9 pengamal media gilap kemahiran kewartawanan dengan orang kuat media
Malaysian Press Institute (MPI) telah mengadakan Kursus Pemberitaan Luar Daerah/Kursus Kewartawanan untuk Pemberita Luar Daerah pada 25 – 27 Jun 2024 bertempat di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya. Kursus ini telah menarik minat 9 orang peserta yang terdiri daripada wartawan dari BERNAMA, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP Media), Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Harian Metro serta 3 orang pegawai media dari JAPEN.
Kursus tiga hari ini telah disempurnakan oleh penceramah terulung juga merupakan editor kanan di organisasi media suatu ketika dahulu iaitu Datuk Yong Soo Heong, Datuk Mokhtar Hussain dan Datuk A. Kadir Jasin manakala En Ainol Amriz Ismail dan Encik Gobind Nair pula merupakan editor yang masih berkhidmat di media masing-masing.
Sesi pada hari pertama dimulakan oleh Datuk Yong Soo Heong menyampaikan tajuk Kerjaya Sebagai Wartawan & Ciri-Ciri Wartawan Unggul. Pada sebelah petang pula beliau menyampaikan tajuk Menghasilkan Karya Yang Memenangi Anugerah di mana peserta diberi latihan penulisan untuk memperbaiki kemahiran mereka.
Antara topik yang ditekankan dalam sesi beliau adalah aspek-aspek penting dalam membina kerjaya sebagai seorang wartawan profesional. Sepanjang sesi berlangsung, peserta berpeluang berinteraksi dengan penceramah melalui sesi soal jawab. Para peserta juga diberi peluang mengadakan sesi sidang media untuk menghasilkan penulisan berita yang lebih komprehensif dan berkesan.
Sesi pada hari kedua disambung oleh Datuk Mokhtar Hussain dengan tajuk Penulisan Berita dan Rencana. Beliau dibantu oleh Encik Gobind Nair, yang merupakan Editor Projek Khas di BERNAMA. Gabungan dua penceramah ini telah menjadikan sesi lebih menarik kerana peserta telah diberi peluang untuk menjalankan latihan penulisan berita dan rencana di bawah bimbingan kedua-dua penceramah ini. Latihan ini bertujuan untuk memantapkan lagi kemahiran penulisan para peserta serta memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari ke dalam praktikal. Turut diselit dalam sesi tersebut adalah topik berkaitan etika kewartawanan yang wajib diamalkan oleh setiap pengamal media.
Lebih menarik lagi penampilan khas oleh Datuk A. Kadir Jasin yang merupakan Tokoh Wartawan Negara untuk berkongsi pengalaman beliau sebagai wartawan sempena mengingati ulang tahun menceburi bidang kewartawanan selama 55 tahun. Topik yang bertajuk Pendirian Moral Dalam Kewartawanan telah menjadikan sesi lebih interaktif kerana para peserta bebas bertanyakan soalan dan dijawab dengan baik oleh beliau.
Hasil penulisan berita dan rencana yang dipelajari pada hari pertama dan kedua telah diaplikasi oleh para peserta pada hari ketiga. Kemuncak kursus bersama Encik Ainol Amriz Ismail, berpengalaman luas dalam bidang MoJo turut berkongsi teknik penulisan papan cerita (storyboard) dengan menggunakan telefon pintar dan rakaman video, serta bagaimana teknologi ini boleh dimanfaatkan dalam kewartawanan moden.
Para peserta diberi latihan mengambil video dan memuat turun hasil kerja mereka untuk sesi semakan dan perbincangan. Selain itu, Encik Ainol turut memperkenalkan penggunaan alatan kecerdasan buatan atau AI melalui sesi Pengenalan Kepada AI Intelligent 101. Para peserta menunjukkan minat yang tinggi dan aktif melibatkan diri dalam aktiviti yang menggunakan alatan AI ini, yang semakin banyak digunakan dalam penghasilan tugasan organisasi.
Kursus diakhiri dengan majlis penyampaian sijil oleh Datuk Mustapa Omar, Ketua Pegawai Eksekutif MPI kepada para peserta. Sesi ini menandakan penutup rasmi kepada kursus yang berjaya ini, yang telah memberikan ilmu dan pengalaman baru yang sangat berharga kepada semua peserta. Para peserta diharap dapat memanfaatkan segala ilmu dan pendekatan teknologi terbaharu yang dipelajari ini agar boleh diaplikasikan dalam tugasan harian mereka kelak.
RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR