Beroperasi semula setelah ditutup hampir 4 bulan

Oleh DATUK CHAMIL WARIYA
Pautan asal : https://voamedia.home.blog/2021/09/28/beroperasi-semula-setelah-ditutup-hampir-4-bulan/

Setelah ditutup hampir empat bulan sejak 1 Jun 2021, Malaysian Press Institute (MPI) kembali beroperasi sepenuhnya mulai minggu ini.

Semua petugas MPI telah lengkap divaksinasi membolehkan MPI beroperasi 100 peratus sebagai mematuhi syarat ketat yang ditetapkan oleh SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pagi tadi mesyuarat operasi bersemuka, dengan mematuhi SOP pandemik Covid-19 tentunya, diadakan bagi membincangkan program-program latihan bersemuka dan kegiatan pembangunan perniagaan yang hendak dilaksanakan hingga hujung 2021 apabila negara berhijrah ke fasa endemik mulai pertengahan Oktober.

Satu program besar yang dirancang untuk diadakan ialah penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2021 pada penghujung November atau awal Disember 2021 sekiranya penganjuran majlis-majlis sosial dibenarkan oleh kerajaan.

Malam Wartawan Malaysia 2021 adalah program flagship MPI untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia Petronas 2020 yang dijadual pada pertengahan tahun ini tetapi ditangguhkan berikutan perintah berkurung yang dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 1 Jun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob akan diundang sebagai tetamu kehormat pada malam tersebut.

Malam Wartawan Malaysia merupakan acara tahunan MPI yang diadakan pertama kalinya pada September 1981 untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawan 1980.