MPI puji istiadat penganugerahan ijazah secara maya City University Malaysia

Bagi mana-mana pelajar yang ke menara gading, Istiadat Konvokesyen adalah satu majlis yang senantiasa dinanti-nantikan. Itulah harinya mereka yang telah menamatkan pengajian masing-masing menerima segolong kertas bernama ijazah atau diploma.

Tetapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 (dan pelbagai bentuk PKP yang lain sebelum itu) bertujuan untuk mengawal pandemik Covid-19 bermula 13 Januari 2021 lalu menyebabkan pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini tidak dapat menganjurkan istiadat penganugerahan ijazah secara fizikal seperti yang telah diamalkan sejak sekian lama.

Salah sebuah menara gading yang tidak dapat berbuat demikian adalah City University Malaysia, sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Bagaimanapun sebagai penyelesaiannya, CUM buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya pada 1984 telah mengadakan Istiadat Konvokesyen secara maya yang disaksikan oleh lebih kurang seribu pelajar dari pelbagai negara pada 16 Januari 2021. Mereka adalah graduan yang menamatkan pengajian bagi tahun akademik 2020.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya, yang baharu dilantik menganggotai panel penasihat industri bagi program-program komunikasi di bawah Fakulti Pendidikan dan Pengajian Liberal pada 1 Oktober 2020, penganjuran istiadat konvokesyen secara maya adalah kena pada masanya.

Menurut Chamil, inisiatif yang telah diambil oleh CUM memberi makna yang besar  bagi 1000 graduan tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada 60 program dari peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Kata Chamil, “selaku penal penasihat industri CUM dan bagi pihak MPI, saya memuji langkah yang telah diambil oleh CUM yang bukan sahaja unik dan luar biasa, tetapi bakal menjadi kenangan manis bagi mereka yang menerima diploma dan ijazah masing-masing.”

Bagi beliau apa yang lebih menarik adalah walaupun istiadat penganugerahan ijazah itu dilakukan secara atas talian, tetapi majlis itu dianjurkan mengikut tradisi akademik gilang gemilang yang telah diamalkan oleh pihak universiti selama ini.

Istiadat dimulakan dengan ucaptama dan perisytiharan penganugerahan dibuat oleh Pro-Canselor City Universiti oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Nik Mustapha Abdullah. Penganugerahan dimulai dengan Graduasi Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma.

Perisytiharan disiarkan secara langsung di media sosial rasmi universiti ini secara maya sebagai salah satu simbolik yang menandakan graduan City Univerisity telah dianugerahkan dengan sijil akademik masing-masing.

Dalam pada itu Prof. Emeritus Tan Sri Dr Nik Mustapha dalam ucapannya berkata, “dengan banyak perkara serta ujian yang berlaku yang membuatkan kita jatuh. Ketika berada ditengah-tengah krisis yang bukan hanya melanda negara ini tetapi diseluruh dunia, para pelajar masih tetap mampu bertahan dan mereka masih berjaya mengatasinya melalui kerja keras yang menyaksikan hari ini mereka telah berada di kemuncak. Perubahan sebenar yang telah berlaku bermula dengan anda, generasi baru graduan yang kami raikan hari ini”Teruslah mendaki ke puncak yang tinggi”.

Dalam majlis itu, Anugerah Kecermerlangan Akademik 2020 turut diumumkan. Seramai 20 orang graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik, 3 orang graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Industri manakala 2 orang graduan menerima anugerah “University’s colours award” yang aktif dalam bidang sukan diperingkat negara mahupun antarabangsa.

Anugerah ini adalah penghargaan kepada para pelajar atas titik peluh mereka untuk mencapai impian mereka sambil membawa nama City University of Malaysia untuk memperkenalkan seluruh negara dan dunia.

Istiadat turut diserikan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengelola, Tan Sri Dato Ir. Omar Ibrahim, Pengarah Akademik dan Operasi, Rosnizah Shaari, Timbalan Naib Cancelor dan juga Dekan Fakulti.

Dengan berakhirnya majlis graduasi ini, City Universiti berharap agar semua graduan perlu kompeten untuk bersaing dengan menawarkan kebolehan yang pelbagai dan mempunyai daya keusahawanan yang tinggi. Dapat berkhidmat dengan profesionalisme dan kemahiran insaniah yang tinggi kepada bangsa, agama dan negara.