25 PESERTA TERUJA IKUTI KURSUS KEWARTAWANAN THOMSON FOUNDATION
Seramai 25 peserta dari pelbagai organisasi media, agensi kerajaan/korporat dan universiti telah menamatkan kursus Elementary Journalism and Storytelling for Journalists yang diadakan pada 7 hingga 11 Oktober 2019 di The Language House, Petaling Jaya.
Kursus lima hari anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI), Thomson Foundation dan The Language House berjaya memberi impak positif dan pengalaman yang mengujakan buat kesemua peserta yang hadir. Antara media/korporat/universiti yang hadir adalah Berita Harian, TV Alhijrah dan Universiti Sains Malaysia menghantar 3 penyertaan. Bernama dan RTM menghantar 2 penyertaan manakala New Sarawak Tribune, Suara Sarawak, Borneo Post, Harian Metro, Media Selangor, Astro AWANI, Oriental Daily News, Telaga Biru, Jabatan Penerangan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad dan MPI masing-masing menghantar seorang wakil dari institusi masing-masing.
Kursus dikendalikan dengan jayanya oleh Pengarah Pembangunan Kandungan Kumpulan JPI Media UK, Mr. Tim Robinson. Antara topik yang dikongsikan meliputi News Writing: Intro, The Golden Rules of Reporting, Story Structure: The Inverted Pyramid, Interviewing Techniques: Vox Pop, Sources and Quotations, Headline Writing dan SEO, News Writing for the Internet dan Social Media dan Reporting.
Rata-rata peserta menzahirkan kepuasan kerana dapat menyertai kursus yang pada mereka telah memberi pendedahan baharu dalam dunia kewartawanan. Para peserta menyatakan mereka turut berpuas hati dengan cara penyampaian yang dikendalikan oleh Mr. Tim Robinson yang disifatkan sebagai sangat berpengalaman dalam bidang kewartawanan.
Sesi kursus banyak menyentuh teknik penulisan berita bermula dengan penulisan ayat pendahuluan, tajuk berita dan teknik kepelbagaian format penulisan berita. Jika di Malaysia penggunaan piramid terbalik (inverted pyramid) banyak digunakan dalam penghasilan berita, namun bagi sesi kursus kali ini mereka didedahkan dengan teknik ASF iaitu Alternative Story Format atau format cerita alternatif. Teknik ini dilihat sebagai medium paling berkesan untuk penggunaan bahan berita di media sosial dan laman web.
Peserta juga begitu teruja dan bersemangat sewaktu menyertai sesi temubual ringkas bersama orang awam atau bahasa wartawannya Vox Pop. Orang awam juga memberi kerjasama yang baik ketika sesi Vox Pop berlangsung.
Beberapa peserta telah ditemubual berkenaan pengendalian kursus ini antaranya Encik Galileo Petingi Anak Donald, wartawan The Borneo Post Sarawak. Beliau menyatakan kursus ini sangat berguna bukan sahaja kepada wartawan sendiri malah kepada golongan bukan wartawan yang bekerja di bahagian sektor korporat. Beliau turut menyatakan modul program juga lengkap dan mudah difahami.
Seorang peserta korporat dari Jabatan Penerangan Malaysia juga turut memberi pandangan yang baik mengenai kursus ini. “Kursus ini sangat bagus untuk mereka yang tidak mempunyai asas kewartawanan kerana ianya merupakan perkara baharu yang sangat baik untuk dipelajari. Seperti saya di Bahagian Komunikasi Korporat JaPen, pendedahan program ini sangat membantu untuk penulisan laporan dan kenyataan media organisasi kami.” Kata Encik Dzikrullah Junus, Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia.
Bagi penceramah sendiri iaitu Mr. Tim, beliau menyifatkan peluang beliau berkongsi pengalaman dan ilmu dalam sesi kursus ini merupakan sesuatu yang positif. Beliau menyatakan para peserta turut memberi kerjasama yang baik dan kesemuanya begitu bersemangat mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang diberikan. Beliau berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan memperluaskan lagi skop modul dan latihan serta tempoh programnya dapat dipanjangkan.
Kesemua peserta turut menyatakan kesediaan untuk menyertai kursus-kursus dan program lain anjuran MPI yang sama konsepnya, jika masih diberi peluang.
Secara keseluruhannya, kursus ini dilihat suatu lonjakan baharu dalam bidang kewartawanan terutamanya pendedahan kepada penggunaan teknik carian berita melalui Google, penulisan di laman web dan media sosial serta memantapkan kemahiran penulisan berita melalui sidang media dan temubual orang awam.
Gambar-gambar sepanjang program berlangsung: