CEO MPI terima ijazah Phd

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya adalah antara pelajar yang menerima ijazah Doctor of Philosophy (Phd) pada majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra pada 25 April 2015.

Beliau menerima ijazah itu daripada Canselor USM iaitu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail yang dijadualkan mempengerusikan sidang pertama konvokesyen itu pada sebelah pagi.

Turut menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen selama dua hari itu ialah 1,098 pelajar lain yang  menamatkan pengajian pada peringkat ijazah doktor falsafah, sarjana dan sarjana muda.

Chamil yang melanjutkan pelajaran di USM pada 7 Mac 2012 menyempurrnakan Phdnya dalam bidang komunikasi politik dalam masa dua tahun atau empat semester iaitu tempoh minimum pencalonan.

Tesis Phd beliau yang merupakan satu penelitian terhadap mesej-mesej politik yang terkandung ucapan-ucapan yang disampaikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak antara 1988 hingga 2013, atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Timbalan Presiden UMNO Malaysia dan Presiden UMNO Malaysia telah disiapkan dan diserahkan untuk pemeriksaan oleh satu panel tiga pemeriksa pada 18 Jun 2014.

Chamil menggunakan pendekatan neo-Aristotlelian atau neo-klasikal sebagai kerangka kajian yang dilakukan.

Selain menganalisis 15 teks ucapan Najib menggunakan model pemujukan neo-klasikal Foss secara kualitatif, beliau turut menemuramah Najib untuk meninjau pemikiran Perdana Menteri dalam menyediakan ucapan-ucapan politik di Perhimpunan Agung UMNO.

Lebih tiga bulan setelah tesis diserahkan untuk pemeriksaan sebuah panel pemeriksa iaitu pada 30 September 2014, Chamil berjaya mempertahankan tesis beliau dalam satu ujian lisan – viva voce – dan disahkan lulus dengan pembetulan minor.

Segala pembetulan yang dicadangkan oleh panel pemeriksa telah disempurnakan, tesis mutakhir diserahkan kepada Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM pada 20 Oktober 2014.

Senat USM pada mesyuaratnya pada 24 November 2014 mengesahkan bahawa tesis mutakhir yang diserahkan itu memenuhi semua syarat yang diperlukan untuk Chamil dianugerahi ijazah Doctor of Philosophy.

Mulai tarikh itu, Chamil boleh menggunakan gelaran Dr. pada pangkal namanya.

Panel pemeriksa viva voce Chamil yang dipengerusi oleh Profesor Mirza Abas dari Pusat Pengajian Teknologi Pendidikan USM terdiri daripada seorang pemeriksa luar iaitu Profesor Madya Dr. Mus Chairil Samani, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan dua pemeriksa dalam iaitu Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Dr. Jamilah Haji Ahmad dan seorang penyarah pusat itu, Profesor Madya Dr. Rohani Hashim. Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Dr. Shuhaida Mohd Nor turut hadir sebagai wakil dekan.

Penyelia utama Chamil bagi program Phd itu, Profesor Madya Mohamad Md Yusoff turut hadir manakala penyelia bersama, Dr. Nik Norma Nik Hassan, ketika itu cuti sabatikal, mengikuti sesi viva voce itu melalui skype dari Tokyo.

Chamil (empat kanan) bergambar kenangan dengan panel pemeriksa tesis Phdnya selepas sesi viva voce selesai pada 30 September 2014.

Dari kiri: Profesor Mirza Abas (Pengerusi Panel), Profesor Madya Dr. Mus Charil Samani (Pemeriksa Luar), Profesor Madya Mohamad Md Yusoff (Penyelia Utara).

Dari kanan: Profesor Madya Dr. Rohani Hashim (Pemeriksa Dalam), Dr. Shuhaida Mohd Nor (Timbalan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM) dan Profesor Madya Dr. Jamilah Haji Ahmad (Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM/Pemeriksa Dalam).

Tiada dalam gambar Dr. Nik Norma Nik Hasan (Penyelia Bersama). Beliau cuti sabatikal dan mengikuti sesi viva voce itu melalui skype dari Tokyo, Jepun.