Memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar RWB – Azam TPM

Oleh Chamil Wariya

Dalam Press Freedom Index (PFI) atau Indeks Kebebasan Akhbar yang dikeluarkan setahun sekali oleh badan yang bernama Reporters Without Borders (RWB) yang berpangkalan di Paris, Perancis, kedudukan Malaysia, apabila dibandingkan dengan 180 negara yang dinilai, berada pada tahap memuaskan yang sederhana.

Penilaian yang dilakukan oleh indeks tersebut mengkategorikan kebebasan media kepada dua ekstrim – paling bebas dan kurang bebas. Dari segi penarafan, status negara ini berada di tengah-tengah, iaitu tidak terlalu bebas dan tidak pula terlalu terkongkong.

Misalnya dalam PFI 2017, Malaysia ditempatkan pada kedudukan 144, berbanding 146 pada 2016, 147 pada 2015 dan 2014, 145 pada 2013, 122 pada 2012, 141 pada 2011/10. Lihat jadual 1 untuk prestasi Malaysia dalam PFI antara 2002 hingga 2017.

Jadual 1: Kedudukan Malaysia dalam PFI, 2002-2017

Tahun Kedudukan % Penilaian Berasaskan 8 indikator
2017 144 46.89
2016 146 46.57
2015 147 43.29
2014 147 42.73
2013 145 42.73
2012 122 56.00
2010 141 50.75
2009 131 44.25
2008 132 39.50
2007 124 41.00
2006 92 22.25
2005 113 33.00
2004 122 39.83
2003 104 32.00
2002 110 37.83

Sumber: Reporters Without Border Reports, 2002-2017, Wikipedia

Malah apabila dilihat markah penilaian keseluruhan yang dibuat oleh RWB, berdasarkan 8 kayu ukur yang digunakannya, sebenarnya terdapat kemajuan yang membanggakan terhadap kebebasan media di negara ini antara 2002 hingga 2017 khususnya Antara 2010 hingga sekarang.

Markah paling rendah yang pernah kita terima ialah 22.25 peratus pada 2006 dan yang paling tinggi pula ialah pada 2011 iaitu 56 peratus. Bagi 2017, markah penilain yang diberi kepada Malaysia ialah 46.89 peratus.

Jadi bukan mustahil untuk Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam indeks tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, nampaknya berazam untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking RWB .

Beliau bukan sahaja menzahirkan perasaan tidak berpuas hati dengan kedudukan Malaysia yang menurut beliau tidak banyak berubah sejak indeks itu pertama kali diperkenalkan pada 2002 tetapi mula mengorak langkah untuk memperbaikinya.

Pada satu majlis makan tengah hari bersama editor-editor kanan media serta para pemegang permit pelbagai penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 minggu lalu beliau menjanjikan tiga langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia itu.

Pertama, pihaknya akan membuat engagement dengan RWB dengan tujuan untuk menjelaskan keadaan sebenar kebebasan media yang dinikmati oleh golongan wartawan dan khalayak mereka di Malaysia.

Dengan itu dalam membuat penilaian tahunannya, RWB akan mendapat gambaran yang seimbang mengenai kebebasan media di Malaysia dan ia tidak hanya bergantung kepada maklum balas sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media yang ada kalanya bersikap anti-kerajaan.

Maklum balas sebelah pihak tersebut selama ini dipercayai mendorong kepada penilaian rendah RWB terhadap kebebasan media di negara ini.

Kedua, beliau juga mengumumkan untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan memansuhkan mana-mana elemen yang dianggap mengongkong atau restrictive  dalam akta tersebut setelah mengadakan rundingan dengan para pengamal media.

Ketiga, dalam upaya  untuk membebaskan industri berita/kewartawanan daripada kawalan kerajaan beliau memperbaharui janji yang telah dinyatakan beberapa kali oleh kerajaan sebelum ini, tetapi sampai sekarang belum menjadi kenyataan, untuk mewujudkan mekanisme kawalan kendiri (self-regulatory) kebebasan media melalui penubuhan Majlis Media Malaysia.

Tentunya oleh kerana janji Zahid itu dibuat tatkala Pilihan Raya Umum ke-14 makin hampir, maka terdengar ulasan bahawa tiga langkah yang dinyatakan adalah satu gimik politik untuk meraih undi dalam kalangan pengamal media di negara ini; bahawa kerajaan yang komited untuk mentransformasi industri kewartawanan dalam perjalananan kita menjadi sebuah negara maju berpaksikan Revolusi Industri 4.0, bukanlah berminat untuk mewujudkan iklim kebebasan media yang lebih baik.

Tapi nanti dulu. Jangan buat kesimpulan yang bukan-bukan. Sebenarnya tanggapan negatif terhadap kenyataan Zahid itu, jika ada, adalah tidak tepat sama sekali. Berdasarkan nada ucapan beliau, Zahid sesungguhnya serius dalam mengotakan apa-apa juga janji yang dibuat. Tambahan pula beliau memang terkenal sebagai seorang pemimpin yang senantiasa berpegang pada janji.

