CEO MPI Dilantik Ketua Panel Hakim Artikel Pelancongan

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya dilantik sebagai Ketua Panel Hakim Kategori Artikel Pelancongan Terbaik, Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 anjuran Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Pelantikan tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Mirza Mohammad Taiyab dalam sepucuk surat bertarikh 25 Mei 2015 kepada Datuk Dr. Chamil.

Kategori Artikel Pelancongan Terbaik adalah salah satu daripada 14 kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Pelancongan Malaysia (APM) yang diadakan dua tahun sekali itu.

Pelancaran APM telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen baru-baru ini.

Menurut Dato’ Mirza penyertaan bagi APM sedang berlangsung sekarang ini.

Proses penghakiman bagi semua kategori, termasuk Artikel Pelancongan Terbaik akan diadakan antara Ogos hingga Disember 2015.

Bagi kategori Artikel Pelancongan Terbaik penyertaan dibuka kepada para peserta dalam negeri dan juga penerbitan antarabangsa tanpa mengira bahasa. Penyertaan boleh dihantar terus kepada sebuah urus setia khas di Tourism Malaysia, Putrajaya.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang dijadual disempurnakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Februari 2016.