Chamil dilantik Distinguished Fellow IDFR

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya adalah antara yang dilantik sebagai anggota panel baharu Distinguished Fellow Institute Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Selain Chamil, lantikan baharu IDFR termasuklah Tunku Zain Al-Abidin ibni Tunku Muhriz, putera kepada Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah badan pemikir, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Pelantikan dua (2) tahun itu bermula pada 1 Disember 2019 hingga penghujung 2021.

Pemakluman pelantikan tersebut dinyatakan oleh Ketua Pengarah IDFR, Datuk Zamruni Khalid dalam sepucuk surat kepada Chamil bertarikh 28 November 2019.

Chamil menyertai barisan Distinguished Fellow yang terdiri daripada mantan Ketua Setiausaha Kementerian Luar iaitu Tan Sri Razali Ismail, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak, Tan Sri Hasmy Agam dan Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; tokoh-tokoh akademik dalam bidang dasar luar, hubungan antarbangsa dan keselamatan, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Ahmad, Dato’ Dr. Mohd Yusof Ahmad, Dr. Chandra Muzaffar, Profesor K.S Nathan dan Dr. Sufian Jusoh serta sebilangan pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan dasar luar.

Mesyuarat pertama Panel Distinguished Fellow IDFR berlangsung pada 20 Disember 2019, dipengerusikan oleh Tunku Zain Al-Abidin.

Turut hadir Datuk Zamruni dan pegawai-pegawai IDFR yang lain.