10 pelajar Program Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan UUM-MPI dijadual tamat pengajian pertengahan 2015
Seramai 10 orang pelajar dari kumpulan dua dan kumpulan tiga yang mengikuti Program Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan UUM-MPI dijangka menamatkan pengajian masing-masing pada pertengahan 2015.
Seramai 6 pelajar dari kumpulan dua telah pun menyempurnakan kertas projek iaitu tugasan terakhir sebelum menamatkan program tersebut. Kumpulan tiga yang terdiri daripada 4 orang pelajar baru sahaja selesai menduduki peperiksaan untuk tiga subjek terakhir mereka pada 13 dan 14 Disember 2014 dan selama tiga bulan mulai pertengahan Januari 2015 mereka akan mula melakukan kerja-kerja penyelidikan dan penulisan untuk kertas projek. Mereka dijangka menyiapkan kertas projek tersebut pada April 2015 dan dengan itu bakal menamatkan pengajian peringkat sarjana.
Peperiksaan yang telah diadakan pada 13 dan 14 Disember 2014 yang lalu diselia oleh Dr. Rosli Mohammed, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi.
Tiga subjek terakhir bagi kumpulan tiga ialah Quantitative Applications In Communication Research dibimbing oleh Dr. Rosli Mohammed, Qualitative Applications In Communication Research dibawah tunjuk ajar Cik Suhaini Muda dan Corporate Communication dibimbing oleh Cik Nor Hayati Mohd Jalil.
Subjek yang disusun atur oleh UUM mendapat pujian dari para pelajar. Shamshul Rizlan Rosli iaitu salah seorang pelajar dari kumpulan tiga memberitahu Program Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan UUM-MPI banyak memberi manfaat bagi dirinya “program ini menekankan pendekatan yang serius kepada pelajar tentang komunikasi kepengurusan dimana kursus ini tidak pernah ditawarkan dimana-mana universiti tempatan.”
Seorang lagi pelajar Mohd Idham Zakaria mendapati “keseluruhan program ini memudahkan dan memberi peluang kepada golongan yang bekerja untuk melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah.”
Sementara itu, sekumpulan tujuh orang pelajar dari kumpulan empat bakal menduduki semester keempat mereka mulai pertengahan Januari 2015 dan ketiga-tiga kumpulan iaitu kumpulan dua, tiga dan empat akan menamatkan pengajian masing-masing menjadikan jumlah keseluruhan yang bakal menamatkan pengajian pada Istiadat Konvokesyen Ke-28 yang akan berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok pada hujung tahun 2015 ialah seramai 17 orang.
Bagi Timbalan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi, Dr. Rosli Mohammed “para pelajar menunjukkan prestasi akademik yang membanggakan dan saya amat berpuas hati. Peningkatan ini adalah sesuatu yang baik dari segi perkongsian akademik dan industri. Saya harap lebih ramai golongan yang bekerja menyertai program ini.”
Program Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan UUM-MPI ini bermula pada 2012. Kumpulan pertama seramai 10 orang yang terdiri daripada enam wartawan dan empat pengamal media telah menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen UUM Ke-27 yang telah berlangsung pada November 2014.
Program ini didayausahakan oleh UUM dan Malaysian Press Institute (MPI) untuk membantu para wartawan serta pengamal media yang berminat untuk melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana.
Maklumat lanjut mengenai Program Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan boleh dilayari di laman web UUM.
1. Dr. Rosli Mohammed (berdiri) sedang memberi taklimat kepada para pelajar sebelum peperiksaan akhir bermula.
2. Kata-kata semangat serta nasihat turut diberikan oleh Dr. Rosli (berdiri) sebelum para pelajar mula menjawab soalan peperiksaan akhir mereka.
“Jangan gentar dan fokus kepada soalan dan jawapan”, itu adalah antara pesanan beliau kepada para pelajar.
3. Wajah-wajah riang para pelajar bergambar dengan Dr. Rosli sebaik sahaja peperiksaan selesai.
Duduk dari kiri: Jasni Shafie, Tuan Norazimah Tuan Mohamed, Dr. Rosli Mohammed dan Yusanani Yushak.
Berdiri dari kiri: Mohd Idham Zakaria, Mohd Farid Teh Kamaruddin, Noorzati Mohd Arish, Mahathir Latib, Nurul Ain Md Ali, Zehra Zambri, Azizul Naszri Alias, Mohamad Naim Hashim, Shamshul Rizlan Rosli dan Rosmawati Zawawi.
4. Noorzati Mohd Arish, Penerbit Buletin Utama TV3 (kiri), Yusanani Yushak, Perunding Komunikasi (dua dari kiri) dan Jasni Shafie, Pengacara Sukan (kanan) bergambar bersama pensyarah serta “sifu” yang mereka kagumi serta hormati, Dr. Rosli Mohammed (dua dari kanan).