17 kakitangan penerbitan Jabatan Penerangan mendalami skil penulisan profesional
CYBERJAYA: Institut Akhbar Malaysia (MPI) meneruskan program latihan untuk kakitangan perkhidmatan awam, dengan kali ini memfokus keperluan Bahagian Penerbitan Dasar Negara (BPDN), Jabatan Penerangan Malaysia.
Bengkel dua hari ini dikendalikan dalam talian dan disertai oleh 17 orang peserta.
Bengkel Latihan Penulisan Profesional: Menghasilkan Karya Bertenaga dan Efektif disediakan bagi meningkatkan keupayaan dan kemampuan menghasilkan karya yang tepat, jelas dan mesra pembaca bagi jabatan tersebut.
Menyampaikan kata-kata pembukaan bengkel, Pengarah BPDN, Puan Wan Azizah Wan Omar berkata, bengkel ini diusahakan bagi mendedahkan para pegawainya yang terlibat dalam aktiviti penulisan dan penerbitan menghasilkan karya-karya yang efektif untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
“Kami menerbitkan banyak bahan terbitan. Jadi, saya percaya bengkel ini akan membolehkan kami dapat menghasilkan karya yang berkesan.
“Kandungan yang membina dan efektif bermakna penulis mampu menyediakan platform hubungan yang lebih erat dengan pelanggan, iaitu rakyat, dan komunikasi yang lebih baik juga bermaksud pengambilan keputusan yang lebih berkesan dan cekap,”kata beliau.
Bengkel dikendalikan oleh Dr G Manimaran, pengamal media dan komunikasi, yang mempunyai pengalaman 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan penulisan.