Chamil terima watikah pelantikan IPDM

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya adalah antara 11 orang tokoh yang menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam satu majlis khas yang diadakan di Hotel EDC, Sintok pada 6 Februari 2016.

Penyerahan watikah pelantikan untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2018 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Profesor Dr. Noor Azizi Ismail.

Selain Chamil, empat tokoh luar UUM yang dilantik ialah Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Utama Ismail Haji Omar; pensyarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican; pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Siva Murugan Pandian; dan pensyarah Pusat Studi Hukum Tata Negara, Fakultas Hukum, Universitas Indonesia, Profesor Dr. Abdul Bari Azed.

Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak bertindak sebagai pengerusi IPDM manakala Pengarah IPDM, Dr. Haji Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula menjadi setiausaha IPDM.

Turut menganggotai Jawatankuasa IPDM, mewakili UUM ialah tiga orang timbalan naib canselornya iaitu Profesor Dr. Azizi sendiri, Profesor Dr. Hassan Ali (TNC, Akademik dan Antarabangsa) dan Profesor Madya Dr. Abdul Malek Haji Abdul Karim (TNC, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Dua orang dekan pusat pengajian UUM juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa IPDM. Mereka ialah Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah (Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan) dan Profesor Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah (Pusat Pengajian Siswazah Ghazali Shafie).

Pelantikan Ahli Jawatankuasa IPDM dibuat mengikut Statut IPDM Perkara 7. Status itu menetapkan bahawa keanggotaan Jawatankuasa IPDM terdiri daripada Naib Canselor UUM sebagai pengerusi manakala para ahli terdiri daripada semua timbalan naib canselor; dua ahli senat yang bertaraf profesor; dua ahli akademik luar yang dilantik oleh Naib Canselor dan tiga tokoh terkemuka yang salah satunya terdiri daripada bukan warganegara dan yang dilantik oleh Naib Canselor.

IPDM ditubuhkan menurut surat Kementerian Pendidikan bertarikh 19 Ogos 2003. Penubuhannya dibuat selepas mendapat kelulusan Kabinet, berdasarkan syor yang telah dicetuskan oleh perwakilan UMNO di Perhimpunan Agung UMNO yang ke-54 pada 19 Jun 2003.

Objektif penubuhannya, antara lain untuk menjadi pusat penyelidikan, pembelajaran dan latihan di peringkat pasca siswazah tentang pemikiran, wacana, kepimpinan dan dasar negara.

Rakaman gambar:

    Terimalantik 01

  1. Chamil (kiri) menerima watikah pelantik sebagai Ahli Jawatankuasa IPDM daripada Profesor Dr. Azizi (kanan) pada 6 Februari 2017 di Hotel EDC, UUM Sintok. Di tengah ialah Dr. Zaharuddin, Pengarah IPDM. 

    Terimalantik 02

  2. Bermesyuarat selepas menerima watikah pelantikan: Chamil, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad, Profesor Dr. Abdul Bari dan Profesor Dr. Siva Murugan. 

    Terimalantik 03

  3. Naib Canselor UUM yang juga pengerusi IPDM, Profesor Dato Seri Mohamed Mustafa menyampaikan amanat pada akhir mesyuarat. 

    Terimalantik 04

  4. Ahli-ahli Jawatankuasa IPDM bergambar kenangan selepas mengadakan mesyuarat pertama pada 6 Februari 2017.