Rekod perkhidmatan beliau membuktikan hakikat tersebut. Misalnya beliau berjanji untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Orang, Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak lama selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga bertanggungjawab terhadap Kementerian Dalam Negeri.

Pada satu waktu, untuk tempoh yang agak lama, kita berada pada tahap 3 dalam laporan tersebut. Berikutan kesungguhan dan kerja keras beliau sekarang kita berada pada tahap 2 dan KPI yang ditetapkan oleh Zahid untuk kementeriannya adalah untuk meletakkan Malaysia pada tahap 1.

Dalam memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar RWB ini juga Zahid tentunya akan memperlihatkan kesungguhan yang sama.Beliau tidak akan omong kosong. Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengeluarkan permit penerbitan dan garis panduan yang perlu diikuti oleh akhbar, majalah, jurnal berkala, beliau tahu apa yang perlu dilakukan.

Beliau nampaknya mengambil pendirian yang berbeza dengan para penyandang jawatan di kementerian tersebut sebelum ini yang tidak ambil kisah langsung dengan kedudukan kita dalam indeks kebebasan media dunia itu.

Justeru, tidak ada usaha yang mereka lakukan untuk memperbaiki penarafan Malaysia dalam indeks yang diterbitkan setiap tahun.

Pada hal peniliaian RWB dalam menentukan kedudukan kebebasan media di sesebuah negara diasaskan kepada sebilangan petunjuk yang jelas dan pelbagai pihak – NGO, organisasi serta pemilik media, para wartawan, aktivis kewartawan dan pihak berkuasa boleh memainkan peranan. Antara indikator utama RWB dalam menilai kekebasan media sesebuah negara adalah:

  • Pluralisme atau kepelbagaian media yang terdapat di sesebuah negara
  • Kebebasan media – bukan sahaja daripada kongkongan kerajaan, tetapi pemilik dan kepentingan perniagaan
  • Kerangka undang-undang meliputi: hukuman-hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengamal; monopoli negara terhadap media tertentu; bagaimana media dikawal selia dan tahap kebebasan media awam
  • Ketelusan dalam penerbitan berita
  • Infrastruktur industri media
  • Halangan terhadap pengaliran bebas dalam alam maya
  • Keganasan terhadap para wartawan, netizen dan pembantu-pembantu media

Berdasarkan senarai petunjuk RWB tersebut, Zahid nampaknya ingin memfokuskan usaha memperbaiki penarafan kebebasan media menggunakan kuasa yang ada padanya bagi menyediakan kerangka perundangan berkaitan media yang tidak lagi membelenggu pengamalnya.

Justeru dibayangkan bahawa pindaan-pindaan yang dicadangkan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan menamatkan segala bentuk kongkongan terhadap media.

Di sini, Zahid mungkin boleh meniru negara-negara maju yang tidak mewajibkan permit KDN untuk menerbitkan akhbar dan majalah.

Cukup sekadar pihak yang ingin berbuat demikian mendaftarkan syarikat perniagaan masing-masing dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Biarlah hidup mati sesuatu penerbitan ditentukan oleh pasaran, bukan tangan ghaib kerajaan.

Sekiranya penerbitan yang dikendalikan melakukan kesalahan, undang-undang seperti Akta Fitnah 1957, Akta Anti Berita Tidak Benar yang sedang dalam proses penggubalan serta pelbagai akta lain termasuk Kanun Keseksaan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan boleh digunakan untuk mengheret mereka ke muka pengadilan dan menghukum mereka.

Selain itu, penubuhan Majlis Media Malaysia, atau apa-apa juga nama yang diberi kepadanya, akan membolehkan berlaku penghijrahan kawalan kepada pemain dalam industri media, berita dan kewartawanan itu sendiri.

Para pemain itulah, bukan kerajaan yang akan menentukan kebebasan yang ingin dianuti oleh media di negara ini.

Sekiranya mekanisme kawalan kendiri itu menjadi kenyataan, dan para pemilik media tidak mengamalkan kawalan dan dasar editorial yang berpatisan dari segi politik dan ideologi, berpegang kepada prinsip saksama dan seimbang dalam pelaporan, maka pihak luar tidak lagi boleh secara celupar atau tidak bertanggungjawab menuduh media kita berada di bawah telunjuk kerajaan.

Jika itulah keadaannya, maka RWB tiada pilihan kecuali memberi penarafan yang lebih tinggi kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar yang mereka keluarkan pada setiap awal tahun.

Jika tidak, RWB hanya memalukan diri sendiri dan akan tampil sebagai entiti yang tidak bertanggungjawab dalam memberi penarafan terhadap kebebasan media. Jika itu keadaannya, elok sahaja RWB berhenti daripada mengeluarkan penarafan tahunan kebebasan media serta merta!

 

Sedutan tulisan Datuk Dr. Chamil Wariya ini disiarkan dalam kolum mingguan beliau dalam Jurnal Kosmo, Sabtu, 24 Mac 2018.