Bengkel Penulisan Teks Ucapan MPI berkesan, kata peserta

Buat julung kalinya,  Malaysian Press Institute (MPI) telah menganjurkan Bengkel Penulis Teks Ucapan Berkesan dengan jayanya pada 28 dan 29 Oktober 2014 di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Empat belas (14) orang pengamal perhubungan awam dari sebelas syarikat-syarikat korporat iaitu Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji, Ekuiti Nasional Berhad, TESCO, RISDA, Technology Park Malaysia Corporation, MIDA, Naza Motor, Syarikat Bekalan Air Selangor, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional menyertai bengkel ini.

Bengkel dua hari ini dikendalikan oleh  Dr. Jeniri Amir, Pensyarah Kanan (Penulisan, Komunikasi Politik & Sejarah), Jabatan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak.

Selama dua hari itu, mereka diberi pendedahan dan kefahaman mengenai teknik menulis teks ucapan yang berkesan.

Para peserta juga diingatkan betapa perlunya mereka banyak membaca buku-buku berkenaan teknik menulis teks ucapan yang terdapat di pasaran dan menggunakan bahasa-bahasa indah agar penyampaian teks ucapan mereka menarik dan berkesan.

Beberapa teks ucapan pemimpin diberi kepada peserta di samping dipertontonkan video pemimpin-pemimpin besar dari dalam dan luar negara sebagai contoh untuk perbandingan peserta menilai sendiri teks ucapan mereka.

Semua dilakukan sebagai latihan demi untuk mendapat keberkesanan dari pengajarannya.

Pada hari kedua pula, pengajar meminta peserta membuat beberapa teks ucapan bagi melihat keberkesanan dari pengajaran pada hari pertama kursus dan memberi komen setiap teks yang telah peserta tulis.

Pada akhir bengkel, Dr Jeniri telah menyampaikan sijil kepada peserta program dan bergambar kenangan.

Berikut adalah pandangan lima orang peserta yang mengikuti bengkel tersebut.

1. Encik Mohd Farid bin Rosli, Ketua Jabatan Kejuruteraan & Pembangunan Produk, Naza Motor Trading Sdn Bhd

Bengkel ini telah membuka minda saya dan telah banyak membantu saya dalam menulis teks ucapan. Banyak manfaat yang saya perolehi setelah mengikuti bengkel ini. Ia sangat berguna dan berkesan kerana saya dapat membuat penulisan tanpa bantuan seperti sebelum ini.  Kekuatannya ialah real life example dan kepelbagaian medium dalam pembentangan.

Pada pandangan saya bengkel ini harus diperluaskan lagi kepada syarikat korporat yang lain juga terutama kepada para pengamal perhubungan awam dan bidang komunikasi korporat yang terlibat dengan media dalam menyediakan teks ucapan kepada pihak pengurusan mereka. Di syarikat Naza Motor sahaja ada beberapa lagi pegawai yang ingin menyertainya. Diharap bengkel ini dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan.

2. Encik Syahrom bin Jumali, Associate Kanan, Permodalan Nasional Berhad (PNB)

Bengkel Menulis Teks Ucapan ini sangat bagus kerana memberikan pendedahan yang baru lagi mendalam, terutamanya teknik-teknik penulisan ucapan. Penceramah juga adalah seorang yang amat berpengetahuan dan berpengalaman, membuatkan bengkel penuh informatif, interaktif dan inovatif.

Saya merasakan sekurang-kurangnya kualiti penulisan teks ucapan saya meningkat dalam 40 peratus. Ini kerana kini saya telah tahu bila dan bagaimana teknik-teknik tertentu boleh digunakan ketika menulis ucapan.

Kekuatan pula terletak pada penyampaian Dr. Jeniri, penggunaan pelbagai visual aids dan latihan-latihan yang interaktif. Pengisian amat baik secara keseluruhannya. Mungkin ‘typo’ di dalam slaid-slaid pembentangan boleh diperbaiki, namun ini bukanlah terlalu besar. Saya berharap di masa hadapan, durasi bengkel ini boleh dipanjangkan tempohnya agar lebih banyak yang dapat dimanfaatkan oleh peserta kursus.

3. Cik Norasyikin binti Yusof, Pengurus Penerbitan Korporat, Lembaga Tabung Haji (LTH)

Bagi saya, secara keseluruhannya bengkel yang dianjurkan ini adalah baik. Penjelasan serta contoh-contoh yang diberikan banyak membantu para peserta dalam memahami topik yang disampaikan. Ia amat membantu kerana dalam bengkel ini, peserta mempelajari elemen-elemen yang perlu ada di dalam sesebuah ucapan dan pengetahuan ini akan dapat dipraktikkan. Ia juga menyedarkan peserta bahawa untuk menjadi penulis yang baik, beberapa kriteria penting perlu dimiliki.

