa mengenal pasti identiti sumber keterangan itu hendaklah dirahsiakan, dan gunakan istilah seperti “sumber-sumber yang boleh dipercayai ”(reliable sources),“ sumber-sumber yang mengetahui” (information circles) dan sebagainya. Jika tersiar juga sesuatu keterangan “off the record” maka wartawan yang melaporkannya hendaklah mempertahankan kerahsiaan identity sumber beritanya.
Ada wartawan sanggup membocorkan identiti sumber berita “off the record” itu hanya kepada hakim di mahkamah. Pertimbangannya dalam hal ini ialah kerana undang-undang negara mengatasi segala-galanya, termasuk etika kewartawanan. Mungkin juga dengan berbuat demikian wartawan berkenaan dapat membuktikan kejujurannya menggunakan istilah “reliable sources” dan sebagainya dalam laporannya. Ada juga wartawan yang sanggup di penjara atau didenda kerana enggan menerangkan di mahkamah identiti sumber beritanya dan dengan demikian ia dianggap menghina mahkamah (contempt of court).
Bagaimanapun, ketua pengarangnya berhak mengetahui sumber berita yang dirahsiakan itu untuk membolehkannya membuat keputusan yang tepat sama ada berita berkaitan itu boleh atau tidak dirahsiakan.
(6) Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.
Kesopanan dan ketertiban kelakuan ketika bertugas perlu dijaga supaya wartawan dapat mengharapkan layanan yang sewajarnya dari pihak yang dihubungi. Sikap saling menghormati akan memudahkan tugas yang dikerjakan seperti ketika membuat temuramah atau menghadiri sidang akhbar. Masa temu janji hendaklah ditepati dan peraturan persidangan dipatuhi.
Plagiarisme dalam apa profesion pun dikeji. Wartawan menulis dari pengalamannya, pandangannya, penyelidikannya dan kemampuan mengarang dan bukan “menceduk” tulisan orang lain dan menyiarkannya sebagai hasil karyanya.
Fitnah dan hasutan dalam berita atau rencana boleh melibatkan penulisnya dengan Akta Fitnah atau Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara dan/atau didenda. Dalam kesalahan fitnah wartawan tidak perlu membuat fitnah. Melaporkan kenyataan orang lain yang mengandungi unsur fitnah juga satu kesalahan dan boleh melibatkan wartawan dalam kes fitnah.
Tuduhan tidak berasas bergantung kepada tempat dan keadaan. Menuduh seseorang komunis adalah kesalahan libel jika tuduhan itu dibuat dalam negara yang mengharamkan ideologi komunis. Tetapi tuduhan seperti itu mungkin tidak salah jika dibuat di negara yang membenarkan ideologi komunis. Begitu jua mengeluarkan perkataan yang menjatuhkan imej seseorang kerana menulis perkataan-perkataan yang boleh dianggap menghina ditempat lain. Wartawan perlu berhati-hati dalam penggunaan kata-kata yang sensitif di sesuatu daerah.
Wartawan perlu sedar bahawa lagi tinggi kedudukan atau status seseorang dalam masyarakat akan lebih mudah ia difitnah. Wartawan yang membuat laporan dengan tujuan mengharapkan imbuhan dianggap cuba melakukan rasuah. Imbuhan dalam berbagai bentuk, antaranya, wang, pangkat, kedudukan, kewangan dan lain-lain lagi.
Ada wartawan menyatakan ia bersedia menerima sesuatu imbuhan dan perbuatannya itu tidak akan memberi kesan dalam menyempurnakan tugasnya secara objektif, jujur dan ikhlas. Wartawan yang menerima imbuhan atau hadiah kerana tulisannya kebiasaannya menghadapi tekanan atau perasaan terhutang budi.
Apabila hal ini berlaku maka kejujuran, keikhlasan dan sikap objektif yang ada pada wartawan berkenaan boleh diragui. Hadiah yang dimaksudkan ialah sesuatu yang sangat berharga dan bukan hadiah kecil yang dimaksudkan sebagai cenderamata.
(7) Wartawan hendaklah menghindarkan siaran berita dan rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.
Untuk perpaduan rakyat perlu disiarkan banyak berita yang tidak mengandungi unsur perkauman atau bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia. Rukun Negara menekankan nilai-nilai murni yang perlu dipupuk dan diamalkan untuk menyatupadukan masyarakat dan rakyat Malaysia.
Usaha mengurangkan berita/rencana perkauman, keganasan kaum atau agama perlu digiatkan, terutama di negara-negara sedang membangun. Seminar Wartawan Asia Tenggara di Davao, Filipina (April 1970) yang disertai oleh wakil-wakil dari sembilan negara, termasuk Malaysia, telah meluluskan beberapa ketetapan mengenai “Ketegangan Kaum dan Etnik”, yang antaranya menyatakan:
Cara yang dilakukan oleh media untuk menentukan kebenaran sesuatu berita yang melibatkan kaum atau agama hendaklah diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Janganlah menyiarkan kenyataan dari mana-mana sumber, walaupun dari sumber rasmi, tanpa terlebih dahulu mengkaji implikasinya itu dengan interpretasi dan penjelasan.
(The traditional newspaper standards of checking for accuracy should be applied with even greater rigour in any stories involving racial, religious or communal groups. Statements should not be accepted at face value from any sources, and where necessary these should be accompanied in the news columns by corroboration and interpretation).
Khabar angin yang belum dipastikan kebenarannya tidak wajar menjadi bahan berita, lebih-lebih lagi jika ramalan mengenai sesuatu keganasan boleh menimbulkan keganasan.
(Unverified rumour is not proper content of news columns. In particular, there is a great danger in speculation about violence).
Dalam masyarakat majmuk yang mudah tercetus ketegangan di bidang sosial, ekonomi atau agama, media hendaklah mengambil inisiatif melaporkan berita-berita penyiasatan dan penjelasan yang mengandungi unsur-unsur kemasyarakatan. Usaha seperti ini dapat menyebarkan persefahaman dan melenyapkan suasana benci-membenci dan curiga-mencurigai yang boleh menyebabkan insiden kecil menjadi rusuhan.
(In mixed society with underlying causes of tension – social, economic or religious – newspapers and the broadcast media should initiate investigative and interpretative stories with sociological content. These would spread understanding and also help disperse an environment of resentment and suspicion which can turn a minor incident into a riot).
(8) Wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.
Antara beberapa akta yang ada kaitan dengan profesion kewartawanan dan perlu diketahui tiap wartawan, ialah:
Akta Hasutan 1948: Bertujuan menghukum sesiapa yang membangkitkan soal-soal sensitif dengan tujuan menghasut dan membahayakan keselamatan negara. Akta ini meliputi kata-kata hasutan yang dibuat di luar dan di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Sesuatu kenyataan dianggap menghasut apabila menyentuh keselamatan negara atau bertujuan menghasut. Kesan hasutan tidak perlu ada pada pihak ketiga dalam kes menghasut. Akta ini dikuatkuasakan ke atas rakyat Malaysia yang berada di dalam atau luar Malaysia.
Akta Rahsia Rasmi (pindaan)1986: Bertujuan menjaga rahsia rasmi negara supaya ia tidak dibocorkan kepada pihak yang ingin mendapat keuntungan serta merta atau yang boleh mengancam keselamatan negara. Jika sabit kesalahan hukumannya penjara mandatori di antara satu hingga tujuh tahun. Akta ini boleh dikuatkuasakan ke atas seseorang rakyat Malaysia di negara mana jua kesalahan itu dilakukan. Dokumen yang dianggap rahsia rasmi Kerajaan ialah kertas-kertas yang ditentukan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia Sulit” atau “Terhad” yang ditetapkan oleh Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau pegawai-pegawai tertentu yang diberi kuasa.
