Berucap Secara Berkesan Dikhalayak Ramai Boleh Dipelajari

Seramai empat belas (14) orang pengamal komunikasi korporat telah mengambil bahagian di dalam Bengkel Penulisan Teks Ucapan anjuran Malaysian Press Institute (MPI). Bengkel berdurasi dua (2) hari ini telah berlangsung dari 7 hingga 8 Ogos 2018 bertempat di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya.

Antara organisasi terkemuka yang mengambil bahagian di dalam bengkel tersebut adalah MADA, Bank Negara Malaysia, Alam Flora Sdn. Bhd., Malaysia Airports Holdings, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, HICOM Holdings Bhd., Seriemas Development Sdn. Bhd., MIDA dan Export-Import Bank of Malaysia (EXIM Bank).

Prof. Madya Dr. Jeniri Amir, Pensyarah Kanan Komunikasi di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merupakan penceramah untuk dua hari kursus itu. Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang ini dan telah menghasilkan lebih daripada 50 buah buku dan 1,500 artikel berkenaan penulisan teks ucapan dan juga penulisan rencana.

  1. Madya Dr. Jeniri Amir menerangkan bagaimana cara untuk menulis teks ucapan yang indah.

Pada hari pertama, sesi dimulakan dengan mengetahui sifat-sifat unggul dan faedah sebagai penulis teks ucapan. Seterusnya para peserta diminta untuk bekerja di dalam kumpulan bagi membincangkan sifat-sifat unggul seorang penulis teks ucapan dengan lebih mendalam bagi mendapatkan kefahaman bagi setiap individu.

  1. Para peserta begitu fokus meneliti teks ucapan oleh tokoh-tokoh terkemuka.

Para peserta dibekalkan dengan nota yang lengkap serta dikongsi paparan video mengenai definisi serta contoh penggunaan dalil-dalil dan retorik di dalam teks ucapan. Selain daripada penerangan dari nota, para peserta juga didedahkan dengan teks-teks ucapan daripada tokoh-tokoh terkemuka dunia seperti Barack Obama, Martin Luther King serta Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ramai lagi bagi melihat dan menilai sendiri teks ucapan terbaik.

  1. Wakil daripada setiap kumpulan sedang menerangkan hasil tugasan mereka.

Sesi pada hari kedua pula diisi dengan mengenal jenis-jenis propaganda melalui teks ucapan dan bagaimana propaganda ini mampu menarik perhatian pendengar dan media. Nota dan video sekali lagi digunakan bagi membantu para peserta memahami topik sebenar dengan lebih baik.

  1. Penceramah menayangkan video salah seorang tokoh terkemuka tanahair sambil ditonton dengan begitu khusyuk oleh para peserta.

Seterusnya peserta diberi peluang untuk memahami teori secara praktikal di dalam latihan penulisan teks ucapan dan merujuk terus kepada penceramah secara individu. Penerangan serta penilaian yang diberikan secara terus dan telus oleh penceramah membolehkan peserta mengadaptasikan pembelajaran dengan lebih baik.

  1. Encik Radin Nor Azam, peserta dari Bank Negara Malaysia bertanyakan soalan tentang teks ucapan yang diburu media kepada penceramah.

 

Di akhir kursus, sekali lagi peserta dikehendaki berbincang dan bekerja di dalam kumpulan untuk mengenal pasti pembelajaran yang telah diperoleh dari bengkel. Aktiviti ini secara tidak langsung menjadikan peserta lebih bekerjasama dan berkomunikasi antara satu sama lain selain berkongsi pendapat masing-masing sebelum kursus tamat.

  1. Berikut merupakan gelagat para peserta disekitar kursus dalam menyiapkan kerja berkumpulan mereka sebelum pembentangan dan kursus berakhir.