Bengkel AirAsia – MPI dapat sambutan media

Bagaimanakah sebuah syarikat penerbangan yang menawarkan tambang murah tetapi mampu menjana keuntungan yang tinggi? Soalan ini merupakan satu cabaran kepada mereka yang menyandang kerjaya sebagai wartawan untuk menjelaskan kepada umum dengan bahasa yang mudah difahami dan mengandungi fakta yang tepat.
Cabaran seperti inilah yang dihadapi oleh semua golongan wartawan dalam menyediakan bahan terkini, dipercayai dan mempunyai kredibiliti. Mereka bukan sahaja memerlukan  daya pemikiran yang kritis, kreatif dan bijak malah mereka harus mengetahui secara mendalam mengenai selok-belok perniagaan dalam sesebuah industri untuk meghidangkan penulisan yang efektif.

Sehubungan dengan itu, buat julung kalinya AirAsia Bhd dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) telah menganjurkan  bengkel separuh hari khas untuk pengamal media bertajuk ‘Bengkel Perhubungan Pelaburan/Kewangan Penerbangan’ (Investor Relations / Aviation Finance Workshop) pada 30 Oktober 2013 bertempat di Hotel Le Meridian Kuala Lumpur Sentral.

Bengkel ini bukan sahaja ditujukan kepada wartawan dari meja ekonomi sahaja tetapi juga bagi wartawan-wartawan dari angkatan generasi muda agar mereka dapat  memahami selok belok industri pengangkutan udara terutamanya pengendalian perniagaan penerbangan tambang murah seperti AirAsia.

Antara topik-topik yang dibincangkan adalah; model perniagaan; amalan perniagaan; urusniaga sewa beli pesawat dan pelaburan dan tip-tip mengenai cara merancang perjalanan yang boleh menjimatkan.

Penceramah-penceramah pada hari tersebut terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran di dalam bidang masing-masing antaranya ialah Anaz Ahmad Tajuddin, Group Head,  Engeneering AirAsia & AirAsia X; Steven Dickson, Group Head,  Ground & Inflight Operations AirAsia Bhd.; Kenny Wong, Head of Commercial, AirAsia Bhd.; dan Livina Louis, Group Financial Controller AirAsia Bhd.

Anaz Ahmad Tajuddin, Group Head,  Engeneering AirAsia & AirAsia X, dalam taklimatnya mengatakan antara faktor yang membolehkan AirAsia menurunkan lagi tambang pada masa hadapan ialah dengan menggunakan pesawat yang menggunakan bahan api lebih efisien seperti A320neo.

Pesawat ini dikatakan dapat menjimatkan penggunaan minyak sebanyak empat peratus setahun berbanding pesawat A320 yang sedia ada. Setakat ini AirAsia telah menempah 100 lagi buah pesawat A320 iaitu 36 jenis A320ceo dan 64 buah jenis A320neo.

Steven Dickson, Group Head, Ground & Inflight Operations mengatakan bahawa perjalanan tambang rendah sudah menjadi satu budaya dan AirAsia akan terus menyemarakkan budaya ini. Bagi beliau, bahagian operasi adalah amat rumit bukan sahaja melayan karenah pelanggan tetapi paling penting ialah penjimatan masa bagi pengendalian penerbangan agar pengunaannya ke tahap maksimum (tiga belas jam), dari satu destinasi ke destinasi yang lain memandangkan syarikat itu mempuyai enam ratus tiga puluh lima (635) hala/destinasi.

Kenny Wong, Ketua Komersial dalam taklimatnya telah menasihati agar setiap pelanggan harus merancang perjalanan mereka untuk lebih jimat. Tambang penerbangan akan lebih mahal pada musim puncak atau perayaan. Dengan itu adalah dinasihati supaya pelanggan menempah tiket lebih awal terutama sekali jika terdapat tawaran dari AirAsia.

Beliau juga telah memberi tujuk ajar kaedah menempah tiket atas talian.

Seramai tiga puluh wartawan telah menyertai bengkel ini.

1. Antara peserta ‘Bengkel Perhubungan Pelaburan/Kewangan Penerbangan AirAsia-MPI’.

2. Peserta Bengkel Perhubungan Pelaburan/Kewangan Penerbangan AirAsia-MPI mendengar taklimat dengan penuh minat.

3. Anaz Ahmad Tajuddin, Group Head, Engineering AirAsia & AirAsia X.

4. Steven Dickson, Group Head,  Ground & Inflight Operations AirAsia Bhd.

5. Kenny Wong, Head of Commercial.

6. Livina Louis, Group Financial Controller AirAsia Bhd.

7. Chan Quan Min dari Kinibiz bertanya soalan mengenai pelaburan AirAsia di China.

8. Sesi soal jawab…dari kiri, Steven Dickson, Group Head, Ground & Inflight Operations AirAsia Bhd., Kenny Wong, Head of Commercial, Patrick Fennel, Head, Operational Control Center, Benyamin Ismail, Investor Relations Manager, AirAsia Bhd., Livina Louis, Group Financial Controller AirAsia Bhd. Dan Anaz Ahmad Tajuddin, Group Head, Engineering AirAsia & AirAsia X.