54 organisasi sumbang RM417,000 untuk jayakan MWM 2015

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Dr. Chamil Wariya selaku Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2015 (MWM 2015), pada majlis penyerahan sumbangan MWM 2015 pada 13 April 2015, Hotel Pullman, Bangsar, Kuala Lumpur, jam 10.30 pagi. Pengerusi Bersama MWM 15 ialah Datuk Mustapa Omar, Setiausaha/Bendahari MPI merangkap Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad.

1. Pengenalan

Pertama-tama, bagi pihak rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir Malaysian Press Institute (MPI), saya ingin mengalu-alukan kehadiran Ybhg. Datuk-Datuk, Puan-Puan dan Tuan-Tuan ke majlis penyerahan sumbangan bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2015 (MWM 2015).

Insya-Allah majlis ini akan kita adakan pada waktu yang dekat ini. Kami di MPI merancang untuk mengadakan MWM pada bulan April ini, namun tetamu kehormat yang kita undang agak sibuk sepanjang bulan itu dan meminta majlis berkenaan diadakan Mei depan.

Kita masih menunggu tarikh sebenar daripada beliau. Dapat sahaja tarikh berkenaan, kita akan maklumkan kepada anda semua. Saya berharap Ybhg. Datuk-Datuk, Puan-Puan dan Tuan-Tuan dapat bersabar. Tidak lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia.

2. 54 organisasi sumbang RM417,000

Kedua, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, majlis tahunan anjuran MPI yang pertama kali kita adakan pada 17 September 1981, terus mendapat sokongan sahabat-sahabat korporat dan agensi-agensi kerajaan serta orang perseorangan.

Untuk tahun 2015 ini, saya sukacita melaporkan di sini bahawa 54 buah entiti yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, organisasi media, jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah menghulurkan sumbangan masing-masing.

Nilai sumbangan pula adalah berjumlah RM417,000.00. Daripada jumlah itu, 27 organisasi menyumbang RM10,000; 18 menyumbang RM6,000. Kami juga menerima sumbangan bukan penajaan meja daripada 9 organiasi, bernilai RM25,000.

Saya difahamkan pada pagi ini 72 orang, mewakili 40 buah organisasi penyumbang hadir untuk menyerahkan replika cek masing-masing sebentar lagi.

Sebahagian besar mereka adalah dari Lembah Kelang.

Tetapi seorang penyumbang iaitu Puan Siti Zaleha Ahmad Nadzim, hadir untuk menyerahkan sendiri sumbangan organisasinya – Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Sintok, nun di utara berhampiran sempadan Kedah-Thailand. Secara peribadi, saya amat tersentuh dengan komitment yang ditunjukkan oleh UUM yang memang merupakan rakan strategik akademik MPI.

Tentunya saya juga amat menghargai kehadiran 72 orang wakil 40 organisasi yang meluangkan waktu dalam kesibukan tugas mereka untuk sama-sama memeriahkan majlis ini pada pagi ini. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa baik YBhg. Datuk-Datuk, Puan-Puan dan Tuan-Tuan. Amin. Sekali lagi terima kasih atas sumbangan yang dihulurkan.

Sesungguhnya, tanpa sokongan organisasi Datuk-Datuk, Puan-Puan dan Tuan-Tuan, saya percaya, Malam Wartawan Malaysia, acara tahunan yang kita anjurkan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas sejak 34 tahun yang lalu, tanpa henti, tidak akan menjadi kenyataan.

Saya percaya, komuniti wartawan negara ini amat-amat menghargai sokongan dan dokongan yang anda panjangkan kepada MPI ini. Anda adalah ibarat lampu suluh yang menerangi dunia kami.

3. Penyokong tegar Malam Wartawan Malaysia

Apa yang lebih membanggakan saya dan rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir yang lain ialah ada antara organisasi korporat dan bukan korporat itu secara konsisten tanpa gagal tampil untuk menghulurkan sumbangan masing-masing setiap kali MPI mengedarkan surat untuk memohon sumbangan.

Berdasarkan rekod MPI sebahagian besar entiti korporat yang hadir pada pagi ini telah menyumbang untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia, secara berterusan sejak lebih lima tahun lalu.

Selain itu, untuk MWM 2015, kita juga menerima sumbangan daripada lima organisasi yang pertama kali tampil untuk menyampaikan penajaan masing- masing.

Tentulah kita mengharapkan, penyumbang tegar dan penyumbang baharu yang menyokong program teras MPI ini akan meneruskan dokongan mereka pada masa-masa akan datang.

4. Terima kasih Petronas dan teruskan penajaan

Selain sumbangan yang anda berikan untuk membiayai penganjuran Malam Wartawan Malaysia setiap kali ia diadakan, MPI juga ingin merakamkan penghargaan kepada syarikat minyak negara, Petronas, yang merupakan penaja hadiah yang disampaikan kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia sejak 1994. Ini bermakna penajaan Petronas ini sudah berusia 20 tahun. Kontrak penajaan selama lima tahun Petronas itu berakhir untuk HKM 2014.

Kami di MPI telah memohon agar Petronas terus menaja hadiah yang bernilai RM300,000 setahun untuk HKM pada awal tahun lalu. Petronas kini dalam proses membuat keputusan dan berdasarkan perbincangan terakhir MPI dengan pihak Petronas pada Februari 2015, insya-Allah penajaan itu berkemungkinan dilanjutkan.

Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak Petronas untuk membuat keputusan, walaupun ia memerlukan sedikit masa untuk berbuat demikian. Kita di MPI faham dengan perkara itu memandangkan Petronas baharu sahaja mengalami perubahan kepimpinan pada peringkat tertinggi pada 1 April 2015 lalu. Tetapi saya percaya Petronas akan membuat keputusan yang tidak menghampakan komuniti wartawan negara kerana dengan menaja HKM MPI Petronas, ia sebenarnya memupuk pemantapan budaya kecemerlangan dalam bidang kewartawanan dalam melahirkan penulisan yang berkualiti tinggi. Lebih daripada itu, saya percaya, Petronas tidak akan menggantung tanpa tali akan penajaan HKM begitu sahaja bagi tempoh yang lebih lama.

5. Penyertaan HKM 2014

Seperti yang anda sedia maklum, Malam Wartawan Malaysia 2015 ini diadakan untuk mengiktiraf karya-karya terbaik dalam bidang kewartawanan yang dijelmakan melalui Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas edisi 2014. HKM ini sudah berusia 34 tahun dan dalam tempoh itu ratusan wartawan yang telah menghasilkan karya-karya yang cemerlang sudah mendapat pengiktirafan setiap tahun.

Sukacita saya laporkan pada pagi ini bahawa penyertaan untuk HKM 2014 adalah yang tertinggi dalam tempoh empat tahun lalu apabila HKM ditukar kepada format sedia ada iaitu penawaran 15 kategori penyertaan dan hadiah wang tunai yang lebih lumayan itu RM15,000 bagi setiap kategori.

Pada HKM 2011, 198 orang wartawan menyertainya. Bagi HKM 2014, 412 orang wartawan telah mengemukakan penyertaan masing-masing. Penyertaan ini adalah pertumbuhan sebanyak 214 peserta atau 51.9 peratus. Peningkatan ini dicatatkan secara konsisten, tahun demi tahun mulai 2011.

Misalnya penyertaan bagi HKM 2012, 255 wartawan ikut serta manakala bagi HKM 2013, 284 orang wartawan telah mengambil bahagian.

Serentak dengan pertambahan peserta, bilangan artikel yang dikemukakan untuk dinilai juga meningkat. Pada 2011, kita menerima 509 artikel untuk dinilai. Jumlah itu bertambah kepada 895 pada 2014. Bilangan artikel melebihi bilangan peserta kerana ada kategori tertentu mewajibkan mereka menghantar sehingga empat atau lima artikel sebagai bukti mereka konsisten berkarya bagi tahun yang dinilai.

HKM 2011 – 2014, Bilangan peserta dan artikel

Tahun Bilangan wartawan Bilangan artikel
2011 198 509
2012 255 597
2013 284 552
2014 412 895

Sumber: Buku program Malam Wartawan Malaysia, 2011 -2014.

Berdasarkan angka-angka itu adalah jelas bahawa minat dalam kalangan wartawan untuk mengemukakan karya masing-masing bagi diadili, meningkat dengan ketaranya.

Tersirat di sebalik peningkatan angka-angka antara 2011 hingga 2014 adalah hakikat bahawa HKM diakui menjadi buruan mereka yang ingin menempah nama dalam dunia kewartawanan. Mememangi HKM memberi kelainan kepada mereka, barangkali dari segi kerjaya dan mungkin juga status.

Mereka yang menyertai HKM tahu bahawa memenangi HKM bukan mudah kerana bagi setiap kategori hanya ada satu pemenang. Persaingannya adalah kompetatif. Saya percaya persaingan sihat itulah yang merangsangkan mereka untuk menghasilkan pelbagai produk kewartawanan bermutu tinggi. Persaingan itu nampaknya tidak menakutkan mereka untuk ikut serta dalam pertandingan ini.

Apa yang lebih membanggakan ialah pememang dan kalangan yang tewas menerima keputusan dengan hati terbuka. Barangkali kerana mereka tahu bahawa karya-karya yang mereka kemukakan telah dinilai oleh satu pasukan hakim yang berwibawa, terdiri daripada para wartawan veteran berpengalaman dan ahli-ahli akademik yang kelayakan mereka tidak diragui.

Malah dalam kalangan ahli akademik itu, ada yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan, sebelum menyertai dunia akademia. Ertinya, mereka mempunyai pengalaman dalam bidang penulisan untuk membolehkan mereka menilai karya-karya yang dianggap kaca dan karya-karya yang dianggap intan dan permata.

Hakikat bahawa sesetengah organisasi berita menjadikan kemenangan HKM yang dianggap berprestij itu sebagai salah satu KPI jabatan editorial, dengan jelas menggambarkan bahawa HKM yang memasuki usia 34 tahun bukanlah satu anugerah iseng-isengan lagi.

Saya percaya matlamat para perintis HKM memperkenalkan hadiah itu lebih tiga dekad lalu, telah dicapai. Wartawan hari ini sepatutnya berterima kasih dengan peneraju berwawasan MPI terdahulu kerana telah mewujudkan satu hadiah yang berupaya bertahan hingga ke hari ini.

Malah HKM adalah satu-satunya hadiah kewartawanan yang secara berterusan diadakan setiap tahun sejak ia dilancarkan pada 1980 dan kehadirannya senantiasa dinanti-nantikan.

6. Penutup

Akhir sekali saya mewakili barisan kepimpinan MPI yang ada bersama-sama saya di atas pentas pada pagi ini ingin merakamkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2015. Percayalah, sumbangan ikhlas yang anda berikan selama ini untuk mengiktiraf kecemerlangan dunia kewartawanan adalah ibarat baja untuk menegapkan sebuah pokok supaya terus menghasilkan buah-buah yang ranum untuk dinikmati oleh kita semua. Terima kasih.