Hindari kewartawanan semberono

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya pada majlis perasmian Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia, anjuran MPI di Kuala Lumpur pada 8 Januari 2013.

Pertama-tama saya ingin memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya jua dapat kita berada di kabin latihan MPI ini untuk memulakan perjalanan bagi menjayakan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia yang berlangsung mulai hari ini hinggalah 25 Januari 2013 nanti. Ini adalah program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia kali yang ketiga. Kali pertama dianjurkan pada 2011, dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Program pertama itu membawa tuah kepada MPI dengan pembinaan kabin ini – dibiayai oleh KPPK sepenuhnya kerana tempat kursus itu diadakan pada waktu itu iaitu di bilik mesyuarat MPI, dalam bangunan bersebelahan kabin ini, agak kecil untuk memuatkan 20 orang peserta. Saya telah menggunakan kesempatan itu untuk memohon peruntukan khas daripada pihak Kementerian bagi mendirikan kabin di mana kita berada, dan alhamdulillah, permohonan itu diluluskan.

Program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia kali kedua telah diadakan di Kuching, Sarawak pada Januari 2012. Alhamdulillah program bagi 2013 ini mendapat sambutan yang memberangsangkan. Bersama kita pada pagi ini adalah 24 orang wartawan muda – muda dari segi usia dan barangkali dari segi pengalaman dalam bidang kewartawanan.  Saya mengucapkan tahniah kepada anda semua kerana telah dipilih oleh organisasi berita anda untuk mengambil bahagian dalam program ini.

Kepada mereka saya ucapkan selamat berzamalah. Kepada tetamu-tetamu MPI yang turut menyerikan majlis perasmian pagi ini, sekali lagi, selamat datang ke MPI. Kepada sahabat lama saya, Sdra Datuk Mior Kamarul Shahid yang juga pengarang kumpulan Berita Harian, saya ingin merakamkan penghargaan di atas kesudian beliau untuk melancarkan program 2013 ini sebentar lagi.

Program Zamalah Wartawan Muda ini kami perkenalkan, antara lain, untuk memenuhi tujuan-tujuan berikut:

Pertama, untuk mempertajamkan kemahiran asas kewartawanan golongan wartawan yang baharu menceburi bidang ini dari segi penulisan berita dan rencana khususnya. Bagi mereka yang sudah mahir, ini adalah kesempatan untuk mengasah gergaji kewartawanan masing-masing seperti yang dinyatakan dalam prinsip ke-7 anjuran Steven Covey dalam bukunya The Seven Habits of Highly Effective People.  Selepas ini diharapkan mereka akan kembali ke lapangan dengan penuh bertenaga untuk meneruskan kerjaya masing-masing.

Kedua, program ini bertujuan untuk mendedahkan para peserta dengan elemen-elemen kenegaraan yang perlu difahami oleh mereka sebagai seorang wartawan:  khususnya tentang peranan tiga cabang kuasa negara – legislatif, eksekutif dan judisiari, serta institusi- institusi dan agensi-agensi yang bernaung di bawah tiga estet kuasa itu. Sebagai wartawan, yang bertindak sebagai penyalur maklumat kepada khalayak penerbitan, kita mestilah menjadi manusia yang serba tahu tentang selok belok bagaimana instrumen-instrumen negara berfungsi. Hanya dengan adanya pemahaman yang baik mengenai interaksi di kalangan tiga cabang kuasa negara itu – baik yang tersurat mahupun yang tersirat, seperti yang dizahirkan dalam Perlembagaan Persekutuan,  barulah kita sebagai wartawan berupaya membuat laporan yang cerdik sekiranya laporan kita itu ada kaitan dengan kuasa dan politik. Dengan itu barulah kredibiliti kita dipandang tinggi oleh masyarakat.

Ketiga, program ini juga akan mendedahkan anda dengan undang-undang yang relevan kepada anda sebagai orang media.  Ini kerana sekalipun terdapat kebebasan media, kebebasan itu sebenarnya tidak mutlak. Justeru, sebagai wartawan dan juga sebagai warganegara kita sebenarnya dipagari dengan  peraturan dan undang-undang tertentu.  Ada undang-undang yang secara langsung menyentuh profesyen kewartawanan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau secara tidak langsung juga menyentuh kita seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, Akta Hak Cipta 1987, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan beberapa yang lain.  Syukurlah bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang amat digeruni telah dimansuhkan. Jadi kemungkinan ada wartawan ditahan tanpa bicara di bawah akta itu seperti yang pernah dialami oleh Tan Sri A. Samad Ismail, Samani Mohd Amin, Halim Mahmood dan beberapa yang lain, tidak akan berlaku lagi.

Keempat, program ini juga diharapkan untuk menjadikan anda sebagai seorang wartawan yang menyanjung dan menjunjung etika dalam kerja-kerja pengumpulan maklumat dan juga gambar untuk disajikan sebagai bahan penulisan, baik berita atau rencana. Seorang wartawan yang berpekerti mulia,  tidak akan memperoleh maklumat secara tipuhelah atau muslihat. Dalam kita dihimpit dengan deadline – batas waktu bekerja – yang memang selalu menghambat kita, tidak pula bermakna kita boleh mengamalkan kewartawanan semberono, kata orang Jawa.  Perbuatan tidak berakhlak itu boleh mengheret diri kita dan organisasi berita yang kita wakili kemuka pengadilan. Sekalipun adakalanya kita tertekan, sebagai wartawan kita hendaklah senantiasa berakhlak mulia supaya profesyen kita senantiasa dipandang tinggi oleh masyarakat.

Kelima, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat setiakawan yang tinggi dikalangan para peserta, bukan sewaktu semasa latihan, tetapi selepas latihan berakhir. Ini adalah selari dengan konsep zamalah atau fellowship itu sendiri. Benar kerana anda bekerja dalam orgasanisasi berita yang berbeza, persaingan, adakalanya sengit, untuk mendapatkan bahan eksklusif untuk penerbitan anda, akan berlaku.  Tetapi persaingan itu tidaklah sampai ke peringkat zero sum game. Atau anda bermusuh sesama sendiri. Ia boleh diasaskan kepada permainan menang-menang. Ingatlah bahawa dunia media dan kewartawanan Malaysia bukanlah besar sangat.

Bagi memastikan program tiga minggu mendatang ini benar-benar memberi manfaat kepada anda, kami telah membariskan para penceramah yang terbaik untuk berbicara tentang topik-topik tertentu. Saya percaya adunan para wartawan berpengalaman yang kebolehan mereka di lapangan telah diuji dan juga ahli-ahli akademik yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai penceramah, akan membolehkan anda menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengetahuan yang berguna.  Selain itu, lawatan ke tempat-tempat tertentu seperti ke Parlimen untuk berinteraksi secara langsung dengan Yang Di-Pertua Dewan Negara serta sebilangan pegawai tinggi kerajaan yang lain, akan membolehkan anda melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana institusi-institusi negara itu beroperasi dan berfungsi.  Tentulah syarahan dan kuliah semata-mata akan menjadikan program ini agak membosankan.  Justeru, latihan amali untuk menguji kefahaman anda mengenai teori yang dipelajari di kelas, akan menjadikan program ini lebih interaktif dan menarik.

Gunakanlah peluang tiga minggu ini sebaik mungkin. Berikanlah tumpuan anda 100 peratus kepada program yang disediakan, dan percayalah insyaAllah anda akan mendapat kepuasan yang 100 peratus juga.  Tetapi tentulah saya percaya dalam penganjuran Zamalah Wartawan Muda ini tidak semuanya sempurna; akan terdapat kekurangan dan kelemahan di sana sini.  Maklum balas anda untuk menambahbaik program ini, amat saya hargai dan alu-alukan dalam upaya untuk menjadikan program-program akan datang lebih baik lagi. Kalau ada jarum yang patah, jangan disimpan di dalam peti, kalau ada silap dan salah jangan disimpan di dalam hati.

Akhirnya, sekali lagi saya ingin memanjangkan rasa terima kasih kepada semua yang telah mendokong Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2013 ini menjadi satu kenyataan. Terima kasih kepada Datuk Meor, yang sudi merasmikan program ini – walaupun undangan disampaikan pada saat-saat akhir. Terima kasih juga kepada para penaja khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang telah menyalurkan gran khas untuk program ini; dan juga kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang tidak pernah serik untuk membantu MPI menjayakan program kewartawanan kenegaraan yang kita anjurkan.  Saya juga tidak lupa sahabat-sahabat korporat MPI, yang senantiasa tampil untuk menghulurkan pertolongan dalam pelbagai bentuk. Tanpa bantuan anda dan tanpa kehadiran para peserta yang mengambil bahagian, Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia ini tidak akan menjadi kenyataan.