Bengkel menghasilkan karya kewartawanan bermutu dapat sambutan hebat

Bengkel dua hari yang memberi panduan kepada pengamal media Sarawak untuk menghasilkan karya-karya kewartawanan bermutu dan berupaya memenangi anugerah telah diadakan di Kuching pada 24 dan 25 November 2014.

Bengkel anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu bertujuan untuk mendedahkan kepada para wartawan Sarawak bagaimana sesebuah karya kewartawanan yang menyertai pelbagai anugerah kewartawanan di negara ini dinilai sehingga melayakkan mereka menjadi pemenang.

Bagi tujuan itu, para penceramah yang ditampilkan oleh MPI adalah terdiri daripada para hakim pelbagai hadiah kewartawanan yang dikendalikan oleh MPI dan kalangan wartawan yang pernah memenangi hadiah-hadiah kewartawanan.

Bengkel hari pertama khusus untuk para wartawan media cetak dihadiri oleh 25 orang peserta mewakili pelbagai organisasi berita di Kuching, Sibu dan Miri.

Bengkel hari kedua pula khusus untuk para wartawan televisyen dihadiri oleh 17 orang peserta yang terdiri daripada mereka yang berkhidmat dengan RTM Sarawak, RTM Sabah, Sarawak TV dan kalangan wartawan akhbar yang terbabit dalam penerbitan berita video dalam talian.

Para penceramah  hari pertama terdiri daripada dua orang panel hakim bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) dan Kenyalang Shell Press Award. Mereka ialah Dr. Jeniri Amir, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Dr. Robert Menua Salleh, pengarah Tun Jugah Foundation.

Mereka telah menerangkan ciri-ciri yang digunakan oleh pihak hakim sewaktu menilai berita dan rencana yang menyertai dua anugerah kewartawanan itu.

Selain mendengar penerangan hakim, para peserta juga berpeluang berkongsi pengalaman dengan kalangan yang pernah memenangi HKM dan pertandingan di peringkat antarabangsa.

Mereka ialah pemenang Hadiah Kajai HKM 2013, Wan Norhayati Wan Alias dari akhbar Berita Harian dan Encik T. Selva pemenang hadiah kewartawanan Persatuan Penerbit Akhbar Dunia atau WAN-Ifra di Hong Kong pada awal tahun ini.

Bagi bengkel kewartawanan TV yang diadakan pada hari kedua, MPI telah menampilkan dua orang wartawan televisyen yang juga pernah menjadi pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) pada 2001 iaitu Yusanani Yushak  dan pemenang Kenyalang Shell Press Award 2009 iaitu Maria Isek.

Yusanani menang bagi kategori kewartawanan TV (rencana) dengan laporan khas berjudul Globalisasi juga adalah seorang hakim bagi HKM sejak tiga tahun lalu manakala Maria dinobatkan sebagai pemenang kategori wartawan siaran Kenyalang dengan laporan berjudul Projek Mini Hidro Hamid.

Yusanani adalah seorang wartawan berpengalaman yang pernah berkhidmat dengan TV3 sebagai penyampai berita Buletin Utama. Beliau juga pernah menjadi Konsultan di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan selama setahun pada 2009/2010 dengan tanggungjawab khusus untuk mencari bakat dan melatih penyampai berita TV1 menerusi program realiti Penyampai Ikon.

Maria pula adalah anak kelahiran Kuching yang berkhidmat dengan RTM Sabah sejak 2009 dan sering menang tempat pertama dalam Kinabalu Shell Press Award.

Para peserta bengkel dua hari itu berpuas hati dengan ceramah-ceramah yang disampaikan yang disifatkan telah membuka mata dan minda mereka untuk menghasilkan karya-karya kewartawanan yang bermutu.

Mereka memuji usaha  MPI dan berharap bengkel seumpama itu dapat diadakan secara berkala kerana ia membantu mereka untuk meningkatkan kualiti karya yang dihasilkan.

1. Dr Jeniri mencabar warga sarawak untuk bertanding dan menang Hadiah Kajai.

2. Encik Hamdan Ismail, wartawanan Bernama Kuching, antara peserta yang bertanya banyak soalan.

3. Sebahagian peserta bengkel khusyuk mendengar ceramah.

4. Encik Robert Menua Salleh menjawab soalan peserta.

5. Puan Judy Henry menanyakan apakah standard bahasa iban yang sebenar.

6. Puan Genda Sating (barisan depan, duduk di tengah) sedang bertanyakan sesuatu.

7. Dr. Jeniri dan Robert: bijak mengendalikan bengkel.

8. Mr T Selva, menceritakan pengalaman bagaimana merapatkan diri dengan sumber serta mendapatkan maklumat yang masih tidak melanggar garis etika kewartawanan.

9. Wan Noor Hayati menerangkan usia muda bukan penghalang untuk menjadi Wartawan Kajai.

10. Para peserta hari pertama bengkel bergambar kenangan dengan penceramah.

11. Puan Yusanani menekankan aspek penampilan semasa berdepan dengan kamera penting bagi wartawan TV.

12. Encik Lim Eng Chai dan Irene Rendie Wilfred menyata kekaguman dengan tayangan video hidro dari Maria Isek.

13. Puan Norlida bergambar dengan Puan Maria Isek.

14. Peserta bengkel kewartawanan TV bergambar kenangan dengan penceramah Yusanani Yushak dan Maria Isek.