Zamalah wartawan Muda 1Malaysia bukan sekadar membimbing

Oleh Zaain Zin

Wartawan Utusan Malaysia/Peserta Terbaik Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2012.

WARTAWAN ialah orang yang menulis berita atau rencana untuk surat khabar atau majalah.

Jika diselak-selak Kamus Dewan edisi mana sekali pun, baik pertama, kedua, ketiga atau keempat, itulah takrifan yang diberikan kepada individu bergelar wartawan.

Sekali imbas, takrifan ringkas sebegitu menggambarkan tugas wartawan nampak remeh. Pendek kata, sesiapapun boleh mengisi jawatan itu jika boleh menulis.

Sedangkan hakikatnya, menjadi seorang wartawan tidak semudah yang disangkakan.

Seperti kata Ketua Pengarang Berita akhbar The Star, T. Selva; “Tugas sebagai wartawan memerlukan keazaman dan kesungguhan, berani menanggung risiko serta mampu berfikir di luar kotak.

“Dan paling penting, minat mendalam kerana apa sahaja alasan anda menyertai dunia kewartawanan, jika tidak mempunyai minat, lebih baik cari kerja lain.” katanya.

Nasihat itu dilontarkan beliau ketika mengendalikan kuliah pada program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia yang berlangsung di sekitar Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Berlangsung selama dua minggu bermula 13 Februari, program anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) tersebut menghimpunkan 22 wartawan daripada pelbagai organisasi media yang bukan sahaja muda dari segi usia, bahkan masih mentah dalam dunia kewartawanan.

Menerusi program itu, kumpulan berkenaan dibimbing dan diasah kemahiran kewartawanan supaya mereka bukan sahaja menjadi wartawan yang hebat, malah berupaya memimpin organisasi media yang ada di negara ini pada masa depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya, Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia diadakan bertujuan meningkatkan pengetahuan kenegaraan dalam kalangan wartawan baru, mempertajamkan kemahiran kewartawanan mereka serta memupuk semangat setiakawan dalam kalangan kumpulan berkenaan.

“Sekiranya peserta mengambil sikap yang positif dan terbuka terhadap apa yang diajar sepanjang dua minggu mengikuti program ini, sesungguhnya banyak yang dapat mereka pelajari,” katanya.

Modul yang terkandung dalam program itu mengandungi tiga aspek utama iaitu kuliah, perbincangan dan latihan praktikal.

Nampak ringkas namun, amat berguna kepada peserta yang baru hendak berjinak-jinak dengan bidang kewartawanan.

Ini kerana setiap aspek dikupas secara mendalam oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada nama-nama besar dalam organisasi media tempatan serta penceramah jemputan daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Mereka ialah Editor Eksekutif The Sun Media Group, Zainon Ahmad; Penasihat Blog House Malaysia, Datuk Ahirudin Attan; Timbalan Pengarah Berita dan Ehwal Semasa Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Abdul Muis Shefiee dan Pengasas Napoleon Hills Associates Kuala Lumpur, Christina Chia.

Turut terlibat Pengarang berita Khas Utusan Malaysia, Ramli Abdul Karim; Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir; Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Shamrahayu A. Aziz dan Kolumnis ‘Land Matters’ di New Straits Times, Profesor Salleh Buang.

Antara topik yang dikongsi barisan tenaga pengajar tersebut termasuklah senario semasa media, pengendalian akhbar, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang di negara ini serta etika kewartawanan.

Turut disentuh adalah kemahiran berkomunikasi, teknik mengendalikan temuramah dan berhadapan dengan sidang media serta teknik penulisan laporan berbentuk berita, rencana dan penyiasatan.

Memetik kata Zainon Ahmad atau lebih mesra disapa Pak Non: “Meskipun tidak dapat mengumpul harta, seorang wartawan masih boleh berbangga dengan diri sendiri kerana profesion itu menjadikan dia seorang individu yang kaya pengalaman dan ilmu pengetahuan.”

Kata-kata beliau tidak dapat disangkal kebenarannya.

Malah, sejarah sendiri membuktikan betapa seorang wartawan mempunyai peranan cukup besar dalam membentuk sesebuah kerajaan kerana mampu mempengaruhi minda masyarakat menerusi tulisan atau laporannya.

Menariknya tentang Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia, pembelajaran tidak terhad di bilik kuliah sahaja apabila peserta diberi peluang turun padang dan bertemu sendiri dengan beberapa pemimpin kanan kerajaan negeri Sarawak.

Antaranya sesi dialog bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar untuk mendalami bagaimana supremasi dan penghambaan dalam demokrasi membentuk serta mencorak Parlimen Malaysia.

Pertemuan dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani pula membantu para peserta mengenali dengan lebih dekat peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memagari kedaulatan undang-undang.

Selain itu, peserta program turut berpeluang berdialog dengan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Negeri Sarawak, Fedrick Jihn George dan Timbalan Setiausaha Bahagian PQ Kementerian Dalam Negeri, Mohd. Razif Mahmood.

Menjelang hari-hari terakhir program pula, lokasi pembelajaran yang sebelum ini berlatar belakang bandar raya Kuching berubah landskap apabila peserta dibawa menginap di Damai Beach Resort yang terletak berhampiran kaki gunung Santubong.

Suasana baru itu menjadikan mood program berubah menjadi lebih santai lebih-lebih lagi apabila bekas wartawan foto Reuters, Zainal Abdul Halim mengambil alih bilik kuliah untuk berkongsi pengalaman sekali gus mencurahkan ilmu fotografi beliau.

Sementara itu, paling kuat melekat di ingatan peserta sudah pasti peluang menjelajah segenap pelosok Kampung Budaya Sarawak (SCV) sambil menunjukkan bakat masing-masing dalam bidang fotografi sebelum dinilai satu persatu oleh Zainal.

Setelah 14 hari peserta berkampung di Kuching, tirai Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia akhirnya ditutup tanggal 25 Februari 2012. Hadir menyempurnakan majlis penutupan itu ialah Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Resat Salleh.

Di atas kertas, program itu sememangnya dilihat berjaya membimbing dan memperkasa kemahiran peserta.

Malah ia dianggap menjadi platform berguna kepada wartawan muda bagi menyelami pelbagai aspek dunia kewartawanan di samping membantu mereka membuat persediaan rapi untuk berhadapan dengan cabarannya.

Bagi penulis yang turut menyertai program tersebut pula, impaknya bagaimanapun bukan sekadar terhadap profesionalisme kewartawanan.

Ia sebenarnya turut menjadi jambatan silaturahim sesama kami termasuk barisan tenaga pengajar dan penganjur sebagaimana perkataan ‘Zamalah’ itu sendiri yang membawa maksud persahabatan.

-TAMAT-