MPI Mini Library
UPM Institusi Pendidikan Pertama Sumbang Buku ke Perpustakaan Mini MPI

UPM Institusi Pendidikan Pertama Sumbang Buku ke Perpustakaan Mini MPI

4 Februari 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul institusi pendidikan pertama yang menyumbang buku ke perpustakaan mini Malaysian Press Institute (MPI) di Cyberjaya. Sumbangan ini bukan sekadar satu usaha simbolik, tetapi mencerminkan komitmen institusi akademik dalam memperkaya sumber rujukan yang amat diperlukan oleh penyelidik, pelajar serta orang ramai yang berminat dengan bidang media, komunikasi dan kewartawanan. Perpustakaan mini ini diwujudkan di MPI, Cyberjaya sebagai satu inisiatif untuk membentuk sebuah pusat ilmu yang lebih dinamik, menyediakan bahan bacaan berkualiti yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti akademik dan industri.

Program “KONGSI BUKU” merupakan satu langkah progresif dalam membina budaya ilmu yang lebih inklusif dan terbuka kepada sumbangan masyarakat. Dengan menerima pelbagai jenis buku, sama ada baharu atau terpakai, perpustakaan mini ini berpotensi menjadi pusat rujukan yang komprehensif dan kondusif bagi pelbagai pihak yang terlibat dalam kajian media serta komunikasi.

Buku-buku yang diterima merangkumi pelbagai genre, termasuk buku non-fiksyen, media komunikasi, kewartawanan, metodologi penyelidikan dan jurnal akademik, menjadikannya sumber yang amat bernilai bagi mereka yang mencari bahan ilmiah dan terkini dalam bidang ini. Kami juga menerima majalah lama seperti Pemikir, Mastika dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, serta majalah ilmiah yang dihasilkan penerbit seperti Kumpulan Karangkraf, dan agensi media serta pihak yang berkaitan pengeluaran buku, seperti Yayasan Buku Negara, Institut Terjemahan dan Buku Negara, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Kota Buku. MPI juga mengharapkan ada buku yang disumbangkan oleh pengumpul buku lanka atau buku terpakai, yang mana boleh dimanfaat bagi tujuan kajian dan penyelidikan.

MPI juga mengharapkan ada sumbangan dari Perpustakaan Negara dan Negeri yang mempunyai lebihan buku untuk diserahkan kepada MPI. Koleksi individu yang berhajat untuk menyumbang dan menyerahkan buku kepada MPI, sangat dialu-alukan.

Keperluan sebuah perpustakaan mini di MPI semakin relevan dalam usaha MPI memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan dalam industri media dan kewartawanan. Dengan usaha menghasilkan Jurnal Kewartawanan Malaysian Press Institute yang bakal diterbitkan tidak lama lagi, kewujudan perpustakaan ini akan menjadi pelengkap penting kepada usaha MPI dalam mendokumentasikan perkembangan dan kajian akademik berkaitan kewartawanan serta komunikasi di Malaysia. Penerbitan jurnal ini bukan sahaja bertujuan untuk menghimpunkan wacana akademik yang kritikal dan analitikal dalam bidang kewartawanan, tetapi juga menjadi platform untuk pengkaji serta profesional media berkongsi dapatan penyelidikan mereka.

Selain itu, MPI juga sedang mengukuhkan kerjasama strategik dengan beberapa universiti untuk menjalankan kajian dan penyelidikan bersama dalam bidang media, komunikasi dan kewartawanan atau yang relevan kepada industri serta berkepentingan rakyat. Kolaborasi ini bertujuan meningkatkan lagi kredibiliti kajian tempatan dalam industri media, selain membuka ruang kepada akademia dan pengamal media untuk menjalin hubungan yang lebih erat dalam pembangunan ilmu dan latihan profesional. Dengan adanya perpustakaan mini yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan rujukan bahan akademik serta penerbitan buku-buku ilmiah berkaitan, MPI berpotensi menjadi pusat sumber utama bagi mereka yang ingin mendalami bidang ini.

Dalam usaha untuk terus mengiktiraf kecemerlangan dalam dunia kewartawanan di peringkat institusi pengajian tinggi, MPI juga sedang merancang penganjuran Anugerah Media IPT 2025. Penganugerahan ini bertujuan menghargai bakat serta usaha pelajar dan penyelidik dalam menghasilkan karya yang berkualiti dalam bidang kewartawanan dan media. Dengan adanya perpustakaan mini yang kaya dengan bahan rujukan serta penerbitan ilmiah yang menyokong pembangunan intelektual, anugerah ini diharap dapat memberi motivasi kepada pelajar dan penyelidik untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti serta menyumbang kepada dunia kewartawanan di Malaysia.

Usaha ini memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan, penerbit, wartawan, penyelidik serta individu yang mahu menyumbang kepada perkembangan ilmu. Dengan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan akses kepada bahan bacaan berkualiti, MPI boleh terus berperanan sebagai pusat sumber yang bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat, sekaligus menjadikan perpustakaan mini ini sebagai satu pusat ilmu yang berdaya saing dan berperanan dalam memperkasakan industri media dan kewartawanan negara.

Dalam majlis pada 4 Februari 2025, UPM melalui Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, diwakili Pensyarah Kanan, Dr. Wan Anita Wan Abas telah menyerahkan buku kepada Eksekutif MPI, Cik Nurul Azira untuk ditempatkan di perpustakaan mini MPI ini.