Antara kekuatan yang terdapat dalam bengkel ini adalah penjelasan serta contoh yang diberikan amat jelas. Huraian dan latihan amat mudah difahami. Saya berpendapat di dalam modul ‘case study’ perlu dimasukkan satu segmen meneliti teks ucapan organisasi – yang baik dan yang lemah. Perlu juga mengupas lebih banyak ucapan-ucapan rasmi organisasi kerana ia lebih praktikal kepada para peserta.

4. Cik Intan Suraini binti Rosdi, Senior Executive, Technology Park Malaysia (TPM)

Kursus yang baik seperti ini elok dijalankan sekurang-kurangnya dua (2) kali setahun. Sesuai untuk semua kakitangan atau orang awam yang berminat tentang penulisan ucapan. Secara keseluruhan, ianya sangat bermanfaat dan berguna untuk setiap pekerjaan.

Sebelum ini ucapan yang saya sediakan agak sama dan tidak dinamik. Setelah mempelajari pelbagai teknik daripada kursus ini, saya dapat bayangkan ucapan yang akan saya sediakan bakal menjadi lebih menarik dan ‘sought-after’ oleh pengurusan syarikat.

Diantara kekuatan yang terdapat dalam bengkel ini adalah pengalaman luas ‘trainer’, Dr. Jeniri dalam penyediaan pelbagai jenis ucapan sangat membantu memahami kursus ini dengan lebih baik. Beliau berkongsi pengalaman tersebut dengan peserta dan tidak lokek untuk menjawab soalan-soalan di luar topik kursus.

Diantara cadangan untuk menambah baik pengisian bengkel ini adalah penceramah perlu mendedahkan pelbagai jenis teks ucapan kepada para peserta untuk dikaji (hard copy).

Bagus juga penceramah telah gunakan video-video di Youtube untuk kaji teknik penyampaian ucapan oleh pelbagai individu dan memperkenalkan pelbagai jenis buku rujukan yang terdapat dipasaran seperti ‘Teknik Menulis Ucapan oleh Jeniri Amir’ dan “Chambers Book of Great Speeches“ serta beberapa lagi buku tentang teks ucapan yang berkesan tetapi adalah lebih baik jika MPI boleh menjemput penceramah lain untuk sesi ke-2 bagi membolehkan para peserta mendapat input yang pelbagai dari lebih satu sumber.

5. Puan Siti Fatiha Sholehudin, Pegawai Tadbir N41, RISDA

Bengkel ini dilaksanakan dengan baik dan sangat sesuai untuk peserta yang “zero knowledge” mengenai teks ucapan seperti saya.

Sebelum ini saya fikir teks ucapan merupakan satu fakta yang perlu disampaikan dalam bentuk ucapan, tapi sebenarnya banyak lagi yang boleh dirangkumkan dalam teks ucapan tetapi ianya perlu bersesuaian dengan “speaker”. Selepas mengikuti bengkel ini, saya ingin menjadi penulis teks ucapan yang terbaik di organisasi saya dan berharap agar mendapat kepercayaan dari syarikat untuk menulis teks buat “speaker” yang ternama seperti Datuk Ketua Pengarah.

Di antara kekuatan bengkel ini ialah latihan mengikut topik sangat memberi kesan yang baik dan penceramah banyak berkongsi rujukan-rujukan lain yang sangat sesuai seperti di Youtube, buku-buku rujukan yang terdapat di pasaran dan jenis-jenis teks ucapan yang bagus.

Penceramah juga berkongsi skil dan teknik-teknik lain dalam mempelbagaikan isi kandungan ucapan dan skil ini akan diamalkan dengan berkesan khususnya kepada syarikat. Selain itu penceramah juga berkongsi tip teks ucapan yang diburu media.

Diharap pada masa hadapan, penceramah boleh memberi komen berkenaan teks yang telah dibuat semasa latihan dalam kumpulan dan beri peluang kepada para peserta untuk membaca teks ucapan yang telah dibuat secara individu dihadapan peserta lain supaya kita dapat melihat kelemahan/kesilapan dalam mengarang teks dan kita tahu sama ada kita on the right track.

6. Perbincangan kumpulan perlu untuk memastikan peserta faham dengan topik yang diajar.

7. Para peserta diminta untuk mencatat apakah teknik-teknik yang perlu ada di dalam Penulisan Teks Ucapan.

8. Dua orang peserta sedang berinteraksi bersama penceramah untuk mendapatkan tip-tip yang berkesan.

9. Dr Jeniri Amir, Pensyarah Kanan Unimas sedang khusyuk menyampaikan ceramahnya.

10. Para peserta Bengkel Penulisan Teks Ucapan tergelak apabila Dr Jeniri bercerita tentang kisah lucu yang mencuit hati mereka.

11. Sebahagian peserta Bengkel Penulisan Teks Ucapan sedang tekun mendengar ceramah.