CEO MPI dilantik penasihat program Sarjana Kewartawanan Multimedia UUM

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya adalah antara tokoh pengamal media dan ahli akademik yang dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Penasihat Pengajian Program Sarjana Sains (Kewartawanan Multimedia) atau MSc. Multimedia Journalism, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pelantikan itu dibuat oleh Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam sepucuk surat bertarikh 18 Mac 2014. Tekan sini untuk surat pelantikan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UUM, Profesor Dr. Hassan Ali telah diadakan di kampus UUM cawangan Kuala Lumpur pada 29 April 2014. Tekan sini untuk surat panggilan mesyuarat.

Selain Chamil, turut menganggotai jawatankuasa itu ialah: Profesor Dr. Safar Hashim (Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)); Profesor Dr. Mohammed Zin Nordin (Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI); Profesor Dr. Ahmad Murad Merican (Universiti Teknologi Petronas (UTP); Profesor Madya Dr. Mus Chairil Samani (Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Datuk Abdul Jalil Ali (Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd); Johari Ibrahim (Berita Harian) dan Puan Khaneeza Khalid (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) UUM, Profesor Dr. Norshuhada Shiratudin bertindak sebagai setiausaha jawatankuasa.

Turut terbabit adalah dua orang tenaga akademik SMMTC UUM yang dipertanggungjawabkan untuk merangka program itu. Mereka ialah Profesor Madya Dr. Norhafezah Yusof yang juga Ketua Jabatan Komunikasi SMMTC dan Dr. Mohd. Khairie Ahmad, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi SMMTC.

Pihak UUM berharap program Sarjana Sains (Kewartawanan Multimedia) itu dapat diperkenalkan pada semester 2014/2015 di kampus UUM di Sintok dan di kampus UUMKL.

Menurut kertas cadangan yang disediakan oleh UUM program sarjana sains kewartawanan multimedia itu terbuka kepada “semua graduan termasuk yang mempunyai latarbelakang dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi, multimedia, teknologi multimedia, sains maklumat, teknologi media dan yang berkaitan dengannya atau tidak mempunyai latarbelakang sedemikian tetapi ingin menimba ilmu dalam bidang kewartawanan multimedia.”

Kertas cadangan itu juga menyatakan “objektif program sarjana dalam bidang kewartawanan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman pelajar, kemahiran dalam kedua-dua kewartawanan multimedia  dan disiplin pengurusan bagi membolehkan mereka untuk mewujudkan sinergi antara kedua-dua yang kemudiannya boleh digunakan dalam amalan harian pelajar.”

Program itu akan ditawarkan secara kerja kursus dan campuran. Bagi melayakkan pelajar menamatkan kursus, mereka dikehendaki menjalani kerja kursus selama 40 jam kredit. Komponen program pula mempunyai tiga elemen – teras (19 jam kredit), elektif (9 jam kredit) dan projek penyelidikan (12 jam kredit). Bagi mod pengajian campuran pula para pelajar dikehendaki menyempurnakan 49 jam kredit iaitu 13 jam kredit untuk program teras dan 36 jam kredit bagi disertasi.

Sekiranya program sarjana sains kewartawanan multimedia itu menjadi kenyataan, maka ia adalah program pertama yang diperkenalkan di Negara ini. Ketika ini tiada  program seumpamanya ditawarkan oleh mana-mana pusat pengajian tinggi – baik awam atau swasta.

Pihak UUM berharap setelah mengikuti program sarjana sains kewartawanan  multimedia itu, para graduan, antara lain akan dapat menunjukkan penguasaan pengetahuan dalam bidang pengurusan kewartawanan multimedia;  berupaya untuk menstrategikan, menguruskan dan mengamalkan kewartawanan multimedia;  mengaitkan idea dalam bidang kewartawanan multimedia kepada isu-isu social kontemporari; menjalankan tanggungjawab tanpa menjejaskan etika, kepercayaan dan undang-undang; membina dan membawa satu pasukan pengurusan profesional yang berkesan dan cekap yang berusaha untuk menegakkan standard dan kualiti komunikasi; menunjukkan pemahaman yang kritis tentang isu kewartawanan  multimedia dan berupaya mencadangkan penyelesaian;  mengurus maklumat untuk pembelajaran sepanjang hayat dalam bidang kewartawanan multimedia dan menunjukkan kemahiran sosial dan keusahawanan dan memupuk semangat inovasi dalam bidang kewartawanan multimedia.

Pada mesyuarat pertama jawatankuasa itu, Chamil menyambut baik dan memuji usaha UUM untuk memperkenalkan program sarjana sains kewartawanan multimedia dan berjanji untuk mempromosikannya dalam kalangan wartawan yang berminat.

Beliau berpendapat dengan adanya program itu,  satu lagi peluang terbuka untuk para wartawanan belajar pada peringkat sarjana dalam bidang yang berkaitan dengan tugas mereka.

Bagi Chamil, program itu adalah relevan kerana kita sekarang berada pada era digital yang memerlukan seorang wartawan tidak kira dimana mereka bekerja untuk menyediakan laporan berbentuk multimedia yang membabitkan elemen-elemen teks, video, audio.

Sebelum ini, MPI bekerjasama dengan UUM untuk memperkenalkan program sarjana sains komunikasi kepengurusan untuk golongan wartawan. Program yang bermula pada September 2012 itu kini mempunyai 30 orang pelajar yang terdiri daripada para wartawanan.

Kumpulan pertama sembilan orang pelajar baru sahaja menamatkan pengajian mereka dan dijangka menerima ijazah MSc masing-masing pada penghujung 2014.