MPI release
CENTEXS SETUJU KOLABORASI MPI

CENTEXS SETUJU KOLABORASI MPI

8 OKTOBER 2024, KUCHING, Sarawak – Centre For Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysian Press Institute (MPI) dalam bidang latihan berkaitan teknologi dan kemahiran kandungan digital.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus Besarnya, Encik Shahren Yusri dalam diskusi sempena lawatan hormat MPI ke Ibu Pejabat CENTEXS, di sini.

MPI dihadiri Presiden, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Ainol Amriz dan Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain.

“Kita akan memfokuskan latihan berkaitan media ini kepada usahawan dan juga pengamal media.

“Syor kita semua usahawan ini dibekalkan dengan kemahiran kandungan digital dan pada masa yang sama, kita bersedia membawa media dari Kuala Lumpur untuk datang ke akademi pengajian kami dengan kerjasama MPI,” katanya.

Encik Shahren juga bersetuju kerjasama itu disegerakan dan dapat dimanfaat oleh mereka yang terlibat.

Dalam pada itu, Haji Ainol Amriz berkata, MPI sebagai penyedia latihan menyambut baik kerjasama ini dan bersetuju dengan kerangka cadangan yang diberikan CENTEXS untuk memperkasakan latihan secara menyeluruh, sekali gus memberikan hasil sebaiknya.

“Kita akan melengkap prosesnya untuk kita segera memulakan latihan yang berimpak ini,” kata Haji Ainol Amriz.

CENTEXS menawarkan program pembelajaran yang bersifat skil dan kemahiran, diberikan secara percuma kepada anak Sarawak dan kini terbuka kepada pelajar Semenanjung dan Sabah.

Sijil CENTEXS diiktiraf oleh industri mengikut jurusan yang diambil. Sehingga 2023, 159 usahawan tempatan dengan 30,000 produk telah dikomersialkan untuk pasaran luar negara.

CENTEXS beroperasi melalui enam pusat latihan di Lundu, Betong, Dalat, Lawas, dan Mukah. Dua program ditawarkan iaitu Akademi Digital dan Akademi Industri, membuktikan komitmen CENTEXS dalam membangunkan sumber daya manusia yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan mendapat permintaan industri.

Delegasi MPI diberi taklimat tentang produk-produk tempatan yang dipamerkan di Jumaáni Pavilion.
Tuan Haji Ainol (tengah) memberikan pencerahan berkenaan program latihan yang dicadangkan.
Terima kasih CENTEXS!.
Dari kiri : Encik Karl, Encik Christopher, Encik Shahren dan delegasi MPI.

Tags :