Kursus
BIJAK KANDUNGAN DI MEDIA SOSIAL

BIJAK KANDUNGAN DI MEDIA SOSIAL

ULASAN KHAS: Kursus Reka Kandungan Digital Kreatif

Disediakan oleh : Norhafiza Kamaludin

Dengan kerjasama erat Malaysian Press Institute (MPI) dan BERNAMA telah menganjurkan Kursus Reka Kandungan Digital Kreatif yang berlangsung pada 12 hingga 13 November 2024 bertempat di Hotel Premiera Kuala Lumpur. Program dua hari ini dihadiri oleh seramai 15 peserta daripada pelbagai bahagian strategik BERNAMA, termasuk Meja Media Digital, Hal Ehwal Korporat, Digital (TV), Penerbitan Program (TV), Bernama Radio, serta Pusat Kecemerlangan.

Kursus ini dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail, yang turut berkongsi pengalaman dan pandangannya tentang kepentingan menghasilkan kandungan digital yang inovatif, menarik, dan relevan dengan kehendak audiens masa kini.

Objektif utama kursus ini adalah untuk memperkukuh kemahiran peserta dalam merancang, merekabentuk, dan menghasilkan kandungan digital yang mampu menarik perhatian pelbagai lapisan audiens. Kursus ini memberi tumpuan kepada tiga elemen utama:

  1. Strategi Kreatif – Teknik untuk menghasilkan kandungan yang inovatif dan mampu bersaing di platform digital.
  2. Pendekatan Visual – Penekanan kepada rekaan grafik, video, dan elemen multimedia yang memukau.
  3. Penggunaan Teknologi Digital Terkini – Pendedahan kepada perisian dan alat teknologi terkini untuk meningkatkan kecekapan serta kualiti kandungan.

Latihan intensif ini juga dirangka bagi memastikan peserta dapat mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dalam tugasan harian mereka. Pendekatan ini selaras dengan visi BERNAMA untuk kekal sebagai peneraju dalam penghasilan kandungan media yang inovatif dan berimpak tinggi.

Impak Kursus

Sepanjang kursus ini, peserta bukan sahaja didedahkan kepada kaedah terkini penghasilan kandungan digital, tetapi juga diberi ruang untuk berbincang dan berkongsi idea bagi menghasilkan kandungan yang lebih strategik. Hasil daripada program ini, peserta kini lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia digital yang semakin dinamik, di samping memperkukuh jenama BERNAMA di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kursus ini menjadi bukti komitmen BERNAMA dalam membangunkan bakat dan kompetensi pegawai mereka melalui program latihan berkualiti tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri media negara.