Perjalanan baharu MPI di Cyberjaya bermula
Perjalanan baharu MPI di Cyberjaya bermula
Ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis penyerahan kunci pejabat MPI di Radius Business Park Cyberjaya oleh Emkay Group pada jam 11 pagi, 8 November 2017. Majlis berlangsung di Cyberview Lodge Resort, Cyberjaya.
Hari ini – 8 November 2017 – satu lagi pancang tanda atau milestone tercatat dalam sejarah Malaysian Press Institute (MPI). Sebentar lagi, MPI akan menerima kunci bagi dua unit pejabat yang dibeli daripada Kumpulan Emkay pada 25 November 2016 di Radius Business Park di Cyberjaya ini.
Harga pasaran bagi dua unit tersebut ialah RM1.837 juta, tetapi kita berterima kasih kepada Kumpulan Emkay, terutamanya kepada pemiliknya, Tan Sri Mustapa Kamal kerana memberi diskaun istimewa bagi pembelian MPI ini iaitu sebanyak 17 peratus, menjadikan harga yang dibayar oleh MPI ialah RM1.55 juta. Alhamdulillah bayaran terakhir sebanyak RM91,875.59 telahpun kita jelaskan secara tunai minggu lalu.
Insya-Allah MPI akan memulakan operasinya di premis baharunya pada Januari tahun depan. Kita memerlukan sebulan dua, selepas menerima kunci, untuk melakukan kerja ubah suai bagi menempatkan sebuah pusat latihan di satu unit, manakala satu lagi unit akan dijadikan ofis sekretariat MPI.
Pembelian ini diputuskan sebulat suara oleh Lembaga Pemenang Amanah MPI, yang bertanggungjawab terhadap harta dan hal ehwal kewangan Institut, dan juga Majlis Pentadbir MPI, yang bertanggungjawab terhadap kegiatan-kegiatan MPI pada mesyuarat bersama bertarikh 19 Ogos 2016.
Dengan pembelian ini bermakna MPI mulai hari ini memiliki kediaman kekalnya sendiri. Kerana pembelian ini kita lakukan tanpa sebarang pinjaman, kita bebas daripada bayaran bulanan. Dan dengan itu tumpuan boleh diberikan sepenuhnya untuk membangunkan MPI menjadi sebuah pusat latihan kewartawanan yang ulung untuk para pengamal media di negara ini tanpa risau atau rungsing yang kita akan diminta keluar oleh pemiliknya kalau bangunan itu kita sewa.
Memanglah staf MPI amat sedih kerana terpaksa meninggalkan pejabat yang sedia ada di Jalan Bukit Ledang, Kuala Lumpur, yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Tetapi apakan daya, kuarters kerajaan yang kami diami sejak 2009 telah dijual oleh kerajaan, bersama-sama dengan lapan kuarters yang lain di kawasan tersebut pada harga RM290 juta kepada sebuah syarikat pemaju. Kami telah menerima surat notis untuk keluar daripada premis tersebut secara rasmi pada Mac tahun ini, tetapi bayangan bahawa kami perlu berpindah diberikan pertengahan tahun lalu. Pemakluman itu memberi MPI waktu yang cukup untuk mencari “rumah” baharu.
Mengapa Cyberjaya dan Radius Business Park Cyberjaya khususnya menjadi pilihan dan bukannya kawasan-kawasan lain di Kuala Lumpur?
Dua faktor mempengaruhi pembelian yang diputuskan oleh Lembaga Pemenang Amanah dan Majlis Pentadbir pada mesyuaratnya.
Pertama, kemampuan kewangan MPI itu sendiri yang memang pada waktu itu mempunyai dana khas sebanyak RM1.3 juta untuk mendapatkan satu keluasan pejabat yang agak selesa untuk beroperasi. Untuk makluman, MPI adalah sebuah yayasan yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat yang tidak bertujuan untuk mencari keuntungan yang sebahagian kegiatannya dibiayai oleh geran kerajaan sebanyak RM200,000 yang disalurkan melalui Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Tentulah dengan adanya wang sebanyak itu, yang kita kumpulkan sejak bertahun lamanya, berikutan kesukaran MPI mencari tempat yang sesuai bagi dibeli untuk dijadikan pejabat digunakan untuk menampung pembelian.
Kedua Cyberjaya menjadi pilihan kerana menurut Pemegang Amanah dan Majlis Pentabir “is a good address” untuk menjenamakan masa depan MPI sebagai sebuah pusat latihan yang mengikuti perkembangan semasa teknologi – digital, konvergen, multimedia, atas talian. Cyberjaya, berstatus MSC difikirkan adalah tempat yang sesuai.
Dalam keadaan tercari-cari itu, Radius Business Park Cyberjaya, ruang pejabat yang terletak atas sebidang tanah 5.89 ekar adalah paling tepat untuk dijadikan kediaman MPI. Konsep pembinaan Radius Cyberjaya yang kontemporari dengan karektor uniknya yang tersendiri, agak menggoda. Kita akan tengok nanti apabila kita semua ke sana selepas majlis penyerahan kunci. Selain itu, Radius Cyberjaya ini juga mudah diakses melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), North South Central Link atau ELITE Highway, South Klang Valley Expressway (SKVE) dan MEX Highway.
Radius Cyberjaya ini juga sesuai dengan MPI sebagai sebuah institusi latihan kerana berhampiran dengannya terletak Universiti Islam Malaysia dan juga Cyberjaya University of Medical Sciences. Jika perlu, MPI boleh menggunakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di kedua-dua institusi untuk pelbagai program latihan yang akan kita adakan.
Apa yang membanggakan saya, penyerahan kunci pada hari ini dilakukan sendiri oleh anak Tan Sri Mustapa Kamal, Dato’ Hajah Fazwina. Terima kasih Dato’ atas kesudian hadir dan sampaikan salam takzim kami di MPI kepada YBhg Tan Sri. Saya percaya kalau kesihatan mengizinkan, YBhg Tan Sri sendiri akan menyerahkan kunci tersebut – dan mungkin menawarkan kami lebih banyak diskaun. Kalau bukan untuk pembelian ini, mungkin pembelian-pembelian lain pada masa akan datang.
Saya difahamkan, Kumpulan Emkay juga akan memajukan rumah mampu milik pada harga RM250,000 hingga RM300,000 dan juga rumah berkembar pada harga RM700,000 ke atas. Mungkin kepada para wartawan yang berminat untuk membelinya, MPI boleh menjadi agen dan Kumpulan Emkay boleh menawarkan diskaun tambahan kepada diskaun yang ditawarkan kepada umum. Secara peribadi, saya mengalu-alukan kalangan wartawan yang ingin menjadikan Cyberjaya sebagai tempat tinggal mereka untuk menambah penduduk kawasan ini yang pada waktu ini berjumlah lebih 100,000 orang.
Saya juga berbangga kerana majlis penyerahan kunci ini disaksikan oleh Lembaga Pemegang Amanah MPI dan juga Ahli Majlis Pentadbirnya, para pengarang kanan dan boleh dikatakan setiap wakil media di Putrajaya juga ada bersama-sama untuk memeriahkan majlis ini.
Terima kasih semua kerana sokongan yang diberikan kepada MPI selama ini membolehkan MPI bertahan sampai sekarang. Dan insya-Allah akan terus berkembang pada masa-masa akan datang. Tanpa dokongan para pengarang dan komuniti kewartawanan Malaysia, MPI tidak akan dapat bernyawa sampai ke hari ini.
Dikeluarkan pada : 8 November 2017, Cyberjaya.