Banteras pemerdagangan orang: Duta Amerika puji usaha Malaysia

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 19 Feb. – Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan usaha yang tinggi dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia di negara ini.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones berkata, bagaimanapun usaha tersebut tidak akan memberikan kesan ketara jika tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai jenayah itu masih rendah.

Beliau berkata, orang ramai harus memahami mengenai asas jenayah tersebut dan bersama-sama dengan kerajaan bagi mengatasinya.

Paling penting ialah orang ramai memahami asas bagaimana jenayah ini berlaku dan kemudian penekanan dibuat oleh kerajaan. Gabungan kedua-dua pihak itu akan memberi hasil yang terbaik dan dunia keseluruhannya harus melindungi mangsa jenayah ini.

Kita lihat ada antara negara di rantau ini bertindak sebagai negara sumber, negara transit dan negara destinasi. Jadi manusia akan bergerak ke serata tempat dan akan wujud sindiket jenayah yang akan mengambil peluang ke atas mereka yang terdedah untuk dijadikan hamba dunia moden,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemberitaan Pemerdagangan Manusia anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kedutaan Besar Amerika Syarikat dan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Imigran.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya.

Bengkel selama tiga hari itu disertai oleh kira-kira 20 wartawan media cetak dan elektronik dari seluruh negara.

Sementara itu, mengulas kedudukan Malaysia yang disenaraikan di tahap dua (senarai pemerhatian) dalam isu pemerdagangan manusia, Jones berkata, perubahan yang ketara telah ditunjukkan oleh kerajaan bagi menangani masalah tersebut.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, semua pihak perlu berperanan untuk mengatasinya. Satu perkara yang kita bincangkan adalah untuk mengukuhkan kesemua usaha bagi memberi perlindungan kepada mangsa yang trauma selepas diperdagangkan.

Individu terbabit memerlukan perlindungan dan bantuan yang akan membentuk lingkaran kebaikan kepada semua.

Kes pemerdagangan manusia yang dituduh di negara ini semakin meningkat dan banyak juga pengakuan telah dicatatkan tetapi jumlah terbabit masih kecil dan menjadi kebiasaan di banyak negara kerana masih banyak perkara harus dilakukan,” katanya.

Sumber: utusan online, 20 Februari 2013