MPI release
CABARAN MENDEPANI KEWARTAWANAN DI ERA REVOLUSI INDUSTRI 4.0

CABARAN MENDEPANI KEWARTAWANAN DI ERA REVOLUSI INDUSTRI 4.0

Dunia kini melangkah ke era revolusi perindustrian 4.0 yang memperlihatkan pergerakan pantas ke arah pendigitalan sistem dan teknologi. Bidang kewartawanan juga tidak terlepas dari terjebak dalam perubahan sistem ini dan semestinya harus turut sama menerima anjakan untuk kekal relevan dalam dunia kewartawanan ini.

Bagi memberi lebih pencerahan dan pemahaman dalam mendepani cabaran dan peluang kewartawanan di era revolusi industri 4.0 ini, Malaysian Press Institute dengan kerjasama Thomson Foundation telah menganjurkan Kursus Kewartawanan di Era Revolusi Perindustrian 4.0 dengan tema Kedinamikan Bilik Berita dan Skil Kewartawanan Era IR4.0: Cabaran dan Keperluan khas untuk pengamal media Malaysia dalam mendepani cabaran revolusi ini.

Kursus yang diadakan secara atas talian melalui aplikasi Zoom ini telah dibawakan khas oleh Thomson Foundation yang berpangkalan di United Kingdom. Seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada wartawan media cetak, penyiaran dan portal serta ahli akademik kewartawanan telah menyertai kursus tiga hari ini yang bermula pada 24 hingga 26 Januari 2022.

Kursus dikendalikan oleh Encik Yusof Abdul Rahman, penceramah dari Thomson Foundation yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri berita terutama media antarabangsa. Beliau yang kini menetap di United Kingdom telah berkongsi banyak teknik dan kemahiran digital yang boleh diadaptasi oleh wartawan di Malaysia.

Selain perkongsian oleh penceramah, para peserta juga diberi peluang untuk berbincang sesama peserta secara berkumpulan. Komunikasi peserta dan penceramah berjalan lancar walaupun hanya melalui alam maya.

Peserta juga diberi latihan praktikal bagi mempertajam pengetahuan dan pembelajaran melalui kursus ini. Rata-rata peserta berpuas hati dengan kursus seumpama ini dan berharap ianya dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR:

Penceramah dari Thomson Foundation, Encik Yusof Abdul Rahman memulakan sesi kursus pada hari pertama.
Para peserta berbincang dan bertanyakan soalan kepada penceramah.
Ms Deborah Kelly dari Thomson Foundation.
Para peserta mengambil gambar kenangan di akhir sesi kursus. Terima kasih semua!