Kursus
Asah kemahiran menulis dengan memperbanyak bacaan buku ilmiah

Asah kemahiran menulis dengan memperbanyak bacaan buku ilmiah

Bengkel Penulisan Rencana dan Naratif Berkesan menjadi kursus kedua anjuran MPI secara atas talian melalui aplikasi Google Meet/Classroom dengan kehadiran seramai 37 orang peserta. Bengkel ini dilaksanakan di Pusat Latihan MPI di Cyberjaya.

Bengkel dua hari yang bermula dari 2 hingga 3 Mac 2021 menyaksikan penceramah hebat, Dr Jeniri Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dengan penuh semangat berjaya memukau semua peserta untuk terus setia menyertai bengkel tersebut dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Daripada 37 peserta yang mengikuti bengkel ini, 20 peserta adalah dari Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), 10 orang peserta dari PETRONAS, empat (4) peserta dari Natural Resources and Environment Board Sarawak (NREB), dua (2) peserta dari Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur dan seorang peserta dari International Conference and Exhibition Professionals (ICEP).

Rata-rata peserta begitu bersemangat mengikuti bengkel walaupun ianya diadakan tanpa bersemuka secara fizikal. Penceramah juga menggunakan pendekatan teknik penceritaan yang membuatkan semua peserta tekun mendengar perkongsian beliau.

Pada hari pertama semua peserta didedahkan dengan kemahiran menghasilkan penulisan yang baik melalui pembacaan buku-buku ilmiah. Dr Jeniri Amir turut menekankan untuk mencipta satu karya rencana yang mempunyai jiwa, seorang penulis itu perlu melazimi pembacaan sekerap mungkin buku-buku ilmiah, tidak terkecuali bahan berita serta rencana di suratkhabar atau portal.

Penekanan kepada aspek pembacaan buku ilmiah menjadi antara elemen terpenting dalam menghasilkan rencana yang bermutu dan berimpak tinggi.

Selain itu, peserta turut diberikan pendedahan berkenaan penggunaan sumber retorik, anekdot dan logos. Penceramah juga menerangkan jenis-jenis rencana dengan memberikan contoh-contoh melalui penceritaan pengalaman beliau sendiri serta keadaan semasa negara.

Hari kedua pula penceramah mengimbas kembali pelajaran pada hari pertama dengan memberikan latihan kepada semua peserta untuk menguji sejauh mana kefahaman para peserta. Para peserta begitu bersemangat menyelesaikan tugasan yang diberikan dan memberi respon yang baik pada sesi huraian jawapan.

Di akhir bengkel, peserta menyatakan mereka menantikan bengkel dan kursus seumpama ini lagi pada masa akan datang.

“Penceramah hebat! Perkongsian yang diberikan sangat berkesan dan topik yang disampaikan juga begitu berkesan.” ujar peserta dari JAPEN Sarawak, Puan Freda.

Encik Edmund Macmiller dari NREB turut berkongsi maklumbalas beliau dengan menyatakan bengkel ini sangat berinformatif walaupun dijalankan atas talian.

Rata-rata peserta mengharapkan bengkel ini dapat diadakan secara bersemuka pada masa akan datang untuk mendapatkan pembelajaran lebih kondusif serta penyampaian ceramah yang berkesan.

Para peserta menyatakan keterujaan mereka mengenai bengkel anjuran MPI ini dan berharap ianya dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR

1. Sesi bengkel pada hari pertama.
2. Penceramah menerangkan konten bengkel melalui slide yang dikongsi di Google Meet.
3. Peserta menonton video melalui Youtube yang dikongsi di Google Meet.
4. Dr. Jeniri Amir menunjukkan buku tulisan beliau kepada peserta yang boleh dijadikan rujukan.
5. Sebahagian daripada 37 peserta yang menyertai bengkel melalui Google Meet.