ANUGERAH
Bangga KJA 2020 catat penyertaan tertinggi

Bangga KJA 2020 catat penyertaan tertinggi

Ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya yang disampaikan secara maya pada Malam Anugerah Kewartawanan Kenyalang pada 6 November 2020. Majlis ini berlangsung di Kuching Sarawak.

YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, selaku tetamu kehormat Kenyalang Journalism Award (KJA) pada malam ini;

Para penaja Emas Hadiah Kewartawanan Kenyalang, iaitu PETRONAS, Sarawak Energy Berhad dan Shell Berhad;

Para pemimpin Federations of Sarawak Journalists Association (FSJA);

Dan semua wartawan Sarawak yang diraikan pada majlis ini.

Pertama-tama saya ingin mengucapkan tahniah kepada Federations of Sarawak Journalist Association (FSJA), terutama kepada cawangan Kuchingnya, atas penganjuran Kenyalang Journalism Award 2020 (KJA 2020) pada malam ini.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, atas kesempatan yang diberikan kepada saya bagi pihak Malaysian Press Institute (MPI) untuk menyampaikan sepatah dua kata pada majlis yang gilang gemilang ini.

Secara peribadi, saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama anda kali ini, tetapi insya-Allah jika dipanjangkan umur kita akan bersua muka pada tahun hadapan.

Pada kesempatan awal ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan kepada FSJA, atas kepercayaan yang diberikan kepada MPI untuk bertindak sebagai sektretariat penghakiman Kenyalang Journalism Award 2020.

Walaupun dilangsungkan dalam keadaan kita berhadapan dengan cabaran getir pandemic Covid-19, dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, dan dengan kehadiran tetamu yang terhad, tetapi saya dapat merasakan kemeriahan majlis pada malam ini.

Selaku secretariat penghakiman KJA 2020, sukacita saya melaporkan bahawa penyertaan bagi Kenyalang Journalism Award tahun ini adalah yang tertinggi sejak ia diadakan iaitu sebanyak 540 penyertaan telah diterima, berbanding dengan 320 penyertaan pada 2019.

Ini adalah peningkatan sebanyak 220 penyertaan atau 40.7 peratus.

Boleh dikatakan peningkatan penyertaan itu dicatatkan dalam empat Bahasa – Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa  Inggeris dan Bahasa Iban bagi 8 kategori yang dipertandingkan dalam KJA 2020.

Tetapi sudah tentu peningkatan yang amat memberangsangkan bagi KJA 2020 adalah penyertaan dalam Bahasa Iban yang mencatatkan sebanyak 71 penyertaan berbanding 5 penyertaan sahaja  pada 2019.

Wow, amat mengkagumkan terutama apabila dinyatakan penyertaan generasi muda dalam Bahasa Iban ini turut mencatatkan pertambahan, membayangkan bahawa minat generasi muda dalam bahasa tersebut meningkat secara mendadak sejak 12 bulan yang lalu.

Saya berharap prestasi membanggakan ini akan dapat dikekalkan atau malah ditingkatkan pada tahun depan.

Saya ingin memaklumkan bahawa dari segi mutu, para hakim dalam ulasan mereka menyatakan terdapat peningkatan yang memberangsangkan, berbanding dengan kualiti penulisan pada tahun-tahun sebelum ini dalam kalangan mereka yang menyertai pertandingan ini.

Mereka juga mencadangkan kepada para pengamal media Sarawak supaya mempelbagaikan sumber penulisan – baik berita atau rencana – supaya karya-karya kewartawanan yang dihasilkan boleh memberi perspektif yang pelbagai kepada khalayak masing-masing.

Dengan kata lain, penggantungan kepada sumber-sumber kerajaan adalah penting, tetapi pada waktu yang sama para wartawan perlu meneroka sumber-sumber tidak rasmi untuk memberi gambaran yang menyeluruh terhadap isu dan persoalanyang dibicarakan terutama yang membabitkan kepentingan rakyat.

Sekiranya syor yang terkandung dalam ulasan panel hakim itu dapat dipenuhi, maka ini bermaka Kenyalang Journalism Award, melalui pertandingan yang ia anjurkan saban tahun, berjaya mencapai matlamat tersurat dan tersiratnya iaitu:

  • Pertama, untuk memberi pengiktirafan kepada pengamal media;
  • Kedua, meningkatkan mutu karya kewartawanan yang dihasilkan di bumi Kenyalang;
  • Ketiga, memupuk kewartawanan yang bertanggjungjawab dalam kalangan pengamal medianya.
  • Keempat mengekalkan peranan media sebagai pembekal maklumat berguna untuk mewujudkan informed society atau masyarakat bermakluma dan;
  • Kelima, berupaya memainkan peranan sebagai jagawan keempat untuk memeriksa dan mengimbangi kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari.

Sudah tentu apa yang diusahakan oleh oleh FSJA ini tidak akan menjadi kenyataan, tanpa kerjasama organisasi media itu sendiri serta para peneraju editorialnya; serta sokongan pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan YAB Datuk Patinggi Abang Johari serta para penaja utama Kenyalang Journalism Award, iaitu Sarawak Energy Berhad, PETRONAS  dan Shell.

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penganjuran KJA yang bertujuan untuk mengiktiraf karya terbaik kewartawanan Sarawak. Upaya kolektif pelbagai pihak ini wajar diteruskan pada masa akan datang.

Kepada para pemenang, tahniah saya ucapkan. Kepada yang tidak berjaya, jangan berputus asa. Anda tidak gagal. Hal ini kerana jurang markah yang membezakan antara yang menang dan kalah, tidaklah terlalu besar.

Cuma kemenangan belum berpihak kepada anda. Cuba lagi, mana tahu, tahun hadapan giliran anda pula untuk naik ke pentas bagi merangkul pelbagai hadiah termasuk wang tunai yang ditawarkan oleh KJA yang merupakan anugerah kedua tertua di negara selepas Hadiah Kewartawanan Malaysia.

Prasyaratnya: hasilkanlah karya-karya yang baik dan bermutu, dengan berpegang kepada prinsip-prinsip asas kewartawanan yang bertanggungjawab, selain menajamkan kemahiran teras untuk menghasilkan karya-karya yang memuaskan selera audiens.

Bagi pihak MPI, sekali lagi terima kasih atas kesempatan yang diberikan untuk terlibat dalam penganjuran KJA 2020 dan insya-Allah MPI senantiasa bersedia memanjangkan kerjasama seterusnya pada tahun-tahun mendatang, bukan sahaja dalam penganjuran KJA tetapi dalam bidang latihan kewartawanan.

Akhir sekali saya mendoakan semoga majlis pada malam ini berlangsung dengan jayanya, dan jangan lupa, sambil kita bergembira meraikan kemenangan masing-masing, jaga keselamatan diri, patuhi SOP Covid-19 yang telah ditetapkan dan insya-Allah kita sama-sama berjaya  memutuskan penularan Coronavirus bagi membolehkan kita kembali kepada kehidupan normal kita. Hingga kita berjumpa lagi tahun hadapan selamat malam.

Video ucapan Datuk Dr. Chamil Wariya ditayang di Majlis Malam Anugerah Kewartawanan Malaysia 2020 di Hotel Imperial, Kuching, Sarawak.