CEO MPI antara penceramah Forum Media CAPAM 2014

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute, Datuk Chamil Wariya, adalah antara tokoh wartawan yang diundang untuk memberi ceramah pada Forum Media CAPAM 2014 pada 21 Oktober 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Forum sehari bertemakan Engaging The Commonwealth itu dianjurkan oleh Commonwealth Association for Public Administration and Management (CAPAM) dengan kerjasama pejabat Ketua Setiausaha Negara sempena mesyuarat dwi tahunan CAPAM yang diadakan di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu.

Chamil telah bercakap tentang peranan media dalam mempromosi Commonwealth kepada generasi muda – pengalaman Malaysia.

Tokoh-tokoh media lain yang turut memberi ceramah ialah Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar, Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong, Naib Presiden Kumpulan Editor, ABN Media Group, Balan Moses, Ketua Pengarang The Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan dan bekas Pengarah Eksekutif Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A. Talib.

Penceramah-penceramah undangan lain termasuklah John Spencer, wakil Society of Editors, UK dan pemegang amanah CPU Media Trust, dulunya dikenali sebagai Commonwealth Press Union (CPU) dan Datuk Muhammad Feisol Hassan, Presiden Royal Commonwealth Society Malaysia.

500 orang peserta kebanyakannya generasi muda yang terdiri daripada para pelajar institut. pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Lembah Klang menghadiri program itu.

Turut menyertai forum itu adalah pegawai-pegawai sektor awam dan swasta.

Forum Media CAPAM 2014 itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang juga terpilih sebagai presiden kesembilan CAPAM bagi penggal 2015/2016. Sebelum itu, beliau adalah Naib Presiden CAPAM.

CAPAM MEDIA FORUM 20141. Chamil (dua kiri) menerima cenderhati daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa selepas menyampaikan ceramah di Forum Media CAPAM 2014 di Putrajaya pada 21 Oktober 2014. Tan Sri Dr. Ali ialah Presiden CAPAM yang menganjurkan forum tersebut.

FORUM MEDIA CAPAM 20142. Chamil (lima kanan) dan para penceramah lain  bergambar kenangan dengan Tan Sri Dr. Ali Hamsa (empat kanan) pada akhir Forum Media CAPAM 2014 di Putrajaya.

2 3. Chamil (tiga kiri) bergambar kenangan dengan sebahagian daripada 14 orang  pelajar komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menjadi peserta Forum Media CAPAM 2014 di PICC Putrajaya pada 21 Oktober 2014. Delegasi USIM ke forum itu dipimpin oleh Dr. Suriani Othman (tiga kanan), pensyarah komunikasi di Fakulti kepimpinan dan Pengurusan USIM. Selain menerajui MPI, Chamil adalah juga Karyawan Tamu USIM bagi tahun 2014/2015.