ANUGERAH
11 pemenang Anugerah Media MSOSH 2022 diraikan

11 pemenang Anugerah Media MSOSH 2022 diraikan

Malaysian Society for Occupational Safety & Health (MSOSH) meraikan 11 karyawan media dengan pengiktirafan anugerah melalui Anugerah Media MSOSH 2022.

Kategori-kategori yang dipertandingkan adalah media cetak & portal berita, media penyiaran televisyen & video dalam talian, media penyiaran radio & radio dalam talian. MPI menerima sebanyak 96 penyertaan untuk anugerah yang juga telah memasuki edisi ke-4.

Siti Nurfatihah Pirdaus dari Sinar Daily mengungguli kategori media cetak & portal berita bagi artikelnya bertajuk “Sick Building Syndrome could be the reason for your headaches at work” dengan membawa pulang RM 2,500.00. Disusuli dengan pemenang tempat kedua & ketiga dari BERNAMA iaitu Nurul Isnaini Mohd Muslim dan Nur Natasha Aida Ismail & Ahmad Aidil Syukri bin Hamzah.

Bagi kategori media penyiaran televisyen & video dalam talian, wartawan Astro Awani Muhammad Afiezy Azaman memenangi tempat pertama dengan laporan yang bertajuk “Keselamatan Fasiliti Dan Kesihatan Mental Di Tempat Kerja”. Tempat kedua menjadi milik karyawan media dari TVS iaitu Odleen Catherny Morfor & Abdul Aziz Soleh dengan wang hadiah RM 1,500.00. Manakala Rozihan Mohd Raji dari RTM meraih tempat ketiga.

Seorang lagi wartawan dari RTM, Paranthaman Nadarajan memenangi tempat pertama kategori media penyiaran radio & radio dalam talian dengan tajuk laporannya “Hati-hati, Kebisingan Berterusan”. Tempat kedua jatuh kepada Lim Sue Ann dari BFM Media dan pemenerima hadiah ketiga menjadi kepunyaan wartawan radio dari Astro Radio News, Nurul Izzati Amir Zaimi dengan wang hadiah RM 1,000.00.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Hj. Mustapha Sakmud. Beliau sempat memberi ucapan penghargaan tahniah kepada para pemenang atas pengiktirafan yang diperoleh.

Beliau juga berharap pihak media akan terus membuat banyak liputan mengenai isu kesihatan dan keselamatan dalam pekerjaan supaya maklumat yang berkaitan sampai kepada masyarakat di seluruh negara.

Majlis ini juga dihadiri oleh Ketua Eksekutif PERKESO Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Pengarah JKKP Tuan Mohd Anuar bin Embi, dan Ahli Pemegang Amanah MPI Datuk Yong Soo Heong mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr. Chamil Wariya, serta Presiden MSOSH Ahmad Fakhrul Anuar bin Ismail.

Ahmad Fakhrul Anuar bin Ismail selaku Presiden MSOSH memberi kata-kata aluan majlis.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Tuan Hj Mustapha bin Sakmud merakamkan penghargaan kepada pengamal keselamatan & kesihatan pekerjaan serta pengamal media.

Siti Nurfatihah Pirdaus (kanan), Sinar Daily, menerima cek replika RM 2,500 daripada Hj. Mustapha Sakmud bagi memenangi tempat pertama kategori media cetak & portal berita.

Sekumpulan pemberita & jurukamera TVS yang datang jauh dari Sarawak, (dari kanan) Odleen Catherny Morfor & Abdul Aziz Soleh menerima hadiah terkumpul RM 1,500 untuk tempat kedua bagi kategori media penyiaran televisyen & video dalam talian.

Penyelia siaran RTM Perak, Paranthaman Nadarajan (kanan) memenangi tempat pertama kategori media penyiaran radio & radio dalam talian.
Datuk Yong Soo Heong (tengah) sempat bergambar kenangan dengan karyawan-karyawan media dari BERNAMA