Akta Fitnah 1957: Bertujuan melindungi masyarakat daripada menjadi bahan fitnah orang yang tidak bertanggungjawab. Fitnah adalah kata-kata dusta mengenai orang lain dan dihebahkan atau disiarkan kepada pihak ketiga. Akta fitnah merupakan undang-undang sivil. Jika fitnah itu mengandungi unsur jenayah, tuduhan boleh dikenakan di bawah Kanun Keseksaan (S.449) dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara dan/atau denda. Dalam kes fitnah, tanggungjawab membuktikan sesuatu (burden of proof) terletak pada yang dituduh membuat fitnah. Pihak yang tertuduh perlu membuktikan bahawa kenyataan/ keterangannya itu adalah benar dan merupakan berita atau ulasan yang adil (fair comment) dan dibuat untuk kepentingan orang ramai.
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: Bertujuan membendung kegiatan subversif yang boleh membahayakan keselamatan negara, sama ada kegiatan komunis, ahli politik atau orang yang terlibat dengan kegiatan komunis (setelah tamat Darurat pada 31 Julai, 1960). Akta ini mempunyai peruntukan menyeluruh. Jika sesuatu kegiatan itu boleh membahayakan keselamatan negara Menteri Dalam Negeri berkuasa menahan orang yang melakukannya hingga dua tahun tanpa perbicaraan. Ketua Polis Negara juga boleh menahan seseorang hingga 60 hari.
Kanun Keseksaan: Ada beberapa peruntukan jenayah dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) yang menyentuh kebebasan bercakap. Sekatan dibuat mengenai perkataan-perkataan yang mencabul kehormatan wanita (S.509), ugutan (S.503), mengeji atau mencerca (S.504), kenyataan khianat, berita angin (S.505), iklan buku-buku lucah (S.292) dan kenyataan yang boleh menyinggung agama (S.298). Kesalahan di bawah Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara dan/atau didenda.
Akta Hakcipta 1987: Bertujuan melindungi karya-karya asli daripada disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang ingin mendapatkan keuntungan dengan mudah dan segera dengan menyalin karya orang lain.
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984: Bertujuan mengawal semua jenis penerbitan sama ada yang dicetak di dalam negeri atau yang diimport. Sesiapa mencetak atau mengeluarkan penerbitan lucah atau bertentangan dengan akhlak atau sesuatu yang mengandungi hasutan supaya mengingkari perintah yang sah atau yang boleh membawa kepada kekacauan atau permusuhan kaum dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Akta ini. Dia boleh dihukum dan mesin cetaknya boleh dirampas.
Injuction: Ialah cara untuk membatasi kebebasan berucap atau menerbitkan sesuatu perkara yang menjadi isu. Injuction juga merupakan penapisan perundangan (judicial censorship). Jika ada sesuatu laporan yang telah diterbitkan maka mahkamah, atas permintaan salah satu pihak yang terlibat, boleh mengeluarkan injuction untuk mencegah siaran mengenai isu yang dipersoalkan dibuat selanjutnya, sama ada dalam bentuk buku atau siaran di media.
KESIMPULAN
Society of (US) Professional Journalists dalam buku “Doing Ethics in Journalism” menyatakan:
“Ditinjau kebaikannya, sesuatu kod etika kewartawanan dapat membantu wartawan mengenal pasti banyak masalah dan menyedarkan wartawan bahawa tugas mereka ialah bertanggungjawab mencari dan melaporkan berita dengan lengkap dan tepat, dan juga mengingatkan wartawan supaya sentiasa berwaspada terhadap tekanan-tekanan yang akan akhirnya melenyapkan kebebasan akhbar.
“Sebaliknya, kod etika kewartawanan boleh membatasi kemampuan individu wartawan untuk bertindak dan membuat keputusan secara bebas”
Etika Kewartawanan Malaysia telah disusun oleh wartawan untuk wartawan. Oleh yang demikian kaum wartawan Malaysia bertanggungjawab untuk menghayati dan mematuhinya.