234 wartawan sertai HKM 2012
Seramai 234 orang wartawan telah mengemukakan 444 karya masing-masing untuk dinilai bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2012 (HKM 2012).
Bilangan karya mengatasi jumlah peserta kerana bagi beberapa ketegori, peserta dikehendaki menghantar lebih daripada satu karya sebagai bukti mereka secara konsisten telah menghasilkan penulisan yang bermutu tinggi sepanjang tempoh 12 bulan itu.
Seperti 2011, HKM 2012 menawarkan 12 kategori untuk disertai oleh para wartawan. Karya terbaik di kalangan 12 kategori itu akan diangkat sebagai pemenang Hadiah Kajai iaitu anugerah tertinggi bagi HKM.
Pemenang Anugerah Kajai akan membawa pulang RM30,000.00 dan sekeping syiling emas seberat 100 gram yang pada harga semasa bernilai hampir RM20,000.00.
Pemenang bagi 12 kategori lain pula membawa pulang wang tunai RM15,000.00.
Hadiah tahunan HKM bernilai RM300,000.00 adalah tajaan syarikat minyak negara, PETRONAS. PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994.
HKM telah diinstitusikan pada 1980 sebagai usaha untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia setiap tahun.
Hadiah kepada para pemenang dijangka akan disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia 2013 yang dirancang pada 19 April. Perdana Menteri telah diundang untuk menyampaikan hadiah-hadiah itu.
Bagi Anugerah Tokoh Wartawan Negara, sekiranya terdapat pemenang, satu majlis khas akan diadakan untuk menobatkan tokoh berkenaan.
Sebuah penal hakim yang terdiri daripada para ahli akademik dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi, diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Safar Hasim, dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah dibentuk untuk menilai penyertaan HKM 2012.
Penghakiman akan dibuat secara dua pusingan. Pada peringkat pertama, para penilai akan memilih lima karya terbaik. Lima karya yang layak ke pusingan pertama itu kemudian dinilai semula. Tiga peserta terbaik akan memasukki peringkat akhir dan salah seorang daripada mereka akan dipilih sebagai pemenang.
Tiga pasukan penilai berasingan telah dibentuk bagi kategori cetak dan media baharu, video dan foto. Para pemenang pula akan dipilih oleh sebuah panel pemutus.
Penyertaan tertinggi ialah bagi kategori Kewartawanan Foto Cemerlang iaitu 67 peserta; diikuti oleh Kewartawanan Esei Foto sebanyak 37 orang.
Penulisan Rencana Cemerlang pula disertai oleh 28 orang peserta manakala Berita Video Terbaik 18 peserta.
Jumlah lengkap peserta dan penyertaan yang dikemukakan bagi HKM 2012 adalah seperti berikut:
Kategori | Bilangan peserta | Bilangan karya |
Hadiah Wartawan Muda A Samad Ismail | 10 | 40 |
Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang | 15 | 45 |
Laporan Berita Cemerlang | 11 | 33 |
Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang | 12 | 36 |
Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang | 5 | 15 |
Penulisan Rencana Cemerlang | 28 | 84 |
Penulisan Komentar/Kolumnis/Kritikan Cemerlang | 9 | 27 |
Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang PETRONAS | 10 | 30 |
Kewartawanan Foto Cemerlang | 67 | 67 |
Kewartawanan Esei Foto Cemerlang | 37 | 37 |
Berita Video Terbaik | 18 | 18 |
Dokumentari Video Terbaik | 12 | 12 |
Jumlah | 234 | 444 |
1. Profesor Mohd Safar (tengah) mempengerusikan mesyuarat pertama panel hakim HKM 2012 di MPI Kuala Lumpur pada 23 Januari 2013.
2. Barisan panel hakim lain yang turut hadir pada mesyuarat itu.
3. Profesor Mohd Safar, Ketua Panel Hakim HKM 2012.