Banyak membaca kunci menghasilkan rencana yang berwibawa
Salah satu program tahunan popular anjuran Malaysian Press Institute (MPI) ialah Bengkel Penulisan Rencana dan Naratif Berkesan.
Hakikat ini sekali lagi terbukti apabila program tersebut diadakan pada 28 dan 29 Ogos 2018 lalu.
Sambutan yang cukup memberangsangkan diberikan oleh para pengamal media dan pengamal komunikasi korporat.
Seramai 25 peserta mewakili pelbagai organisasi media dan entiti korporat telah mendaftarkan diri untuk program tersebut.
Kursus yang berlangsung selama dua hari di Hotel Holiday Villa & Conference Centre Subang, Subang Jaya, Selangor menampilkan penceramah tersohor Profesor Madya Dr. Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kuching.
Dr. Jeniri, seorang penulis rencana yang profilik untuk majalah dan media tempatan pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan Sarawak pada suatu ketika.
Beliau mempunyai kolum dalam portal berita, Sarawak Voice.
Antara wakil media yang hadir di dua hari kursus tersebut adalah 2 orang dari Grup Sinar Karangkraf, 7 orang dari The New Straits Times Press mewakili Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times, 2 orang wakil dari Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), 2 orang wakil dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMFM) dan seorang dari BERNAMA.
Manakala organisasi korporat yang menghantar penyertaan adalah dari Malaysian Palm Oil Board (MPOB) seramai 2 orang, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dengan penyertaan paling ramai iaitu 7 orang, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) seorang dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTEC) seorang peserta.
Menerusi bengkel tersebut para peserta telah didedahkan dengan kefahaman mengenai teknik menulis rencana dan naratif berkesan.
Dr. Jeniri memberitahu para peserta bahawa kunci menghasilkan rencana yang berwibawa ialah dengan banyak membaca.
Sepanjang bengkel berlangsung, banyak latihan diberi kepada peserta seperti menulis rencana dan artikel serta sesi soal jawab bersama para peserta dan sebaliknya.
Tidak lupa sesi menemuramah dalam mendapatkan cerita mereka sebagai latihan merupakan acara terakhir sebelum kursus tamat.
Para peserta yang ditemui pada akhir bengkel rata-rata berpuas hati dengan bimbingan yang diberikan oleh Dr. Jeniri.
“Insya-Allah segala tunjuk ajar yang diberi oleh Dr. Jeniri akan kami praktikan dalam tugasan kami nanti,” kata mereka.