42 wartawan sertai bengkel ATIPSOM edisi ke-5 di Kuching

Bengkel Pelaporan Mengenai Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI), Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO), Kementerian Dalam Negeri Malaysia yang akan diadakan di Kuching pada 7 hingga 9  April 2015 mendapat sambutan hangat daripada pengamal media Malaysia.

Sehingga semalam seramai 42 orang wartawan, mewakili 18 organisasi media di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah mengesahkan untuk menyertai  bengkel yang diadakan bagi kali kelima sejak 2011 itu.

Borneo Post menghantar peserta tertinggi iaitu 6 orang wartawan untuk bengkel  yang dijadual dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Datuk Sri Adenan Ab. Rahman.

Peserta lain terdiri daripada 4 wartawan See Hua Daily dan 4 wartawan Bernama; Al-Hijirah Media Group dan RTM Sarawak masing-masing 3 orang. Lima organisasi media iaitu Sin Chew Daily Kuching, New Sarawak Tribune, Jabatan Penerangan Sarawak, Kosmo!, dan Utusan Borneo masing-masing menghantar 2 orang wartawan.

Tiga orang wartawan Indonesia juga akan turut mengambil bahagian dalam bengkel ATIPSOM ini. Mereka mewakili tiga media utama di Jakarta iaitu Rakyat Merdeka, Kompas TV dan Forum Keadilan.

Tekan sini untuk Program Trafficking In Persons 2015.

Tekan sini untuk Senarai Peserta Trafficking In Persons 2015.

Pelbagai topik yang secara langsung menyentuh isu-isu berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran akan diperkatakan dalam bengkel tiga hari itu.

Profesor Salleh Buang akan berbicara mengenai undang-undang dan pelaporan beretika berkaitan ATIPSOM.

Peranan agensi awam dalam menangani ATIPSOM akan diperkatakan oleh  Muhd. Khir Razman bin Mohamed Annuar dari MAPO; Deputi Supritenden A. J Michael dari Unit ATIPSOM, Ibu Pejabat Polis Persekutuan, Bukit Aman, Muhamad Iskandar Ahmad, Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara Sarawak dan Elisabeth Socolow, pegawai politik Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur.

Dua orang wartawan juga akan berkongsi pengalaman membuat liputan ATIPSOM dengan para peserta.

Mereka ialah Pengarang Kanan Perundingan dan Hal Ehwal Perundangan akhbar The Star dan Ketua Jurukamera Berita dan Ehwal Semasa TV3 Sarawak, Mohd Yazzer Mahmun.

Pengurus sebuah rumah pelindungan ATIPSOM di Sarawak, Puan Ajanis Ba-I akan menceritakan pengalaman menjaga kalangan yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Lawatan ke lapangan yang diatur oleh PDRM Sarawak dan Imigresen Sarawak ke tempat-tempat tertentu di mana penyeludupan migran dan pemerdagangan orang kerap berlaku berhampiran Kuching juga akan diadakan pada hari kedua bengkel.

Pesuruhjaya Polis Sarawak dijangka akan menutup bengkel pada 9 April dan menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya merakamkan penghargaan kepada semua pihak – awam dan swasta – serta organsiasi media dan para penceramah dalam dan luar negara yang terbabit dalam menjayakan Bengkel Pelaporan ATIPSOM kali kelima ini.

Bengkel ini pertama kali diadakan di Kuala Lumpur pada 2011; diikuti kali kedua di Kota Kinabalu pada 2012; di Kota Baharu pada 2013; di Johor Bharu pada 2014.

Penghargaan istimewa dipanjangkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur yang membiayai bengkel dan MAPO yang membantu dalam penganjuran bengkel sejak lima tahun lalu.

Beliau berharap bengkel ATIPSOM di Kuching, sama seperti empat bengkel yang diadakan sebelum ini, akan membangkitkan  kesedaran dalam kalangan pengamal media mengenai isu-isu berkait pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang berlaku di negara ini.

Chamil juga berharap media Malaysia akan terus memberi publisiti dan liputuan yang meluas mengenai ATIPSOM supaya timbul kesedaran dalam kalangan khalayak khususnya dan rakyat amnya untuk sama-sama memerangi kegiatan penyeludupan migran dan pemerdagangan orang yang dianggap sebagai penghambaan zaman moden ini.

Beliau berpuas hati kerana sejak bengkel ATIPSOM dianjurkan pada 2011, bengkel di Kuching ini mendapat sambutan hebat daripada organisasi berita dari segi penyertaan.

Beliau percaya kehadiran tiga wartawan dari Republik Indonesia akan memberi dimensi baharu mengenai isu yang sama di negara jiran itu. Hal ini kerana republik itu turut berkongsi sempadan dengan Sarawak, satu kawasan di mana penyeludupan orang kerap berlaku.

Pada bengkel yang diadakan di Johor Bahru pada 2014, lima orang wartawan Republik Singapura turut ikut serta.