BANYAK BACA BUKU TEKS UCAPAN
Itu kata-kata yang sering diungkapkan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Jeniri Amir, mantan Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak selaku penceramah di Bengkel Penulisan Teks Ucapan untuk Jabatan Penerangan Malaysia pada 21 – 22 Oktober 2019 lalu.
Kursus dua hari anjuran Bahagian Penerbitan Dasar Negara (BPDN), Jabatan Penerangan Malaysia kepada pegawai dan kakitangan BPDN dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) telah berlangsung di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Putrajaya dihadiri seramai 13 orang peserta yang terdiri daripada Pengarah, Penolong Pengarah dan Pegawai Penerangan dari Kementerian tersebut.
Kursus ini diadakan bagi meningkatkan kemahiran menulis teks ucapan dengan berkesan dalam kalangan pegawai dan juga kakitangan di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.
Banyak latihan diberikan kepada para peserta antaranya menilai teks ucapan dari contoh teks ucapan pemimpin negara, berkongsi beberapa video ucapan oleh orang-orang ternama dunia dan mengajar teknik dan cara-cara penulisan teks ucapan yang betul dan penggunaan bahasa-bahasa indah dalam teks ucapan agar penyampaian mereka lebih menarik dan sedap didengar.
Sebelum kursus berakhir, Puan Rozilah mewakili kesemua peserta mengucapkan ribuan terima kasih kepada tenaga pengajar yang tidak lokek berkongsi ilmu dan menurunkan segala rahsia yang disimpan beliau kepada para peserta.